BORANG ONLINE ILMAM

NAMA PENUH
ALAMAT RUMAH
NO KAD PENGENALAN
JANTINA
ILMAM NEGERI
NO TELEFON
EMEL ANDA
PEKERJAAN SEKARANG/ JAWATAN
Saya akan membantu ILMAM di dalam bidang Dakwah
Penyelidikan
Penulisan
IT/Internet/Web
Sukarelawan
Fasilitator
Program Kemasyarakatan
Politik Dunia
Isu Palestin
Perubatan
Lain-Lain
Mohon Tuan/ Puan untuk berkongsi sedikit latar belakang pengajian sebelum ini (Contoh : jurusan pengajian di Mesir, tahun pengajian dan sumbangan yang boleh diberikan kepada ILMAM)

Saya mengaku segala kenyataan di atas adalah benar dan saya akan membantu Pertubuhan ILMAM Malaysia sekiranya diperlukan. Sekian, terima kasih.

 


Click here to create your own form.

Wednesday 24 June 2009

HUKUM BERDATING


Hukum 'Berdating'


Soalan:

Adakah "berdating" itu tergolong dalam dosa-dosa besar? Muslimat, Kajang


Jawapan:

Berdating bererti menghampiri perzinaan. Dalam Islam seseorang itu dilarang keras dari menghampiri perzinaan. Oleh kerana pezinaan itu mendatangkan dosa besar, maka melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada perzinaan termasuklah Dating ini adalah haram dan berdosa.

Kaedah feqah menjelaskan "Setiap sesuatu yang membawa kepada perlakuan yang haram, maka hukum melakukan perkara tersebut adalah haram".

Jauhilah dari berdating kerana ianya adalah jalan mudah bagi syaitan menjerumuskan anak Adam ke lembah perzinaan. Jauhilah dari berdating kerana orang yang ketiga di masa itu ialah syaitan.

SUAMI SOLEH


Cara Mendapat Suami Beriman


Soalan:

Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan pasangan lelaki yang baik dan beriman? Adakalanya saya sungguh berminat dan berharap orang itulah yang akan menjadi suami saya, tetapi akhirnya saya ditinggalkan begitu saja. Memanglah jodoh pertemuan di tangan Allah tapi kita berhak mencari, berikhtiar untuk mendapatkan pasangan yang baik untuk kita. Tolonglah selesaikan kebuntuan di jiwa saya ini, saya sudah mencecah usia 25 tahun pada tahun ini? Adik, PJ

Jawapan:

Untuk mendapatkan pasangan suami yang beriman boleh dilakukan dengan beberapa pendekatan. Antaranya menunaikan solat hajat dan memohon suami yang soleh dari Allah SWT. Membanyakkan bacaan doa; "Ya Allah Ya Tuhanku kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan suami-suami serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati kami dan jadikanlah kami sebagai ikutan kepada orang-orang yang bertakwa."

Selain itu boleh juga dilakukan dengan meminta bantuan orang tengah yang dipercayai untuk mencari jodoh yang soleh khasnya mereka yang mengetahui lebih dekat tentang latar belakang seseorang lelaki.

Dalam Islam harus kepada seseorang perempuan melamar seseorang lelaki yang dilihatnya seagai seorang yang solih. Melamar di sini bermaksud menyatakan hasrat hati kepada lelaki berkenaan dan memintanya supaya meminang gadis terlibat. Saudari disarankan memperbanyakkan membaca surah Yusuf.

Tuesday 16 June 2009

SALAM TAKZIAH


Salam Takziah


Dr. Fathi Yakan. Seorang mujahid dakwah dan ulamak dunia. Tersohor diseluruh pelusuk negara. Karangan-karangan beliau menjadi manhaj dan santapan penyemaian fikrah islam yang sebenar bagi orang-orang yang sentiasa mengkaji dan mendalami agama. Allah yarhamuhu..amenn


Ammar Zulkifli seorang pelajar Medic, salah satu universiti perubatan di Mesir. Meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika menguruskan perjalanan program persatuan.


Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) mengucapkan Salam Takziah kepada seluruh ahli keluarga Al-marhum Dr Fathi Yakan dan Al-marhum Saudara Ammar Zulkifli di atas pemergian mereka berdua ke Rahmatullah. Semoga Allah taala memberkati dan merahmati mereka berdua.

Sunday 14 June 2009

BUKAN MUHRIM TINGGAL SERUMAH


Bukan Muhrim Tinggal Serumah


Soalan: Saya sekarang tinggal bersama ibu mertua saya di Kuantan. Isteri saya sekarang baru saja melahirkan anak kedua kami. Yang menjadi masalah bagi saya ialah sepupunya (lelaki) datang untuk tinggal selama 2 bulan di sini. Kerana praktikal di bandar Kuantan. Jadi apakah yang patut saya lakukan? Zulkifli

Jawapan: Kehidupan rumahtangga adalah jalinan perasaan antara suami dan isteri yang tidak harus terselip rasa kebimbangan dan kecurigaan. Jika perasaan ini muncul disebabkan oleh faktor luaran, maka suami harus menyelesaikannya secara bijaksana.

Di dalam Islam seorang isteri dilarang menerima tetamu lelaki jika tidak ada suaminya di rumah, kerana ianya boleh menimbulkan fitnah. Apatah lagi jika suami ataupun isteri mengajak orang lain untuk tinggal serumah dengan mereka ini bererti suami telah mengabaikan keselamatan diri isterinya.

Carilah jalan penyelesaian yang terbaik agar sepupu tadi boleh menyewa rumah di tempat lain, jika terpaksa, jagalah kehormatan dan pergaulan di dalam rumah tersebut mudah-mudahan di ampuni Allah. Yang jelas pada dasarnya suami tidak boleh menempatkan isterinya dengan orang yang bukan muhrimnya.

Rasulullah SAW bersabda: Dari Uqbah Bin Amir, katanya; Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda: Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita: Lalu seorang sahabat Ansar bertanya: "Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?".Sabda baginda: "Ipar itu maut". (Riwayat Nasa'i)

Jadi jelaslah jika ipar sahaja disamakan dengan maut (perkara yang merbahaya) apatah lagi jika orang lain. Semoga Allah meringankan kita dalam segala urusan, insya Allah.

Wallahu A'lam

CINTA SEBELUM KAHWIN


Bolehkah Bercinta Sebelum Kahwin?


Saya ingin tanya bolehkah umat Islam atau manusia yang bukan muhrim yang belum berkahwin bercinta? Jika boleh bagaimana pendekatan dalam Islam ?

Sekian terima kasih.

Jawab

Cinta adalah fitrah (komponen kejadian manusia). Firman Allah: " Fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah itu." Maksud Surah arRum: 30

Imam Ibn Qayyim menjelaskan cinta adalah fenomena universal dan ia memberi kesan yang mendalam kepada jiwa manusia hinggakan dalam sastera Arab menghasilkan lebih dari 60 istilah cinta. Dunia Melayu pun apa kurangnya.

Syeikh (aMarhum) Abdullah Nasih Ulwan berpendapat: Islam mengiktiraf cinta yang bersemi pada setiap individu dan Islam telah menggariskan tiga tahap cinta:

* Cinta agung: Cinta kepada Allah, Rasul dan Islam serta berjihad membuktikannya.

** Cinta pertengahan: Cintakan sesama manusia: Ibubapa, anak-isteri, kaum kerabat dan sahabat handai

*** Cinta bawahan: Menyintai sesuatu melebihi cinta kepada Allah, Rasul dan Islam.


Bolehkah pasangan bukan muhrim bercinta sebelum kahwin?

Syeikh Atiyyah Saqr menjawab: Kenapa tidak? Cinta adalah suci, cinta dalam bentuk apapun dibolehkan oleh syara' asalkan tidak dikotori dengan niat dan aksi kotor; ia mestilah tidak bercanggah dengn hukum-hukum syara' dan diiringi dengan cinta yang diredhai oleh Allah.

Cinta sejati boleh dibina sebelum berkahwin asalkan cinta yang direstui agama, dilahir dan dipupuk melalui saluran agama. Islam tidak menentang cinta kerana cintalah asas dalam ibadah antara hamba dengan Penciptanya; manakala cinta jugalah asas kepada pembentukan sebuah keluarga Islam yang harmonis.

Cinta yang dibenteras oleh Islam ialah cinta yang dicemari oleh maksiat dan menuruti hawa nafsu; manakala mereka yang memupuk cinta tapi tetap berpegang kepada ajaran Allah dan mengikuti saluran syara' adalah diharuskan oleh syara' dan seterusnya memadu cinta melalui jalan pernikahan yang sah dan halal.

Rujukan:

1. Syaikh (Prof) Abdullah Nasih Ulwan, Islam wal Hubb (Islam dan Cinta)
2. Syaikh Atiyyah Saqr, Islam wa Musykilatul Hayah (Islam dan permasalahan Hidup)
3. Ibn Qayyim alJauziah, raudhah al muhibbin wa Nuzhah al Musytaqin (taman orang-orang bercinta dan kerinduan)

Wednesday 10 June 2009

BERSENTUHAN DENGAN MAK MERTUA


Bersentuhan Dengan Mak Mertua dan Ipar


Soalan: Adakah batal air sembahyang jika menantu lelaki bersentuhan dengan mak mertua dan adik ipar perempuannya? Zainal, Serdang


Jawapan: Air wuduk seseorang akan batal apabila ia bersentuhan dengan adik iparnya, kerana ia halal berkahwin dengan adik iparnya itu. Pengharaman berkahwin dengan adik iparnya itu sekadar untuk sementara sahaja, iaitu selagi mana ia masih berkahwin dengan kakak kepada adik iparnya itu. Jika sudah berlaku perceraian atau kematian kepada kakak terlibat, di kala itu halal kepada suami terlibat berkahwin dengannya. Justeru itu kedudukan air wuduknya adalah batal apabila berlaku persentuhan dengannya.

Bagaimanapun bersalaman dengan ibu mertua tidak membatalkan air wuduk kerana ibu mertua haram dikahwini oleh menantunya.

BERSALAMAN DENGAN IPAR DAN BIRAS


Bersalaman Dengan Ipar, Biras dan Sebagainya


Soalan: Bolehkah saya bersalaman dengan mereka-mereka dibawah ini;

a. Kakak, adik ipar saya?
b. Biras saya?
c. Isteri pak cik saya?

Halim, Kota Tinggi


Jawapan: Dalam Mazhab Asy-Syafi'i bersalam dengan orang-orang yang dinyatakan di dalam soalan di atas adalah tidak harus sama sekali, dalam erti kata lain HARAM, kerana ia boleh mendatangkan fitnah.

Perbuatan ini hendaklah dielakkan. Pintu fitnah hendaklah ditutup awal-awal lagi. Dalam mazhab Maliki bersalam dengan orang-orang ini tidaklah membatalkan air sembahyang selagi mana tidak menimbulkan syahwat, namun hukumnya juga tidak digalakkan.

Al-Qardawi menjelaskan dalam fatwanya berjodol Fatwa-fatwa Semasa jika pihak terlibat terlebih dahulu menghulurkan tangannya kepada saudara, menjadi harus kepada saudara menyambut tangannya dan seterusnya bersalam dengannya. Khususnya apabila mereka ini datang menziarahi saudara setelah lama tidak bersua muka.

Dalam mazhab Syiah Jaafari harus bersalam dengan golongan yang dinyatakan ini denagan syarat hendaklah berlapik dengan kain tebal.

Walaupun begitu majoriti ulama' tidak mengharuskan seseorang bersalam dengan orang-orang yang dinyatakan di dalam soalan di atas bagi mengelakkan berlakunya fitnah, apalagi di zaman kita ini. Perempuan tua yang kadang-kadang sudah tidak mempunyai nafsu syahwatpun menjadi mangsa rogol dan sebagainya.

Sunday 7 June 2009

IJTIMA' ILMAM SEMALAYSIA


Ijtima' ILMAM Malaysia


Alhamdulillah, satu Ijtima' Tahunan ILMAM seMalaysia telah diadakan pada 12 Jamadil Awal 1430H bersamaan 05 Jun 2009, hari Jumaat, di Dewan Seminar Masjid Negeri Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Dengan kehadiran yang melepasi 100 orang pelajar lepasan al-Azhar termasuk pelajar lepasan perubatan yang terdiri daripada muslimin dan muslimat. Majoriti adalah di kalangan muslimin. Kebanyakkan mereka adalah terdiri dari lepasan al-Azhar yang graduate pada tahun 2000-2008.

Dengan keberadaan di dalam suasana yang amat selesa dalam dewan tersebut, ditambah dengan kehadiran perasmi dan abang-abang yang bergerak aktif dalam menyebarkan dakwah Islam, yang bertepatan dengan tugas sebenar bagi seorang lepasan al-Azhar, dengan idea-idea dan motivasi yang diberikan oleh mereka memuhasabahkan lagi kepada para hadirin dan hadirat dalam ijtima' tersebut tentang tanggungjawab asal bagi seorang lepasan al-Azhar.

Dengan dihidangkan dengan Nasi Kukus Ayam Berempah, memberi gambaran insyaAllah di masa akan datang, Ijtima' ILMAM seMalaysia kali ke-2 dapat dimeriahkan dan dijayakan oleh tuan rumah yang akan ditentukan di masa akan datang.

Harapan yang diberikan kepada kepimpinan ILMAM Pusat sekarang oleh muslimin dan muslimat yang hadir dengan harapan semoga ILMAM mencapai kejayaan yang cemerlang di persada negara dan antarabangsa. InsyaAllah...

Tuesday 2 June 2009

SOAL JAWAB AGAMA: JIMAK DI SUBUH RAMADHAN


Berjimak Ketika Masuk Subuh Bulan Ramadhan


Soalan: Suami isteri berjimak semasa waktu azan Subuh di bulan puasa dan kemudian mandi wajib. Bolehkah mereka berpuasa, sedang apa yang saya tahu masa waktu imsak kita dikehendaki berhenti makan dan membuat perkara membatalkan puasa juga selepas azan Subuh maksudnya puasa itu bermula? Amat Unus, KL


Jawapan: Apabila seseorang menyangka bahawa fajar akan terbit lambat lagi, lalu bersetubuh. Kemudian dalam bersetubuh itu fajarpun keluar atau terdengar suara azan, maka wajiblah ia menghentikan persetubuhan itu dengan segera (serta merta) tidak boleh diteruskan lagi.

Jika ia meneruskannya bererti ia telah merosakkan puasanya dengan bersetubuh yang disengajakan. Demikian pulalah dengan orang yang minum dan makan pada waktu itu.

Jika persetubuhan itu diteruskan walaupun telah terdengar suara azan, maka hendaklah membayar kaffarah. Pertama memerdekakan hamba, jika tidak ada atau tidak mampu, dengan berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup iaitu dengan memberi makan 60 orang miskin.

SOAL JAWAB AGAMA: ZIHAR


Berniat Zihar


Soalan: Apakah hukumnya jika si suami menyamakan sebarang anggota badan isterinya tetapi tidak melafazkan (hanya dalam hati sahaja) ? Alwi ,KL


Jawapan: Zihar berasal dari kata "Ash Zhahr" ertinya punggung iaitu ucapan seorang suami kepada isterinya "Engkau seperti punggung ibuku".

Seluruh ulama mengatakan bahawa zihar ini haram. Jadi jelaslah bahawa zihar itu perlu dilafazkan agar ia jelas maksud dan tujuannya.

Jumhur ulama berpendapat bahawa zihar itu hanya khusus dengan ibu sahaja. Kerana itu apabila seorang suami berkata kepada isterinya "Engkau seperti punggung ibuku" maka terjadilah zihar. Apabila suami berkata kepada isterinya : "Engkau bagiku seperti punggung saudara perempuanku" atau seperti "ibu saudaraku" ucapan semacam ini bukan zihar.

Jika terjadi zihar, maka suami haram mencampuri isterinya sehinggalah ia membayar kifarat:

1. Memerdekan hamba, jika tidak mampu atau tidak ada
2. Berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak mampu,
3. Memberi makan 60 orang fakir miskin.