BORANG ONLINE ILMAM

NAMA PENUH
ALAMAT RUMAH
NO KAD PENGENALAN
JANTINA
ILMAM NEGERI
NO TELEFON
EMEL ANDA
PEKERJAAN SEKARANG/ JAWATAN
Saya akan membantu ILMAM di dalam bidang Dakwah
Penyelidikan
Penulisan
IT/Internet/Web
Sukarelawan
Fasilitator
Program Kemasyarakatan
Politik Dunia
Isu Palestin
Perubatan
Lain-Lain
Mohon Tuan/ Puan untuk berkongsi sedikit latar belakang pengajian sebelum ini (Contoh : jurusan pengajian di Mesir, tahun pengajian dan sumbangan yang boleh diberikan kepada ILMAM)

Saya mengaku segala kenyataan di atas adalah benar dan saya akan membantu Pertubuhan ILMAM Malaysia sekiranya diperlukan. Sekian, terima kasih.

 


Click here to create your own form.

Thursday 30 September 2010

ANTARA PUASA QADHA' DAN PUASA 6 SYAWAL


Adakah dibolehkan untuk mengabungkan di antara kedua puasa tersebut?

Mengenai persoalan ini, di kalangan Ulama' berselisihan pendapat berkenaan dengan hukumnya seperti berikut :

1) Dibolehkan Untuk Mengabungkan Keduanya Dengan Satu Niat

Dinukilkan daripada Dr `Ali Jumaah dalam kitab fatawa asriah, Imam Nawawi menyebut dalam kitab Al Majmuk : dibolehkan untuk menghimpunkan niat puasa qadho` Ramadhan dan niat puasa sunat Syawal di sisi ulamak As-Syafi’yyah.

Diriwayatkan oleh Imam As-Syafie, beliau berkata: diharuskan seorang perempuan untuk berpuasa qadho` Ramadhan dalam bulan Syawal dengan menggunakan satu niat. Sekiranya bilangan puasa ganti Ramadhannya adalah enam hari, maka dia akan mendapat pahala puasa sunat enam Syawal. Sekiranya puasa gantinya adalah lima hari, maka hendaklah dia berpuasa selama lima hari dan menyempurnakan sehari lagi untuk mendapat fadhilat puasa enam. Wanita yang berpuasa mengikut kaedah ini iaitu menggabungkan puasa sunat syawal dan qadho` Ramadhan akan mendapat pahala berpuasa setahun seperti yang disebut oleh baginda Nabi SAW.

Hal ini diqiaskan terhadap masalah seseorang yang masuk ke masjid, maka dia terus melakukan solat dua rakaat samaada fardhu mahupun sunat rawatib sebelum duduk, maka terhasil bagi seseorang itu pahala sepertimana dia solat sunat Tahiyyatul Masjid sebanyak dua rakaat.

Hal ini dikuatkan lagi dengan pandangan yang dinukilkan daripada Imam Ar-Ramli dalam kitab beliau “Nihayatul Muhtaj ” jilid ketiga, beliau menyebut : “ barangsiapa yang qadho` puasa Ramadhannya di bulan Syawal maka akan terhasil baginya pahala sunat Syawal”. Pandangan ini turut disokong oleh Imam Al Barizi, Imam Al `Asfuni, Imam An Nasyiri dan Imam `Ali Soleh Al Hadhromi. Akan tetapi, seseorang yang berpuasa seperti ini, tidak akan mendapat pahala sempurna sepertimana orang yang memisahkan puasa qadho` Ramadhan dan puasa sunat Syawal kerana tidak memenuhi maksud hadis nabi yang berbunyi :

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”

2) Tidak Membolehkan Untuk Mengabungkan Keduanya

Berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam di bulan Syawal :

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”

Daripada kefahaman hadis ini, Rasulullah s.a.w. mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal. Dan tidak menjadi kesalahan juga, bagi sesorang yang ingin mendahulukan puasa enam hari di bulan Syawal seterusnya menunaikan puasa qadha di bulan-bulan yang lain (selepas syawal) sebelum tiba Ramadhan berikutnya”.

Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika seseorang itu mampu melangsaikan puasa Qadha terlebih dahulu kemudian setelah itu ia menunaikan puasa enam, maka itu yang lebih baik daripada mengabungkannya kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;

دين الله أحق أن يُقضى

Maksudnya : “Hutang dengan Allah itu lebih utama untuk ditunaikan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.).

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang ringkas ini, Maka lebih afdhal kepada kita agar tidak mengabungkan kedua puasa tersebut dan adalah lebih baik jika didahulukan puasa yang wajib (qadha) daripada puasa yang sunat. Manakala Pandangan yang membolehkannya adalah sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Wallahua’lam.

Wednesday 22 September 2010

PANDANGAN SYARA' WANITA MENJADI PENGERUSI MAJLIS


MUQADDIMAH

Sejak kebelakangan ini, kita melihat peranan wanita dalam memberi sumbangan kepada Islam tidak dapat dinafikan lagi. Wanita turut menyumbang membangunkan ummah dan dalam perkara membabitkan pembangunan rohani, wanita tidak dikecualikan daripada memenuhi tanggungjawab diri kepada Allah, diri sendiri, keluarga dan ahli masyarakat. Islam tidak membezakan lelaki dan wanita dalam melakukan ibadat kerana apa yang wajib dan sunat bagi lelaki itulah juga hakikatnya kepada wanita.

Begitulah terhadap perkara yang harus, haram dan makruh. Persolannya sekarang, jika Islam membenarkan wanita memberi sumbangan kepada Islam, adakah menjadi pengerusi majlis dalam satu majlis yang disertai oleh lelaki dan perempuan dibolehkan?

PERBINCANGAN

Untuk menjawab persoalan ini, kita boleh kaitkan hukum keharusan mempengerusikan majlis bagi seorang wanita kepada beberapa bahagian seperti berikut :

1) Adakah suara perempuan itu aurat?
2) Batas pandangan seorang lelaki kepada wanita.
3) Percampuran lelaki dan wanita dalam satu majlis adakah dibolehkan?
4) Hukum wanita menjadi wakil rakyat.

1) ADAKAH SUARA WANITA AURAT ?

Syeikh `Atiah Saqar (bekas pengerusi lajnah fatwa Al-Azhar) ada memberikan beberapa pandangan beliau dalam kitabnya “Ahsanul Kalam Fi Fatawa Wal Ahkam ”, ada menyebut; suara bagi seorang wanita ini mempunyai pandangan yang pelbagai, ada yang mengatakan sebagai aurat secara mutlak manakala golongan yang lain mengatakan bukan aurat secara mutlak. Daripada perbezaan pandangan ini, kita dapat satukan kedua-dua pandangan tersebut kepada beberapa garis panduan yang telah di tetapkan oleh para ulamak seperti berikut :

1) Sesungguhnya suara wanita pada zatnya bukanlah aurat, kerana sekiranya ianya aurat dalam semua keadaan, ianya akan memberatkan sesuatu yang sukar (attaklif fihi `usr). Ini kerana wanita sangat berhajat kepada perbualan dan saling berhubung dengan lelaki dalam urusan yang pelbagai seperti urusan muamalah.

2) Dalam syarah Sohih Muslim disebutkan peristiwa Saiyyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar Al-Khatab melawat Umu Aiman selepas kewafatan Nabi SAW. Ditaqlikkan oleh Imam Nawawi bahawa harusnya lelaki menziarahi wanita dan mendengar suaranya. Bahkan wanita dizaman salaf sentiasa meriwayatkan hadis dan mengajar manusia serta memberikan fatwa mengenai urusan agama.(jilid 13,m/s 10)

3) Imam Ghazali dalam kitabnya Ihyak (jilid 2 m/s 248) menyatakan bahawa suara perempuan selain dari nyanyian tidak dikira sebagai aurat. Bahkan wanita pada zaman sahabat sentiasa malakukan muamalah dengan lelaki ketika memberi salam, meminta fatwa, bertanya dan bermusyawarah.

4) Banyak dikalangan sahabiah Nabi SAW bertanyakan kepada nabi berkenaan hukum agama ketika sahabat-sahabat nabi yang bukan mahram berada disitu dan nabi tidak menegahnya.

5) Imam Al-Qurtubi mengharuskan bercakap dengan perempuan dan berbual dengan mereka sekiranya ada keperluan.

2) Batas Pandangan Seorang Lelaki Kepada Wanita

Dinukilkan daripada Imam Yusof Al-Qardawi dalam kitabnya Fatawa Al-Mu`Asarah (jilid 2 m/s263) bahawa aurat seorang perempuan di sisi jumhur ulamak adalah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua tapak tangannya. Manakala di sisi Imam Abu Hanifah Dan Al-Muzani kedua tapak kaki tidaklah di kira sebagai aurat bagi seorang perempuan. Maka bolehlah bagi seorang wanita menzahirkan selain daripada auratnya, mengikut batas dan keperluan wanita kepada umum.

Tetapi persolannya, adakah harus bagi seorang lelaki memandang wajah wanita ?

Maka ulamak telah sepakat bahawa pandangan pertama terhadap wanita di hukumkan sebagai dharurat dan di maafkan oleh syarak. Manakala pandangan yang kedua, ulamak berselisihan pendapat terhadap hukumnya. Secara pasti yang ditegah adalah pandangan berserta dengan syahwat dan keghairahan. Di sini jelaslah kepada kita bahawa hukum melihat seorang wanita pada muka dan telapak tangannya adalah di haruskan.

Tetapi disini ada kaedah syarak yang mengatakan bahawasanya sesuatu yang harus dilarang ketika kuatir berlakunya fitnah sama ada ianya berpunca dari lelaki mahupun wanita. Masalah ini sekiranya ada dalil dan bukti yang kukuh kearah berlakunya perkara tersebut.

3) PERCAMPURAN LELAKI DAN PEREMPUAN:

Berkenaan permasalahan ini terdapat beberapa pandangan ulamak mengenai percampuran lelaki dan perempuan:

1) Berkata Syeikh `Atiah Saqar dalam kitabnya “Ahsanul Kalam Fi Fatawa Wal Ahkam” . Percampuran lelaki dan perempuan yang di tegah adalah di dalam keadaan berkhalwat di antara lelaki dan wanita di tempat yang tertutup dan boleh menimbulkan fitnah. Adapun percampuran di antara lelaki dan perempuan di tempat umum seperti di pasar, tempat pengajian, pengangkutan awam dan sebagainya tidak dikira sebagai percampuran yang diharamkan walaupun disana ada perbuatan haram yang lain seperti melihat aurat, kata-kata yang menggoda dan berlakunya sentuhan.

2) Berkata Imam Yusof Al-Qardawi dalam kitabnya Fatawa Al-Mu`Asarah (jilid 2 m/s284) Pertemuan antara lelaki dan perempuan pada zatnya bukanlah di tegah, bahkkan ianya harus dan dituntut sekiranya pertemuan dan percampuran itu mempunyai niat yang baik seperti menuntut ilmu, beribadah, perbuatan yang dianggap baik disisi syarak dan sebarang aktiviti yang baik yang memerlukan kerjasama di antara dua pihak. Tetapi petemuan ini mestilah menjaga adab-adab Islam antara kedua pihak seperti pakaian yang di bolehkan syarak, aurat , suara dan pertemuan itu mestilah berdasarkan keperluan penting sahaja .

Kedua-dua pandangan tersebut jelas kepada kita bahawa keharusan percampuran di antara lelaki dan perempuan jika mempunyai hajat dan urusan yang penting sahaja.

4) HUKUM WANITA MENJADI WAKIL RAKYAT DALAM PARLIMEN

Doktor Ali Jum`Ah (Mufti Kerajaan Mesir) ada menyebut di dalam kitabnya “Fatawa `Asriah” bahawa harus bagi seseorang wanita menjadi wakil rakyat selagi mana ianya boleh membahagikan waktu dan tanggungjawabnya dengan baik antara tugas ahli parlimen dan seorang isteri terhadap suami dan anak-anaknya, itupun sekiranya ada dan selagi mana ianya boleh mengelak daripada musafir, tabarruj,dan khalwat yang tidak syar`ie.

Pendapat ini di kuatkan lagi dengan peristiwa bagaimana Nabi Muhammad SAW meminta pandangan dan nasihat dari isterinya Ummu Salamah dalam peristiwa Sulhu Hudaibiah ketika sahabat-sahabat nabi S.A.W yang kecewa kerana tidak boleh menunaikan umrah pada tahun tersebut. Ini menunjukkan begitu besar peranan wanita dalam memberikan pendapat di situasi tersebut.

Peristiwa yang kedua, bagaimana peranan yang dimainkan oleh Sayyidatina A’isyah ketika pertelingkahan yang berlaku antara Sayyidina Ali Dan Sayyidina Muawwiyah. Dan beliau juga salah seorang yang yang bergiat aktif memeberikan pandangan dan turut serta di dalam peperangan Sifin tersebut.

** Sekiranya wanita boleh terbabit dalam bidang politik dan di haruskan menjadi sebagai ahli parlimen, maka lebih utama hukum keharusan itu diberikan kepada wanita untuk menjadi pengerusi malis. Ini kerana apabila menjadi wakil rakyat, beliau mestilah sentiasa berada di pentas rakyat dalam mengutarakan pandangan, masalah, bantahan dan sebagainya. Dalam masa yang sama keterlibatan beliau bersama ahli parlimen lelaki dan kebersamaannya bersama rakyat yang dipimpin olehnya juga memerlukan kepada kekerapan beliau untuk berada disituasi tersebut. Bahkan semasa menjadi calon pun, sudah semestinya beliau melobi dirinya sendiri untuk memenangi di dalam pilihan raya dihadapan rakyat yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Maka, menjadi seorang pengerusi majlis di kalangan perempuan di dalam sesebuah majlis yang disertai oleh lelaki tidaklah menjadi isu yang besar jika di bandingkan dengan ahli parlimen yang lebih besar peranannya.

KESIMPULAN

Hasil perbincangan diatas, kita boleh simpulkan bahawasanya, hukum bagi seseorang wanita menjadi pengerusi majlis dalam majlis yang disertai oleh lelaki dibolehkan berdasarkan hasil perbincangan tadi . Walaubagaimanapun, keharusan ini bukanlah secara mutlak bahkan perlu kepada garis panduannya seperti berikut :

1. Hendaklah perempuan dan lelaki saling menjaga pandangan mereka. Dalam erti kata, tidak melihat aurat dengan pandangan syahwat, tidak memandang lama tanpa tujuan yang baik. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakalah kepada kaum lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kehormatannya. Demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan”. Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kehormatannya”. (Surah an-Nur: Ayat 30 dan 31)

2. Hendaklah mereka sentiasa memakai pakaian yang menutup aurat. Menurut jumhur ulamak maksud aurat wanita di luar solat ialah :

* Menutup seluruh anggota badan kecuali yang zahir iaitu muka dan tapak tangan.
* Pakaian yang tidak jarang dan nipis sehingga menampakkan warna tubuh dan kulit.
* Pakaian yang longgar dan tidak ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang zahir sahaja. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada. (Surah an-Nur: Ayat 31)

3. Sentiasa menjaga adab sebagai wanita muslimah dalam semua keadaan khasnya ketika berada di dalam majlis.

a. Perkataan

Hendaklah percakapan suaranya baik dan tidak melunakkan suara kepada orang ramai. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada dalam hatinya. (Surah al-Ahzab: Ayat 32)

b. Berjalan dengan sopan dan tidak menarik perhatian.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan janganlah mereka memukul kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.
(Surah an-Nur: Ayat 31).

4. Menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menaikkan syahwat lelaki seperti berlebih-lebihan memakai wangi-wangian, warna pakaian yang menarik perhatian dan sebagainya.

Garis panduan ini diletakkan sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan fitnah yang mungkin terjadi apabila wanita berada dihadapan ketika untuk mempengerusikan majlis. Wallahua’lam.

Disediakan oleh FELO MANHAL PMRAM :

1)Mohamad Sarkawi Bin Mohmad Salleh.

2)Rabiatul Adawiyah Syamsudin

Wednesday 8 September 2010

PERUTUSAN KHAS EIDULFITRI 1431 H


Assalamulaikum Wa Rahahmatullahi Wabaarakaatuh

Saya, selaku Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM), mewakili seluruh saf kepimpinan ILMAM Pusat, ingin mengucapkan Salam EidulFitri, Maaf Zahir dan Batin, kepada semua sahabat lepasan mahasiswa Mesir samada muslimin dan muslimat, yang baru dan yang lama, yang tua dan yang muda dan semua muslimin dan muslimat yang mengikuti perkembangan ILMAM ini.

EidulFitri, hari yang dinantikan oleh semua muslimin dan muslimat yang telah bertungkus lumus berjihad dalam Ramadhan yang lalu. Jadi, kita selaku mereka yang memiliki pengiktirafan dunia dalam ilmu agama yang terbaik, mesti menjadikan hari raya ini sebagai peluang untuk kita membuka lembaran yang baru dalam diari kehidupan kita seharian.

Dengan tidak dipengaruhi oleh segala bentuk anasir yang boleh membantutkan kerja-kerja dakwah Islam di tempat kita berada di sini, marilah kita sama-sama mengisi lembaran baru tersebut dengan kerja-kerja yang mendatangkan manfaat yang besar, terutama terhadap kumpulan Islam yang ingin mendaulatkan Islam dan melaksanakan pemerintahan mengikut cara Islam yang berdasarkan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qias.

Marilah, kita sama-sama, selaku di antara mereka yang memiliki nama yang masyhur, dan menjadi harapan besar, yang berstatuskan `Graduate From Mesir’ di mata masyarakat setempat, bergerak, mendidik, membimbing, dan bermasyarakat di atas satu platform utama, platform Islam, yang berdasarkan kepada pegangan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias, yang bermatlamatkan sepertimana matlamat perjuangan Nabi Muhammad saw, dengan mengenepikan platform-platform lain yang mencacatkan perjuangan Islam yang pernah diperjuangkan oleh Nabi Muhammad saw. Kebersamaan kita dalam platform tersebut merupakan kewajipan, bukanlah perkara yang sunat.

Akhirnya, saya mendoakan kepada sahabat-sahabat sekalian, agar dikurniakan kehidupan yang berkat dan selamat samada di dunia dan akhirat dengan keberkatan rezeki yang paling mahal di sisi Allah taala, iaitulah kekalnya nikmat Islam dan Iman.

Salam Eidul Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zukapeli,
Presiden,

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM).