BORANG ONLINE ILMAM

NAMA PENUH
ALAMAT RUMAH
NO KAD PENGENALAN
JANTINA
ILMAM NEGERI
NO TELEFON
EMEL ANDA
PEKERJAAN SEKARANG/ JAWATAN
Saya akan membantu ILMAM di dalam bidang Dakwah
Penyelidikan
Penulisan
IT/Internet/Web
Sukarelawan
Fasilitator
Program Kemasyarakatan
Politik Dunia
Isu Palestin
Perubatan
Lain-Lain
Mohon Tuan/ Puan untuk berkongsi sedikit latar belakang pengajian sebelum ini (Contoh : jurusan pengajian di Mesir, tahun pengajian dan sumbangan yang boleh diberikan kepada ILMAM)

Saya mengaku segala kenyataan di atas adalah benar dan saya akan membantu Pertubuhan ILMAM Malaysia sekiranya diperlukan. Sekian, terima kasih.

 


Click here to create your own form.

Wednesday, 22 September 2010

PANDANGAN SYARA' WANITA MENJADI PENGERUSI MAJLIS


MUQADDIMAH

Sejak kebelakangan ini, kita melihat peranan wanita dalam memberi sumbangan kepada Islam tidak dapat dinafikan lagi. Wanita turut menyumbang membangunkan ummah dan dalam perkara membabitkan pembangunan rohani, wanita tidak dikecualikan daripada memenuhi tanggungjawab diri kepada Allah, diri sendiri, keluarga dan ahli masyarakat. Islam tidak membezakan lelaki dan wanita dalam melakukan ibadat kerana apa yang wajib dan sunat bagi lelaki itulah juga hakikatnya kepada wanita.

Begitulah terhadap perkara yang harus, haram dan makruh. Persolannya sekarang, jika Islam membenarkan wanita memberi sumbangan kepada Islam, adakah menjadi pengerusi majlis dalam satu majlis yang disertai oleh lelaki dan perempuan dibolehkan?

PERBINCANGAN

Untuk menjawab persoalan ini, kita boleh kaitkan hukum keharusan mempengerusikan majlis bagi seorang wanita kepada beberapa bahagian seperti berikut :

1) Adakah suara perempuan itu aurat?
2) Batas pandangan seorang lelaki kepada wanita.
3) Percampuran lelaki dan wanita dalam satu majlis adakah dibolehkan?
4) Hukum wanita menjadi wakil rakyat.

1) ADAKAH SUARA WANITA AURAT ?

Syeikh `Atiah Saqar (bekas pengerusi lajnah fatwa Al-Azhar) ada memberikan beberapa pandangan beliau dalam kitabnya “Ahsanul Kalam Fi Fatawa Wal Ahkam ”, ada menyebut; suara bagi seorang wanita ini mempunyai pandangan yang pelbagai, ada yang mengatakan sebagai aurat secara mutlak manakala golongan yang lain mengatakan bukan aurat secara mutlak. Daripada perbezaan pandangan ini, kita dapat satukan kedua-dua pandangan tersebut kepada beberapa garis panduan yang telah di tetapkan oleh para ulamak seperti berikut :

1) Sesungguhnya suara wanita pada zatnya bukanlah aurat, kerana sekiranya ianya aurat dalam semua keadaan, ianya akan memberatkan sesuatu yang sukar (attaklif fihi `usr). Ini kerana wanita sangat berhajat kepada perbualan dan saling berhubung dengan lelaki dalam urusan yang pelbagai seperti urusan muamalah.

2) Dalam syarah Sohih Muslim disebutkan peristiwa Saiyyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar Al-Khatab melawat Umu Aiman selepas kewafatan Nabi SAW. Ditaqlikkan oleh Imam Nawawi bahawa harusnya lelaki menziarahi wanita dan mendengar suaranya. Bahkan wanita dizaman salaf sentiasa meriwayatkan hadis dan mengajar manusia serta memberikan fatwa mengenai urusan agama.(jilid 13,m/s 10)

3) Imam Ghazali dalam kitabnya Ihyak (jilid 2 m/s 248) menyatakan bahawa suara perempuan selain dari nyanyian tidak dikira sebagai aurat. Bahkan wanita pada zaman sahabat sentiasa malakukan muamalah dengan lelaki ketika memberi salam, meminta fatwa, bertanya dan bermusyawarah.

4) Banyak dikalangan sahabiah Nabi SAW bertanyakan kepada nabi berkenaan hukum agama ketika sahabat-sahabat nabi yang bukan mahram berada disitu dan nabi tidak menegahnya.

5) Imam Al-Qurtubi mengharuskan bercakap dengan perempuan dan berbual dengan mereka sekiranya ada keperluan.

2) Batas Pandangan Seorang Lelaki Kepada Wanita

Dinukilkan daripada Imam Yusof Al-Qardawi dalam kitabnya Fatawa Al-Mu`Asarah (jilid 2 m/s263) bahawa aurat seorang perempuan di sisi jumhur ulamak adalah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua tapak tangannya. Manakala di sisi Imam Abu Hanifah Dan Al-Muzani kedua tapak kaki tidaklah di kira sebagai aurat bagi seorang perempuan. Maka bolehlah bagi seorang wanita menzahirkan selain daripada auratnya, mengikut batas dan keperluan wanita kepada umum.

Tetapi persolannya, adakah harus bagi seorang lelaki memandang wajah wanita ?

Maka ulamak telah sepakat bahawa pandangan pertama terhadap wanita di hukumkan sebagai dharurat dan di maafkan oleh syarak. Manakala pandangan yang kedua, ulamak berselisihan pendapat terhadap hukumnya. Secara pasti yang ditegah adalah pandangan berserta dengan syahwat dan keghairahan. Di sini jelaslah kepada kita bahawa hukum melihat seorang wanita pada muka dan telapak tangannya adalah di haruskan.

Tetapi disini ada kaedah syarak yang mengatakan bahawasanya sesuatu yang harus dilarang ketika kuatir berlakunya fitnah sama ada ianya berpunca dari lelaki mahupun wanita. Masalah ini sekiranya ada dalil dan bukti yang kukuh kearah berlakunya perkara tersebut.

3) PERCAMPURAN LELAKI DAN PEREMPUAN:

Berkenaan permasalahan ini terdapat beberapa pandangan ulamak mengenai percampuran lelaki dan perempuan:

1) Berkata Syeikh `Atiah Saqar dalam kitabnya “Ahsanul Kalam Fi Fatawa Wal Ahkam” . Percampuran lelaki dan perempuan yang di tegah adalah di dalam keadaan berkhalwat di antara lelaki dan wanita di tempat yang tertutup dan boleh menimbulkan fitnah. Adapun percampuran di antara lelaki dan perempuan di tempat umum seperti di pasar, tempat pengajian, pengangkutan awam dan sebagainya tidak dikira sebagai percampuran yang diharamkan walaupun disana ada perbuatan haram yang lain seperti melihat aurat, kata-kata yang menggoda dan berlakunya sentuhan.

2) Berkata Imam Yusof Al-Qardawi dalam kitabnya Fatawa Al-Mu`Asarah (jilid 2 m/s284) Pertemuan antara lelaki dan perempuan pada zatnya bukanlah di tegah, bahkkan ianya harus dan dituntut sekiranya pertemuan dan percampuran itu mempunyai niat yang baik seperti menuntut ilmu, beribadah, perbuatan yang dianggap baik disisi syarak dan sebarang aktiviti yang baik yang memerlukan kerjasama di antara dua pihak. Tetapi petemuan ini mestilah menjaga adab-adab Islam antara kedua pihak seperti pakaian yang di bolehkan syarak, aurat , suara dan pertemuan itu mestilah berdasarkan keperluan penting sahaja .

Kedua-dua pandangan tersebut jelas kepada kita bahawa keharusan percampuran di antara lelaki dan perempuan jika mempunyai hajat dan urusan yang penting sahaja.

4) HUKUM WANITA MENJADI WAKIL RAKYAT DALAM PARLIMEN

Doktor Ali Jum`Ah (Mufti Kerajaan Mesir) ada menyebut di dalam kitabnya “Fatawa `Asriah” bahawa harus bagi seseorang wanita menjadi wakil rakyat selagi mana ianya boleh membahagikan waktu dan tanggungjawabnya dengan baik antara tugas ahli parlimen dan seorang isteri terhadap suami dan anak-anaknya, itupun sekiranya ada dan selagi mana ianya boleh mengelak daripada musafir, tabarruj,dan khalwat yang tidak syar`ie.

Pendapat ini di kuatkan lagi dengan peristiwa bagaimana Nabi Muhammad SAW meminta pandangan dan nasihat dari isterinya Ummu Salamah dalam peristiwa Sulhu Hudaibiah ketika sahabat-sahabat nabi S.A.W yang kecewa kerana tidak boleh menunaikan umrah pada tahun tersebut. Ini menunjukkan begitu besar peranan wanita dalam memberikan pendapat di situasi tersebut.

Peristiwa yang kedua, bagaimana peranan yang dimainkan oleh Sayyidatina A’isyah ketika pertelingkahan yang berlaku antara Sayyidina Ali Dan Sayyidina Muawwiyah. Dan beliau juga salah seorang yang yang bergiat aktif memeberikan pandangan dan turut serta di dalam peperangan Sifin tersebut.

** Sekiranya wanita boleh terbabit dalam bidang politik dan di haruskan menjadi sebagai ahli parlimen, maka lebih utama hukum keharusan itu diberikan kepada wanita untuk menjadi pengerusi malis. Ini kerana apabila menjadi wakil rakyat, beliau mestilah sentiasa berada di pentas rakyat dalam mengutarakan pandangan, masalah, bantahan dan sebagainya. Dalam masa yang sama keterlibatan beliau bersama ahli parlimen lelaki dan kebersamaannya bersama rakyat yang dipimpin olehnya juga memerlukan kepada kekerapan beliau untuk berada disituasi tersebut. Bahkan semasa menjadi calon pun, sudah semestinya beliau melobi dirinya sendiri untuk memenangi di dalam pilihan raya dihadapan rakyat yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Maka, menjadi seorang pengerusi majlis di kalangan perempuan di dalam sesebuah majlis yang disertai oleh lelaki tidaklah menjadi isu yang besar jika di bandingkan dengan ahli parlimen yang lebih besar peranannya.

KESIMPULAN

Hasil perbincangan diatas, kita boleh simpulkan bahawasanya, hukum bagi seseorang wanita menjadi pengerusi majlis dalam majlis yang disertai oleh lelaki dibolehkan berdasarkan hasil perbincangan tadi . Walaubagaimanapun, keharusan ini bukanlah secara mutlak bahkan perlu kepada garis panduannya seperti berikut :

1. Hendaklah perempuan dan lelaki saling menjaga pandangan mereka. Dalam erti kata, tidak melihat aurat dengan pandangan syahwat, tidak memandang lama tanpa tujuan yang baik. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakalah kepada kaum lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kehormatannya. Demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan”. Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kehormatannya”. (Surah an-Nur: Ayat 30 dan 31)

2. Hendaklah mereka sentiasa memakai pakaian yang menutup aurat. Menurut jumhur ulamak maksud aurat wanita di luar solat ialah :

* Menutup seluruh anggota badan kecuali yang zahir iaitu muka dan tapak tangan.
* Pakaian yang tidak jarang dan nipis sehingga menampakkan warna tubuh dan kulit.
* Pakaian yang longgar dan tidak ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang zahir sahaja. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada. (Surah an-Nur: Ayat 31)

3. Sentiasa menjaga adab sebagai wanita muslimah dalam semua keadaan khasnya ketika berada di dalam majlis.

a. Perkataan

Hendaklah percakapan suaranya baik dan tidak melunakkan suara kepada orang ramai. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada dalam hatinya. (Surah al-Ahzab: Ayat 32)

b. Berjalan dengan sopan dan tidak menarik perhatian.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan janganlah mereka memukul kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.
(Surah an-Nur: Ayat 31).

4. Menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menaikkan syahwat lelaki seperti berlebih-lebihan memakai wangi-wangian, warna pakaian yang menarik perhatian dan sebagainya.

Garis panduan ini diletakkan sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan fitnah yang mungkin terjadi apabila wanita berada dihadapan ketika untuk mempengerusikan majlis. Wallahua’lam.

Disediakan oleh FELO MANHAL PMRAM :

1)Mohamad Sarkawi Bin Mohmad Salleh.

2)Rabiatul Adawiyah Syamsudin

Wednesday, 8 September 2010

PERUTUSAN KHAS EIDULFITRI 1431 H


Assalamulaikum Wa Rahahmatullahi Wabaarakaatuh

Saya, selaku Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM), mewakili seluruh saf kepimpinan ILMAM Pusat, ingin mengucapkan Salam EidulFitri, Maaf Zahir dan Batin, kepada semua sahabat lepasan mahasiswa Mesir samada muslimin dan muslimat, yang baru dan yang lama, yang tua dan yang muda dan semua muslimin dan muslimat yang mengikuti perkembangan ILMAM ini.

EidulFitri, hari yang dinantikan oleh semua muslimin dan muslimat yang telah bertungkus lumus berjihad dalam Ramadhan yang lalu. Jadi, kita selaku mereka yang memiliki pengiktirafan dunia dalam ilmu agama yang terbaik, mesti menjadikan hari raya ini sebagai peluang untuk kita membuka lembaran yang baru dalam diari kehidupan kita seharian.

Dengan tidak dipengaruhi oleh segala bentuk anasir yang boleh membantutkan kerja-kerja dakwah Islam di tempat kita berada di sini, marilah kita sama-sama mengisi lembaran baru tersebut dengan kerja-kerja yang mendatangkan manfaat yang besar, terutama terhadap kumpulan Islam yang ingin mendaulatkan Islam dan melaksanakan pemerintahan mengikut cara Islam yang berdasarkan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qias.

Marilah, kita sama-sama, selaku di antara mereka yang memiliki nama yang masyhur, dan menjadi harapan besar, yang berstatuskan `Graduate From Mesir’ di mata masyarakat setempat, bergerak, mendidik, membimbing, dan bermasyarakat di atas satu platform utama, platform Islam, yang berdasarkan kepada pegangan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias, yang bermatlamatkan sepertimana matlamat perjuangan Nabi Muhammad saw, dengan mengenepikan platform-platform lain yang mencacatkan perjuangan Islam yang pernah diperjuangkan oleh Nabi Muhammad saw. Kebersamaan kita dalam platform tersebut merupakan kewajipan, bukanlah perkara yang sunat.

Akhirnya, saya mendoakan kepada sahabat-sahabat sekalian, agar dikurniakan kehidupan yang berkat dan selamat samada di dunia dan akhirat dengan keberkatan rezeki yang paling mahal di sisi Allah taala, iaitulah kekalnya nikmat Islam dan Iman.

Salam Eidul Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zukapeli,
Presiden,

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM).

Tuesday, 10 August 2010

PERUTUSAN KHAS RAMADHAN 1431 H


Ramadhan al-Mubarak Madrasah Jihad dan Tarbiyyah

Ya Allah Ya Tuhanku, Berkatilah kami di dalam Bulan Rejab dan Syaaban ini, dan pertemukanlah kami dengan Bulan Ramadhan. Amin...

Alhamdulillah..Syukur dan teramat syukur kepada Allah taala, kerana telah diberi peluang oleh-Nya sekali lagi, pada tahun ini, bertemu dengan Bulan Kerahmatan, Keampunan dan Bulan Yang Membebaskan Seseorang daripada Azab Api Neraka, iaitu Ramadhan al-Mubarak. Seterusnya dapat melakukan ibadat iaitu amalan-amalan kebaikan yang sememangnya dijanjikan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda daripada bulan yang lain.

Terlebih dahulu, saya selaku Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Se Malaysia, yang mewakili seluruh saf kepimpinan ILMAM Pusat, mengucapkan salam Ramadhan al-Mubarak pada tahun ini kepada semua muslimin, muslimat, ikhwah, akhawat, sahabah dan sohabiyah, baik yang berada di dalam Malaysia ataupun di Bumi Mesir. Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini, menjadi pemangkin yang kuat kepada kebersamaan dan kethabatan kita di dalam perjuangan Islam pada hari ini dan di masa yang akan mendatang. InsyaAllah.

Sedia maklum, Ramadhan adalah satu bulan yang Allah taala telah wajibkan kepada hamba-Nya yang menganut agama Islam yang mukallaf, supaya melaksanakan ibadat puasa, dengan menahan hawa nafsu makan, minum, dan senggama serta nafsu daripada melakukan sebarang perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa, bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.

Apabila Allah taala menyebutkan : "Diwajibkan ke atas kamu berpuasa." Ini memberi makna bahawa puasa itu wajib ke atas setiap bahagian anggota tubuh badan individu muslim yang mukallaf. Iaitulah, puasa bagi telinga itu ialah tidak mendengar sebarang perkara yang maksiat. Puasa bagi mata itu pula adalah bermaksud tidak melihat apa sahaja bentuk maksiat dan dosa. Puasa bagi lidah pula, bermaksud tidak menutur sebarang percakapan yang sia-sia dan yang mendatangkan dosa. Begitu jugalah puasa bagi diri itu bermaksud membebaskan diri daripada sebarang kehendak hawa nafsu. Puasa bagi hati pula ialah bermaksud dengan mengeluarkan daripadanya kecintaan terhadap kebendaan-kebendaan duniawi ini. Dan puasa bagi fikiran pula ialah dengan menjauhkan pemikiran dari mengingati selain dari Allah taala.

Bercakap tentang Ramadhan al-Mubarak, Madrasah Jihad dan Tarbiyyah. Mudah-mudahan dengan Ramadhan kali ini, akan dapat meningkatkan lagi semangat juang dan jihad dalam diri kita. Sesungguhnya Jihad itu adalah kekal dan tidak akan hilang, sehinggalah ke hari Qiamat. Janganlah kerana disebabkan Ramadhan yang mewajibkan individu Islam berpuasa, maka ia menjadi alasan utama untuk merehatkan diri daripada berjihad fi sabilillah, iaitulah bekerja untuk pembangunan Islam, terutama kerja yang melibatkan masa dan tenaga.

Dalam masa yang sama, perlu diingatkan bahawa tarbiyyah adalah amat penting dalam mengekalkan semangat juang jihad tersebut. Tarbiyyah yang dimaksudkan adalah Tarbiyyah Jasadiyyah dan Tarbiyyah Ruhiyyah. Kedua-dua bentuk tarbiyyah ini mestilah dipraktikkan oleh seseorang yang inginkan momentum Jihad dalam dirinya berkekalan dan melonjak ke hadapan. Tidak dinafikan bahawa Tarbiyyah Ruhiyyah wajib dilaksanakan kerana ia melibatkan dalaman dan jiwa seseorang iaitu yang melibatkan hati. Kerana itulah, puasa yang disyariatkan oleh Allah taala di bulan Ramadhan, mengajar, mendidik dan membimbing hati seseorang supaya bersifat pemurah, teguh dan lebih yakin akan Kebesaran Allah taala.

Dari itu, marilah kita sama-sama, menjadikan Ramadhan kali ini, madrasah untuk mendidik, menyegarkan jiwa kita dengan tidak merehatkan jihad dan tarbiyyah dalam kehidupan kita seharian. Jadikan jiwa dan hati kita di kalangan mereka yang boleh ditarbiyyah, boleh dididik dan dibimbing, dengan bukan setakat mentarbiyyah, mendidik dan membimbing orang lain. Marilah kita sama-sama manfaatkan Ramadhan kali ini dengan sebaik-baiknya, dengan mendapatkan keberkatan, kerahmatan, dan keampunan dari-Nya dengan semaksima mungkin.

Penghujungnya, saya sekali lagi, selaku Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Se Malaysia (ILMAM), mewakili saf kempimpinan ILMAM Pusat mengucapkan salam Ramadhan al-Mubarak kepada muslimin dan muslimat sekalian.

Wassalam.

Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Se Malaysia (ILMAM)

Thursday, 5 August 2010

BABY HATCH


Perbahasan Tentang Pusat Perlindungan Bayi (Baby Hatch)

Pendahuluan

Bahagian ini akan membincangkan perbahasan yang berkaitan dengan penubuhan Pusat Perlindungan Bayi (Baby Hatch), dan saya membahagikan perbahasannya kepada beberapa bab, iaitu :

1. Pengenalan Baby Hatch

2. Hubungkait Dengan Maqasid Syariah

3. Beberapa Percanggahan Dengan Maqasid

4. Fiqh Muwazanat Dalam Perbahasan Ini

5. Kesimpulan

Kelima-lima perkara ini mempunyai hubungkait yang sangat rapat dalam perbahasan tentang Pusat Perlindungan Bayi ini. Perbahasan ini sekadar membincangkan tentang Pusat Perlindungan Bayi secara umum, tanpa mengaitkannya dengan mana-mana pertubuhan.


Pengenalan Baby Hatch

Pusat Perlindungan Bayi yang diperbahaskan di sini ialah sebuah pusat yang memusatkan penjagaan bayi yang dibuang. Maka, bayi yang tidak diingini oleh ibu mereka, akan dipusatkan di sini bagi mengelakkan terbuang.

Antara fungsi utama pusat ini ialah :

1. Bayi yang ditemui terbuang akan dipusatkan di bawah pusat penjagaan.

2. Ibu bapa tidak mampu menjaga anak mereka, juga dipusatkan di bawah pusat penjagaan ini.

(Sumber : en.wikipedia.org/wiki/Baby_hatch)

Di sana, beberapa buah negara telah pun menubuhkan pusat ini, antaranya ialah :

1. Austria
2. Jerman
3. Republik Czech
4. Perancis
5. Jepun
6. Britain
7. Pakistan

(Sumber : en.wikipedia.org/wiki/Baby_hatch)

Contoh pertubuhan yang telah menubuhkan pusat ini di Malaysia seperti OrphanCARE bertujuan memusatkan penjagaan di bawah satu kelolaan bagi bayi yang dibuang yang telah dilancarkan perasmiannya oleh Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, baru-baru ini.

(Sumber : Berita Harian, 31 Mei 2010)


Hubungkait Dengan Maqasid Syariah

Maqasid Syariah ialah matlamat atau tujuan penetapan syariat. Maka, syariat digariskan untuk menjaga kepentingan manusia, iaitu menjaga 5 perkara yang berkaitan dengan manusia. Iaitu :

1. Menjaga Agama atau pegangan manusia
2. Menjaga nyawa atau jiwa manusia
3. Menjaga akal manusia
4. Menjaga keturunan manusia
5. Menjaga harta dan hak milik manusia

Secara umumnya, syariat digariskan sebagai kepentingan manusia (maslahat). Firman Allah SWT yang bermaksud :

Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (Surah al Anbiya’ : 107)

(Dr Abdul Karim Zaidan, Usul Dakwah, Mu’assasah ar Risalah, cet pertama, 2010, hal. 289)

Imam Izzuddin Abdul Salam berkata :

Sesungguhnya Syariat itu semuanya adalah kepentingan, samada menolak kerosakan, ataupun mendatangkan kepentingan.

(Izzuddin Abdul Salam, al Qawa’id, jilid 1, hal. 9)

1. Islam menjaga agama (maqasid pertama), iaitu menjaga pegangan manusia. Maka, penubuhan pusat penjagaan bayi hendaklah tidak bercanggah dengan maqasid ini, seperti penubuhan pusat penjagaan bayi sebagai satu rancangan Kristianisasi. Perkara ini akan dihuraikan selepas ini. Insya Allah.

2. Islam menjaga nyawa (maqasid kedua), iaitu menjaga nyawa manusia. Bayi yang dibiarkan akan menyebabkan kematian sekiranya tidak dijaga. Maka, penubuhan pusat penjagaan ini bertepatan dengan maqasid syariah dari aspek “nyawa”.

3. Islam menjaga keturunan manusia (maqasid ketiga), iaitu mengekalkan kewujudan manusia di muka bumi. Bayi adalah generasi manusia yang perlu dijaga dan diwujudkan. Maka penubuhan ini bertepatan dengan maqasid syariah dari aspek “keturunan”.


Beberapa Perkara Yang Bercanggah Dengan Maqasid

Memang tidak dinafikan, penubuhan Pusat Perlindungan Bayi bertepatan dengan maqasid syariah, tetapi, harus diperhatikan juga beberapa perkara yang bercanggah dengan maqasid syariah, yang berkaitan dengan perbahasan ini. Iaitu :

1. Pemimpin Yang Tidak Melaksanakan Hudud

Pemimpin yang tidak melaksanakan hukum hudud, sehingga menyebabkan banyaknya berlaku pembuangan anak hasil zina. Maka pemimpin yang tidak melaksanakan hudud, telah bercanggah dengan syariat Islam. Ini kerana pelaksanaan hukuman hudud adalah wajib ke atas pimpinan.

(sumber : Dr Mustafa Khin, Dr Mustafa Bugho dan Syeikh Ali Syarbaji, Fiqh Manhaji Ala Mazhabil Imam Syafie, cet. ke 8, Darul Qalam, 2007, jilid 3, ms 538)

2. Mereka Yang Membuang Anak

Mereka yang membuang anak, atau menggugurkan kandungan lebih daripada 4 bulan, hukumnya haram dan bercanggah dengan syariat. Perkara ini telah dijelaskan di dalam Firman Allah SWT.

Maksudnya : Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (Surah al An’am : 151)

Daripada ayat ini, menjelaskan tentang pengharamannya ( Dr Wahbah Zuhaili, at Tafsir al Munir, Fil Aqidah Wasy Syari’ah Wal Manhaj, cet. 9 Darul Fikr, jilid 4 ms 450-451).

3. Menyokong Pimpinan Yang Tidak Melaksanakan Hudud

Mereka yang menyokong pemimpin yang tidak melaksanakan hudud atau tidak melaksanakan Islam, juga bercanggah dengan syariat Islam. Pimpinan yang tidak melaksanakan hudud dikira sebagai zalim, ini berdasarkan Firman Allah :

Maksudnya : dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir (Surah al Ma’idah : 44)

Di dalam ayat 45 menyebut dengan perkataan “zalim”, dan ayat 47 menyebut dengan perkataan “fasiq”. Jelas menunjukkan bahawa undang-undang Allah ini adalah satu kewajipan yang wajib dilaksanakan.

Maka, Allah SWT melarang manusia daripada menyokong orang yang melakukan kezaliman. Firman Allah SWT :

Maksudnya : Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan (Surah Hud : 113)

4. Mereka Yang Bisu Daripada Menyatakan Kebenaran

Mereka yang berdiam diri daripada menegur pemimpin yang tidak melaksanakan hudud. Mereka ini juga telah bercanggah dengan syariat Islam, iaitu “mencegah kemungkaran” adalah satu perkara yang wajib. Firman Allah SWT :

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. (Surah al Baqarah : 159)

5. Mereka Yang Menghalalkan Zina

Mereka yang menghalalkan zina dengan alasan-alasan tertentu, boleh menyebabkan terkeluar akidah. Kerana telah menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah SWT.

Maksudnya : Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al Masih anak Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang yang mereka sekutukan (Surah at Taubah : 31)

(sumber : Kitab Syarah Showi Ala Jauharah Tauhid, Syeikh Ahmad bin Muhammad al Maliki, cetakan ke 4, Darul Fikr Damsyik, tahqiq Dr Abdul Fattah Bazzam, hal. 423)

6. Mereka Yang Berzina

Mereka yang berzina, juga bercanggah dengan syariat yang telah diharamkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT :

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan) (Surah al Isra : 32)

Maka, jelas di sini bahawa Penubuhan Pusat Perlindungan Bayi adalah bertepatan dengan syariat, yang merupakan keperluan manusia. Tetapi ia bukanlah jalan penyelesaian untuk membenteras gejala zina. Bahkan terdapat kewajipan yang perlu berbanding penubuhan pusat ini. Perkara ini akan diperjelaskan selepas ini.

Fiqh Muwazanat Dalam Perbahasan Ini

Setelah kita dibentangkan dengan persoalan tentang maqasid Syariah, di sini akan melihat pula dari perspektif Fiqh Muwazanat, iaitu menimbang di antara maslahat (kepentingan) dan mafsadah (kerosakan).

1. Secara umumnya, kepentingan menjaga nyawa seseorang lebih penting daripada memikirkan kemungkinan zina lebih berleluasa disebabkan penubuhan pusat seperti ini.

Ini kerana kepentingan itu dilihat lebih besar, berbanding kerosakan yang mendatang. Maka, kita perlu mengutamakan kepentingan yang lebih besar, berbanding kerosakan yang kecil.

2. Kerosakan yang kecil tersebut (zina), perlu diselesaikan dengan hukuman hudud. Maka, melaksanakan hukuman hudud itu lebih utama berbanding menubuhkan Pusat Perlindungan Bayi.

Ini kerana melaksanakan hudud itu adalah kepentingan yang lebih besar, berbanding penubuhan pusat ini. Iaitu sekiranya bertembung di antara dua maslahat (kepentingan), maka perlu diutamakan maslahat yang lebih utama.

3. Melantik pimpinan yang melaksanakan Islam adalah wajib, dan kepentingan yang begitu besar dalam menjaga maslahat. Maka, memperjuangkan pimpinan yang akan melaksanakan Islam dengan sebenar-benarnya, lebih besar dan utama berbanding menubuhkan pusat ini.

Maka, utamakan apa yang perlu diutamakan. Iaitu, maslahat (kepentingan) melantik pimpinan yang melaksanakan hukum Islam, lebih utama berbanding penubuhan pusat ini. Tetapi, penubuhan pusat ini bukanlah bercanggah.

4. Mencegah maksiat adalah wajib. Maka, mencegah maksiat lebih besar, lebih diutamakan daripada mencegah maksiat yang kecil. Maka, mencegah maksiat “tidak melaksanakan hukuman hudud” lebih wajib daripada mencegah maksiat berzina atau buang anak. (bukan bermakna tidak mencegah maksiat kecil)

Maka, utamakan apa yang perlu diutamakan. Sepertimana yang telah disebutkan, sekiranya bertembung di antara dua kerosakan, maka perlu dihapuskan kerosakan yang lebih besar dahulu. Bukan bermakna membiarkan kerosakan yang sedikit.

5. Sekiranya terdapat bentuk serangan Kristianisasi dalam penubuhan Baby Hatch ini, kita perlu menubuhkan pula Pusat Penjagaan Bayi di bawah organisasi Islam. Ini kerana :

a) Menyelematkan nyawa bayi adalah wajib dan selari dengan maqasid syariah.

b) Menyelamatkan akidah dan pegangan bayi tersebut juga merupakan maqasid syariah.

Maka, menubuhkan Pusat Penjagaan Bayi di bawah organisasi Islam merupakan kepentingan (maslahat) yang utama, selain daripada melantik pimpinan yang melaksanakan Islam.

6. Penubuhan Baby Hatch ini adalah merupakan perkara yang “diperlukan segera”, walaupun terdapat keutamaan yang lain. Maka, ia jangan dilewat-lewatkan. Ini kerana perkara yang diperlukan segera walaupun terdapat keutamaan yang lebih, maka perlu dilaksanakan perkara ini. Tidak perlulah menunggu pemimpin melaksanakan Islam, barulah hendak menubuhkan Pusat ini.

(Sumber : Dr Majdi Hilali, Min Fiqhil Aulawiyat, cet. pertama Maktabah Darul Andalus, 2008 dan Dr Yusof al Qaradhawi, Fi Fiqhil Aulawiyat, cet. kelapan, Maktabah Wahbah, 2008)

Kesimpulan

Kesimpulan di sini ialah, keutamaan yang perlu diutamakan terlebih dahulu ialah :

1. Menubuhkan sistem gerakan dalam menaikkan pimpinan Islam. Sekiranya tiada sistem, bagaimanakah pimpinan Islam tersebut boleh dinaikkan? Maka, inilah yang dinamakan sebagai gerakan Islam. Maka, wajib bagi setiap individu muslim, untuk bersama dengan gerakan ini, untuk mencegah kemungkaran dan meninggikan Islam.

2. Melantik pimpinan yang melaksanakan sistem Islam adalah wajib. Maka, untuk melantik pimpinan seperti ini memerlukan kepada sistem tadi. Ia diperlukan untuk menyelesaikan masalah buang anak, dan memastikan maqasid syariah terpelihara. Sekiranya pimpinan ini tidak melaksanakan Islam, kita perlu menggantikannya dengan pimpinan lain.

3. Kemudian, barulah difikirkan untuk menubuhkan Pusat Penjagaan Bayi yang diperbahaskan di sini. Iaitu yang selari dengan maqasid syariah. Sekiranya bercanggah, contohnya seperti Pusat Penjagaan Bayi yang berunsur Kristianisasi, maka perlu ditubuhkan di bawah organisasi Islam.

Ketika ini, tindakan yang perlu diambil ialah :

1. Menggabungkan diri bersama gerakan Islam.

2. Memperjuangkan pimpinan yang melaksanakan Islam.

3. Mencegah kemungkaran dan menegak kemakrufan.

4. Menubuhkan Pusat Penjagaan Bayi di bawah Islam.

Kesemua ini tidak bertembung di antara satu sama lain. Maka lakukanlah ia sekaligus. Iaitu melaksanakan keempat-empat perkara ini tanpa mengabaikan salah satu darinya kerana keempat-empatnya adalah penting.

Wallahua’lam

Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil
Fellow MANHAL PMRAM