BORANG ONLINE ILMAM

NAMA PENUH
ALAMAT RUMAH
NO KAD PENGENALAN
JANTINA
ILMAM NEGERI
NO TELEFON
EMEL ANDA
PEKERJAAN SEKARANG/ JAWATAN
Saya akan membantu ILMAM di dalam bidang Dakwah
Penyelidikan
Penulisan
IT/Internet/Web
Sukarelawan
Fasilitator
Program Kemasyarakatan
Politik Dunia
Isu Palestin
Perubatan
Lain-Lain
Mohon Tuan/ Puan untuk berkongsi sedikit latar belakang pengajian sebelum ini (Contoh : jurusan pengajian di Mesir, tahun pengajian dan sumbangan yang boleh diberikan kepada ILMAM)

Saya mengaku segala kenyataan di atas adalah benar dan saya akan membantu Pertubuhan ILMAM Malaysia sekiranya diperlukan. Sekian, terima kasih.

 


Click here to create your own form.

Wednesday 24 February 2010

TABARRUJ : AWASILAH KESESATAN FAHAMAN PASIF


Ramai di kalangan masyarakat Islam yang memiliki sijil yang tinggi, tapi malangnya mereka pasif dalam hal yang mereka sendiri anuti. Akibat dari kesempitan fahaman tadi, akhirnya muncullah ISU baru yang mengelirukan. Di antaranya (mereka mengatakan) bermake-up dibolehkan. Isu tersebut cuba diterapkan dalam masyarakat dan cuba dikemukakan bersandarkan kepada alasan-alasan dan fakta-fakta berikut:

1. Bermake-up hanyalah dosa kecil
2. Ianya merupakan simbol ketamadunan
3. Tidak sanggup menentang suasana dan keadaan masyarakat sekeliling
4. Faktor utama untuk segera ke jinjang pelamin
5. Ta’at kepada suruhan suami
6. Umur sudah tua, tiada sambutan orang yang melihat
7. Muka dan rupa yang cantik

Idea yang tersebut, semuanya tidak berasas, malahan lahir dari emosi dan dorongan hawa nafsu semata-mata. Generasi terpelajar memang mampu untuk berdialog. Mereka banyak buah fikiran, banyak maklumat, sanggup pula berhadapan dengan masyarakat, samada masyarakat bawahan atau atasan. Tapi sayang, pertahanan mereka hanya berteraskan hawa nafsu. Mereka mahu menegakkan benang yang basah.

Sikap mereka ini tak ubah seperti sikap orang-orang kafir sepertimana yang terdapat di dalam firman Allah yang bermaksud: “……..tetapi orang-orang yang kafir membantah dengan yang batil yang sedemikian mereka dapat melenyapkan yang hak, dan mereka menganggap ayat-ayatKu dan peringatan peringatan terhadap mereka sebagai olok-olokan” (al-Kahfi: 56).

Jika benar golongan ini benar-benar terpelajar serta faham segala suruhan Allah dan RasulNya, maka jadilah diri kamu semua sebagai cermin tempat masyarakat mendapat panduan. Mudahan-mudahan teladan ini semua dapat dijadikan contoh, sekurang-kurangnya untuk kaum sejenis kamu. Sekiranya kamu semua telah menghayati suruhan Islam dengan terperinci, masyarakat akan terjamin dari sebarang fitnah, hidup masyarakat aman damai, negara juga akan turut menjadi makmur. Memang benar, kaum wanita laksana srikandi negara.

Jika mereka siuman, makmurlah negara, andaikata mereka runtuh, hancurlah negara. Persaingan idea sudah menjadi lumrah insan, tetapi dalam soal pokok atau dasar (prinsip) jangan pula berbalah. Umpamanya ada terdapat di kalangan kaum bijak-pandai yang melahirkan kepura-puraan yang seakan-akan diterima fikiran sama sekali tidak berasas. Seperti kata mereka: “bermake-up, di samping itu kita juga tunaikan ibadat yang disuruh seperti sembahyang, berpuasa di bulan Ramadhan, bersedekah, mengerjakan haji dan lain-lain lagi. Hasil dari semua ini, tentu terhapus semua dosa-dosa kecil ”.

Jika benar sebagaimana yang didakwakan mereka, sekarang mari kita berdiskusi. Sudah berapa kali kita bermake-up di waktu keluar dari rumah. Sudah banyak bukan!!?? Dan sekarang juga masih berpura-pura. Cuba kita semak kembali dan hitung dengan teliti. Berapa banyak kesalahan seperti ini yang kita telah lakukan. Jawapannya juga banyak. Natijah dari kesalahan yang banyak, tentu dosanya juga banyak. Malahan kamu meringan-ringankan suruhan Allah itu juga merupakan seuatau kesalahan yang besar.

Bersambung ...

Wednesday 17 February 2010

TABARRUJ : BERSOLEK TANDA KEKOLOTAN


Wanita bersolek, alamat lemah mentalnya. Benarlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Setiap wanita ada kelemahannya, lemah tenaga berfikir dan lemah soal-soal agama”.

Di zaman silam, amalan bermake-up – wanita-wanita mendedahkan kecantikan rupa paras – adalah merupakan satu perkara tradisi. Di zaman moden ini pula, masih ada lagi golongan wanita yang cuba memulihkan setiap amalan kolot dahulu dan dipolularkan pula dengan teknik dan cara yang moden. Lantaran inilah Allah melarang sikap golongan tersebut. Larangan ini termaktub di dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bersolek seperti solekan orang-orang Jahiliyyah yang dahulu” (al-Ahzab: 33)

Pujangga Arab pula ada berkata: “Otak kolot gemarkan perhiasan. Mental terpelajar tidak berhajat sebarang perhiasan”.

Keadaan hidup orang terpelajar Islam adalah normal. Mereka tidak tamak perhiasan yang banyak, malahan ilmu pengetahuan yang ada di dada mereka sudah cukup sebagai perhiasan diri.

Beginilah keadaan manusia, andaikata perhatian ditumpukan kepada kerohanian sepenuhnya, alamat berkuranglah perhatian ke bidang material. Tapi tidak mengapa, ukuran manusia di hati dan lisannya, bukan ukuran terletak di kot atau di gaunnya.

Seorang penyair Arab pernah bersyair dengan katanya:

Ambillah jiwa yang suci ini
Lengkapkan pula budi pekerti
Tidak kebahagian di rupa paras
Tapi berbahagia di jiwa yang murni!

Si pesolek tidak ubah seperti kanak-kanak. Sukakan pakaian yang baru-baru dan moden. Tapi untungnya, kanak-kanak tidak membazirkan masa berjam-jam di hadapan cermin. Malangnya, kakak-kakak yang telah dewasa melakukan ini semua. Berjam-jam masa dihabiskan di hadapan cermin. Mereka ini sudah pandai menilai kecantikan tubuh kononnya. Andainya diletakkan fesyen ini ke badan, semakin bergayalah, dan jika dibedak semakin berserilah wajah yang sedia ada? Kepastian ini dapat dijawab oleh cermin di hadapannya. Jika tak puas dilihat di rumah, bukankah ada cermin mini yang tersedia ada di dalam beg tangannya?

Sungguh aneh, di zaman ini pun terdapat sesetengah siswazah yang terikut-ikut dengan suasana dan keadaan. Mereka juga bermake-up dan berpakaian seperti orang yang tidak berpelajaran. Maka akibatnya bukankah sama….?? Ini dapat kita perhatikan dari firman Allah yang bermaksud: “…..Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikit pun. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim” (al-Qasas: 50)

Siksaan yang lebih dahsyat akan diberikan kepada wanita terpelajar andainya mereka tidak menghayati apa yang mereka pelajari. Penjelasan tersebut dapat dilihat dalam firman Allah yang bermaksud: “Kecelakaan yang besarlah bagi tiap-tiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa. Dia mendengar ayat-ayat Allah yang dibacakan kepadanya, kemudian dia tetap menyombong diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka beri khabarlah dia dengan azab yang pedih” (al-Jathiah: 7-8)

Ada pula golongan yang berpendapat bahawa Allah tidak memaksa sesiapa malahan memberi kuasa kepada manusia untuk memilih. Jika ada syariat Islam yang sesuai dengan kehendaknya, boleh dikerjakan. Jika tidak ada, boleh ditinggalkan begitu sahaja. Terhadap golongan ini, jangan lupa pula Allah ada berfirman yang bermaksud: “….Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian di antara kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksaan yang sangat berat. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang kamu lakukan” (al-Baqarah: 85).

Bukan semua perundangan dan suruhan Allah mengikut kehendak dan hawa nafsu manusia seperti firman Allah yang bermaksud: “Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini serta semua yang ada di dalamnya” (al-Mukminun: 71)

Dan firmanNya yang lain yang bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan bagi perempuan mukminat, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya, maka dia telah sesat yang nyata” (al-Ahzab: 36).

Beginilah situasi hidup manusia semua kiranya hidup dikuasai nafsu, suruhan yang baik dirasai bagai hempedu, maksiat terkutuk disangkakan madu.

Manusia begini terdapat dalam firman Allah yang bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya dan meletakkan penutup pada penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah. Maka apakah kamu tidak mengambil pengajaran?” (al-Jathiah: 23).

Sunday 14 February 2010

Norasyikin terlibat dengan kemalangan

Ahad, 14 Feb 2010 -Ustazah Norasyikin (Isteri kepada Ustaz Azhari Zailani) terlibat dalam satu kemalangan tengahari semalam. Beliau yang juga ahli ILMAM Pahang menaiki motorsikal menuju ke bandar telah dilanggar oleh sebuah motorsikal.

Beliau kecederaan yang serius di buku lali kaki kini sedang di rawat di Hospital Ampang Puteri. Walaubagaimanapun beliau kini dilaporkan stabil.

Sehubungan dengan ini, semua ahli ILMAM di minta untuk memohon doa kepada Allah untuk kesihatan yang lebih baik bagi beliau. Sebarang maklumat boleh berhubung terus dengan Us Azhari (0139138650).

Wednesday 10 February 2010

TABARRUJ : SATU KEHINAAN


Sebilangan besar wanita sekarang berlagak bagaikan pengantin baru bila keluar dari rumah. Mereka berpakaian indah mengikut fesyen. Ada pula kain bajunya terlalu nipis hingga terbayang bentuk ukuran badan.

Dengan perbuatan ini, seolah-olah mereka berkata-kata di dalam hati: “Siapakah tidak terpesona bila melihat keindahan fesyen pakaian yang membalut tubuhku? Siapakah tidak tertarik pada bentuk badan dan langkahku dan siapa….?” Sedarkah mereka bahawa perbuatan tersebut tak ubah langkahnya seperti penjual manik-kuran di jalan-jalan atau di kaki lima. Setiap yang lalu pasti memerhatikan. Jika tidak melihat, penjual sendiri datang menawarkan diri. Tapi sayang ……! Ramai pemerhati dari pembeli.

Andainya golongan ini berfikir sejenak, nescaya timbul perasaan malu. Natijahnya, sudah pasti mereka akan menutup ‘aurat dan keindahan rupa paras mereka. Allah s.w.t ada berfirman yang bermaksud: “Hai Nabi ‘Alaihissalam, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang” (al-Ahzab: 59).

Sekitar ayat tadi, dapatlah difahamkan bahawa Allah s.w.t telah menjelaskan kedudukan wanita-wanita yang baik. Sebagai model untuk Muslimat semua, Rasulullah s.a.w menyuruh isteri-isteri dan anak-anak perempuan supaya mereka memakai jilbab (purdah).

Wahai wanita-wanita yang beriman! Hendaklah kamu semua berpakaian menutup ‘aurat. Setiap pergaulan dan percakapan mestilah berpandukan Islam.

Dari aspek-aspek inilah dapat diukur sejauh manakah keimanan kamu dalam melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya.

Tanggungjawab yang anda semua lahirkan itu merupakan satu kaedah yang boleh menjadi tauladan kepada wanita-wanita yang lain. Di samping itu pula, dapat dibezakan di antara golongan yang beriman lagi beramal dengan golongan yang tidak beriman. Golongan beriman sudah tentu dihormati dan disegani oleh setiap golongan dan lapisan masyarakat.

Duhai belia-beliawanis Islam!

Andainya pakaian dan tingkah laku anda tidak ada bezanya dengan penari-penari di kelab malam, atau pakaian kamu sama sahaja dengan pakaian wanita-wanita yang tidak beriman, di manakah letaknya bukti dan di manakah letaknya keperibadian sebagai wanita Islam? Iman terletak di hati sudah tentu tidak dapat dilihat. TETAPI penzahiran keimanan dapat dilihat dari amalan dan pakaian serta tingkah laku.

Bertudung kepala dan berpakaian menutup ‘aurat adalah di antara lambang wanita Islam. Perkara tersebut menjadi bukti di sisi wanita Islam dan melambangkan kemuliaan dan ketinggian moral serta budi pekerti mereka.

Awasilah diri kamu wanita-wanita Islam. Tutuplah ‘aurat kamu seperti yang disuruh oleh Allah dan RasulNya. Dengan tudung dan pakaian demikian kamu tak mungkin mengalami pandangan-pandangan liar, sindiran-sindiran yang tajam dan teguran-teguran sinis dari jejaka di kaki lima.

Setiap jiwa dan anggota yang bersih, sudah pasti tidak rela dinodai. Berbeza dengan kaum wanita yang tidak beriman, jiwa raga mereka ini semua sudah jelas tidak bersih, sebab itulah kata-kata menyindir dan renungan yang tajam tidak terasa menghina.

Jika kata-kata kesat seperti ini sudah terasa menyentuh perasaan mereka, tergoda sanubari, tentulah mereka sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk membeli alat-alat solek, pakaian-pakaian yang mendedahkan ‘aurat mereka.

Bukankah perbuatan ini semua untuk dijadikan ‘Free Show’, tontonan bebas, siapa saja boleh melihat dan menatap dengan sepuas hati tanpa bayaran tertentu.

Allah s.w.t telah menciptakan manusia dengan seindah-indah kejadian. Kaum wanita diciptakan sesuai dengan sifat keperempuanan dari segi jasmaniah dan naluri. Oleh itu kenapakah kaum wanita rela menukarkan dari rupa paras yang normal kepada wajah yang berlainan dari yang asal. Apakah mereka belum berpuas hati dengan kejadian naluri yang ada pada mereka….?

Seorang sasterawana Perancis yang terkenal berkata: “Secantik-cantik seorang gadis ialah yang tidak menyedari kerupawanannya”. Si cantik manis lagi rupawan tidak akan berhajat kepada segala alat-alat solek kerana ia sudah berpuas hati dengan apa yang ada padanya. Tetapi kenapakah masih ada yang berpura-pura menampakkan kejelitaannya andainya ia tidak memiliki kecantikan seindah orang lain.

Muka yang berkerut dan berbintil-bintil ditempel bedak. Bibir yang pucat digincu. Rambut yuang pendek bagai wanita Habsyi ditambah dengan ciptaan palsu. Yang panjang dipendekkan hingga sukar dikenali jantinanya. Buah dada yang kempes disarungkan dengan coli yang besar lagi tajam. Apakah dari tindakan yang kamu ada-adakan ini semua boleh menguntungkan?

Sebenarnya pemuda yang siuman lebih mengerti manakah gadis yang asli dan manakah pula gadis celupan. Walaupun ditampal dengan seribu jenis alat solek, namun rugi di dunia dan di akhirat. Di dunia, kamu ditertawakan atau dipermain-mainkan orang, sedangkan di akhirat pula, kamu pasti menerima siksaan!

Thursday 4 February 2010

TABARRUJ : AMARAN ALLAH TAALA


Allah s.w.t telah memberi amaran, khasnya ditujukan kepada orang-orang yang beriman di dalam firmanNya yang bermaksud: “Janganlah kamu mendekati perbuatan zina…..” (al-Isra': 32).

Natijah ayat tersebut, Allah s.w.t telah memerintahkan orang-orang Islam supaya menjauhkan diri dari sebarang perbuatan yang membawa kepada kemungkaran. Umpamanya, penzinaan tidak mungkin berlaku andaikata tidak didahului dengan sentuhan perasaan dan sambutan. Oleh itu sudah menjadi syari’at Islam, apabila mengharamkan kemungkaran, maka segala jalan yang membawa kepada kemungkaran tersebut juga diharamkan.

Syeikh Muhammad al-Ghazali ada menyatakan: “Andai kita sudah mengenali jenis penyakit yang dihadapi, masakan pula berlaku perbalahan cara mengubatinya di kalangan kita.”

Rasulullah s.a.w menjelaskan lagi dengan sabdanya yang bermaksud: “Penglihatan yang bernafsu sudah dianggap penzinaan.” Sabdanya lagi: “Tiga jenis mata yang tidak disentuh api Neraka: Mata yang tidak memandang perkara-perkara yang diharamkan Allah, mata yang berwaspada di dalam perang, mata yang menangis kerana takutkan siksaan Allah.”

Nabi ‘Isa a.s pula bersabda yang maksudnya berbunyi: “Sesiapa yang memandang ke arah wanita dengan perasaan berahi maka dia sudah dianggap melakukan penzinaan di dalam hati.”

Kepuasan melalui pandangan merupakan salah satu kepuasan yang amat besar. Sebagai bukti, cuba kita lihat, berapa banyak terdapat di kalangan masyarakat yang sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk memperlengkapkan perabot rumah dalam bentuk yang indah. Umpamanya alat-alat kegunaan di dapur seperti pinggan mangkuk, gelas cawan, yang semuanya berset (beserta berpasangan).

Semua alat-alat ini beraneka bentuk dan fesyen. Malahan ada pula di antaranya yang sengaja dipamerkan di ruang tamu. Sudah tentu bejana-bejana yang dipamerkan itu lebih mahal dan menarik dari digunakan di dapur. Penzahiran ini, semuanya menarik perhatian pandangan setiap tetamu yang datang. Perbuatan ini seolah-olah tuan rumah itu membentangkan santapan mata terlebih dahulu sebelum dihidangkan juadah makanan.

Memang benar apa yang dikatakan ‘Makanan mata lebih berharga dari makanan mulut’. Malahan dengan melalui pandangan mata, seseorang itu terbuka selera untuk menjamah makanan yang dihidangkan di hadapannya.

Keadaan ini semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Cuba perhatikan, orang-orang perempuan pada zaman ini terutamanya anak-anak gadis. Mereka tidak akan keluar ke tempat-tempat belajar, kelab-kelab wanita, tempat-tempat kenduri dan sebagainya sebelum muka ditempel dengan berbagai alat make-up. Tujuan perbuatan ini adalah untuk menarik setiap lelaki yang ditemui di jalan. Apatah lagi bagi pemuda-pemuda di kaki lima, bagaikan orang mengantuk yang disorongkan bantal.

Oleh itu berwaspadalah kamu wahai orang-orang beriman. Ingatlah, ada barang-barang di dunia ini yang boleh dipamerkan dan dilihat. Di samping itu ada pula yang tidak boleh dipamerkan dan dilihat. Tidak dinafikan bahawa setiap insan mempunyai perasaan (emosi) seperti suka-duka, inginkan pemandangan yang indah, tetapi itu adalah perkara biasa atau normal sahaja.

Dorongan syahwat tidak akan bertindak ganas jika tidak dilayani dengan mendedahkan perkara-perkara yang membangkitkan berahi di hadapannya. Punca keberahian tidak akan lahir tanpa pancaindera. Oleh itu memang tepat apa yang dikatakan oleh penyair “punca maksiat terbit dari penglihatan”. Rangkaian maksud syair tersebut dapat dilihat seperti di bawah:

Setiap kejadian dari pandangan
Bagaikan kebakaran dari serpihan
Banyak kerlingan menikam kalbu
Kalbu ditikam tanpa panahan
Selagi manusia mengikut perasaan
Bahawa di hadapan tidak kesedaran
Relakan bencana datang melanda kemuliaan
Usah disambut andai datang membawa kehancuran

Wednesday 3 February 2010

TABARRUJ : TRADISI BERMAKE-UP (BERSOLEK)


Ada di kalangan manusia yang menganggap bahawa bersolek adalah satu tradisi bagi golongan wanita. Oleh itu sekiranya seorang perempuan melengkapkan dirinya dengan berbagai-bagai fesyen pakaian, dan beraneka jenis alat solek di badan, tidaklah menjatuhkan imej dan moralnya, dan tidak pula membangkitkan keinginan setiap mata yang memandang……!

Pemikiran dan dakwaan ini sudah menyeleweng jauh dari logik dan kebenaran. Adakah syahwat setiap manusia itu terbatas? Umpamanya seorang suami yang berdepan dengan wanita yang lain selain dari isterinya, apakah perasaan syahwatnya tidak akan beraksi? Jika perkara ini benar-benar berlaku, nescaya perceraian dan pengkhianatan rumahtangga dalam masyarakat tidak akan berlaku sama sekali.

Sebagai ringkasnya, apakah anggapan ini semua betul……..?

Sebenarnya golongan lelaki dan wanita memiliki perlainan sifat-sifat atau perbezaan-perbezaan sifat fizikal di samping berbeza pula di bidang naluri masing-masing. Kaum wanita memiliki fizikal yang khas, tingkah laku mereka lemah lembut serta memiliki hormon-hormon Fauicolone dan Prageslerone. Semua aspek ini adalah sesuai untuk menjadi seorang ibu.

Sedangkan kaum lelaki pula memiliki badan yang tegap serta tenaga yang kuat yang mengatasi tenaga kaum wanita. Istimewa pula kaum lelaki mempunyai benih-benih zuriat (semen). Sifat-sifat ini semua sesuai pula untuk menjadi seorang bapa.

Secara umum, sifat-sifat normal tadi tidak mungkin berubah atau pun bertukar di antara satu sama lain. Berlakunya kejadian ini semua, Allah s.w.t telah menjelaskan di dalam ayat-ayat-Nya yang bermaksud: “Bukankah dia didahului setitis mani yang ditumpahkan ke dalam rahim, kemudian mani itu menjadi segumpal darah. Lalu Allah menciptakan dan menyempurnakan. Kemudian Allah menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan” (al-Qiamah: 37-39).