
Apakah Maksud Nafkah Zahir
Dari segi nafkah zahir, apakah yang dimaskudkan dengan nafkah zahir? Adakah dengan membayar segala bill perumahan itu dikatakan nafkah zahir tanpa memberi wang kepada si isteri?
Jawapan
Ahli ilmu dahulu dan sekarang telah bersepakat mengatakan bahawa suami wajib memberi nafkah kepada isterinya selama tidak nusyuz.
Termasuk yang tidak wajib diberi nafkah ialah isteri yang keluar bekerja tanpa keizinan suami.
Jumhur ulamak berpendapat bahawa nafkah isteri (nafkah zahir) ialah segala keperluan hidup, seperti tempat tinggal, makan dan pakai. Anggarannya adalah berdasarkan kepada kebiasaan satu-satu negeri dan zamannya. Juga berdasarkan kepada kemampuan suami, susah atau senang.
Masalah: Jika seorang isteri tinggal bersama suaminya, dan tidak mendapat keperluan yang mencukupi kerana kebakhilan suami, bukan kerana kemiskinannya, maka isteri boleh mengambil wang suami tanpa izinnya sekadar yang mencukupi. Tidak boleh berlebih-lebihan.
Dasarnya ialah hadis riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Nasa’I dari Aisyah mengenai pengaduan Hindun tentang kebakhilan Abu Sufian yang tidak memberinya nafkah yang mencukupi. Lalu Rasulullah s.a.w. mengarahkan Hindun mengambil harta suaminya sekadar yang perlu untuk dirinya dan anaknya.
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyenaraikan: 1 . Makan minum 2 . Pakaian 3 . Tempat tinggal 4 . Pembantu/khadam/orang gaji. Ulamak bersepakat tentang kewajipannya bagi suami yang punya keluasan harta. 5 . Peralatan dapur, pembersih dsbnya.
Pembayaran bil bulanan termasuk api dan air adalah sebahagian dari keperluan asas zaman sekarang.
"…tanpa memberi wang kepada si isteri?", apakah yang puan maksudkan dengan `wang’ di sini. Apakah ia wang keperluan (dengan maksud nafkah) atau wang saku?
Jika `wang’ yang dimaksudkan itu adalah untuk keperluan sebagai ganti dari barang keperluan dapur, atau ganti dari wang perkhidmatan, atau sebagainya, maka suami wajib beri pada isteri.
Jika `wang’ yang dimaksudkan itu adalah wang saku, suami tidak wajib beri. Ia adalah pemberian di luar kewajipannya. Dan satu kebajikan kepada isteri. Wang saku ialah wang yang diberikan setelah semua keperluan nafkah isteri dicukupkan. Wang ini adalah untuk simpanan, membeli sesuatu di luar dari kategori nafkah. Untuk kesenangan, bukan keperluan.
Sekian, Wallahu a’lam.