BORANG ONLINE ILMAM

NAMA PENUH
ALAMAT RUMAH
NO KAD PENGENALAN
JANTINA
ILMAM NEGERI
NO TELEFON
EMEL ANDA
PEKERJAAN SEKARANG/ JAWATAN
Saya akan membantu ILMAM di dalam bidang Dakwah
Penyelidikan
Penulisan
IT/Internet/Web
Sukarelawan
Fasilitator
Program Kemasyarakatan
Politik Dunia
Isu Palestin
Perubatan
Lain-Lain
Mohon Tuan/ Puan untuk berkongsi sedikit latar belakang pengajian sebelum ini (Contoh : jurusan pengajian di Mesir, tahun pengajian dan sumbangan yang boleh diberikan kepada ILMAM)

Saya mengaku segala kenyataan di atas adalah benar dan saya akan membantu Pertubuhan ILMAM Malaysia sekiranya diperlukan. Sekian, terima kasih.

 


Click here to create your own form.

Thursday 24 December 2009

MULTAQA' ILMAM TERENGGANU


Multaqa' Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Terengganu

Pada:

09 Muharram 1431 H / 26 Disember 2009 ( Sabtu )

Jam:

09 Pagi hingga 12 Tengahari

Bertempat Di:

Dewan Surau Darul Syifa', Kuala Ibai

Pendaftaran RM10 seorang

Perasmian Oleh:

Ybhg. Ustaz Haji Nik Mohd Zawawi bin Salleh
(Pengerusi Alumnai Mahasiswa Timur Tengah)

Semua Pelajar Lepasan Mesir Dijemput Hadir

Semoga dengan kehadiran anda sekalian, menceriakan lagi dan menambahkan lagi keberkatan majlis tersebut.

Thursday 17 December 2009

PERUTUSAN MA'AL HIJRAH 1431


Hijrah Sumber Kekuatan Ummah

Firman Allah taala yang bermaksud: "Barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah taala, nescaya mereka akan mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan bermaksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati, (sebelum sampai kepada maksudnya), maka sesungguhnya dia telah mendapat pahala dari sisi Allah taala, dan adalah Allah taala adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah an-Nisa': Ayat 100)

Penghijrahan kaum muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah SAW dari Kota Mekkah ke Kota Madinah merupakan satu dimensi baru kepada dakwah Islamiyyah dan seterusnya penghayatan kepada ajaran Islam yang sebenar. Penghijrahan umat Islam dari suasana yang lama, iaitu Mekkah kepada satu suasana baru iaitu Madinah adalah detik yang penting kepada pembaharuan sistem nilai serta hidup manusia iaitu penghijrahan dari keburukan kepada kebaikan.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang berhijrah dari apa yang ditegah oleh Allah taala".

Penghijrahan yang merupakan proses kematangan penyebaran risalah Allah taala ini tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi oleh perubahan sikap dan nilai umat Islam dalam menghadapi suasana baru. Sejarah telah membuktikan bagaimana Rasulullah SAW menanamkan benih-benih perpaduan, persaudaraan, saling menolong, pengorbanan, kesungguhan, kecintaan dan ketaqwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu, iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Itulah unsur-unsur terpenting bagi umat Islam sebagai persedian menghadapi cabaran dan ujian yang datangnya samada dari kaum Musyrikin Quraisy, golongan Munafik, tipu daya iblis atau daripada nafsu mereka sendiri. Demikianlah keadaan kita umat Islam masa kini. Perubahan zaman, tamadun, budaya dan teknologi manusia hari ini yang begitu pantas sebenarnya menghambat umat Islam melakukan persedian dan persiapan yang jitu lagi mantap bagi menghadapi perubahan dan kejutan tersebut. Ini penting bagi memastikan dakwah Islamiyyah dan perjuangan menegakkan Syiar Islam berjalan dengan baik dan lancar sebagaimana yang telah diagendakan.

Jika generasi Islam ini mempunyai keyakinan, pasti jalan-jalan menuju kejayaan akan terbentang luas. Penghijrahan minda umat ini perlu dilakukan agar berani menghadapi cabaran terutamanya dalam menghadapi dunia tanpa sempadan dan ianya tidak berlaku secara semulajadi tetapi melalui usaha dan ikhtiar dari umat Islam itu sendiri sebagaimana Allah taala menyatakan di dalam Surah ar-Ro'du, ayat 11 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".

Hijrah juga mengajar kita betapa pentingnya sikap cekal di dalam diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah merasai ranjau yang berduri, kepayahan, penderitaan, kehilangan harta benda dan keluarga. Semua penyeksaan ini merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental dan tabah kepada generasi muda masa kini. Kecekalan mereka yang berteraskan keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan daripada Allah taala pasti benar, dan akhirnya berjaya meruntuhkan keangkuhan jahiliyyah serta menjadikan kebatilan tersungkur hina.

Ini dapat kita lihat dari firman Allah taala dalam Surah at-Taubah, ayat 20 yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah taala dengan harta benda dan jiwa raga mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah taala, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan".

Berbekalkan keyakinan dan kecekalan inilah maka saf pelapis umat Islam akan berupaya mengharungi cabaran tipu daya musuh Islam serta golongan munafik yang sekali-kali tidak akan mampu menahan arus kebangkitan Islam. Malahan usaha dan semangat mereka semakin bertambah untuk bersaing seterusnya menerajui ketamadunan manusia yang bernaungkan Islam. Kekuatan sedemikian akan dapat dicapai menerusi lipatan sejarah kecekalan para Muhajirin dan Ansar di dalam peristiwa hijrah.

Sempena membuka lembaran baru ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah sejauh mana penghayatan kita terhadap peristiwa hijrah. Adakah sekadar ucapan sahaja atau kita garapkan peristiwa ini ke dalam sanubari kita dalam usaha untuk meneruskan perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW?

Sekiranya kita meneliti ayat al-Quran terlalu banyak cerita dan kisah yang berhubung dengan peristiwa hijrah. Di samping itu juga kita perlu menilai adakah kehidupan kita, perjuangan kita dan segala usaha kita bertepatan dengan kehendak Allah taala atau tidak?

Sehubungan dengan itu, saya sebagai Presiden, mewakili saf kepimpinan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Pusat, mengucapkan salam Ma'al Hijrah bagi tahun 1431 Hijrah. Mudah-mudahan kita semua dapat merealisasikan maksud Hijrah di dalam diri kita dengan ertikata yang sebenarnya.

Wassalam

Ust Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli,
Presiden
Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Pusat.

Monday 14 December 2009

TABARRUJ


Tabarruj


Muqaddimah

Tabarruj, ialah mendedahkan kecantikan rupa paras, samada kecantikan itu di bahagian muka atau di anggota-anggota badan yang lain. Al-Bukhari RahmatuLlahi ‘Alaihi ada berkata: “Tabarruj, iaitu seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.”

Untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan ‘aurat dan di samping menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan, maka dengan yang demikian Allah melarang setiap wanita yang telah berakal lagi baligh dari bermake-up (tabarruj).

Maka dengarlah wahai belia-beliawanis Islam semua, segala suruhan Allah s.w.t andainya anda semua beriman denganNya, Allah telah berfirman dalam al-Quran melalui surah al-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Ketahuilah bahawa kain tudung yang dimaksudkan Allah dan dalam firmanNya yang bermaksud: “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya(al-Nur: 31)

bukanlah terhenti di bahagian kepala sahaja, malahan menutupi bayangan mutiara yang tersisip di dada juga disuruh. Sesiapa yang mendedahkan bahagian kepala atau bahagian dadanya, maka sudah jelas, ia bukan dari seorang yang menghormati suruhan Allah s.w.t.

Akibat dari kecuaian dan kelalaian tersebut sudah pasti seseorang itu menerima azab yang pedih di hari akhirat kelak.

Awas! Wahai golongan wanita, Allah telah berfirman yang bermaksud: “Janganlah menampakkan perhiasan” (al-Nur: 31).

Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan di anggota badan atau di pakaian, adalah boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja kerana takut kepada kemurkaan Allah dan siksaan dariNya.

Pengertian perhiasan bukanlah terhad pada alat-alat solek atau fesyen-fesyen pakaian sahaja, malahan perhiasan yang paling istemewa adalah terletak pada tubuh badan seseorang wanita itu. Sekiranya kecantikan rupa paras seperti ini didedahkan kepada orang lelaki, maka perbuatan demikian juga dinamakan TABARRUJ!.

Ada pula dikalangan wanita yang bertudung, disamping tudung ini diletakkan pula di atasnya kaitan bunga dan ukiran yang menarik, manakala rambutnya yang di bahagian hadapan sengaja dihulurkan keluar dari kain tudung, dan terjuntai menutupi sebahagian dahi dan lesung pipitnya. Andainya angin bayu meniup lalu, sudah jelas rambut tadi terlambai-lambai mengikut arus bayu.

bersambung ...

Thursday 26 November 2009

SALAM EIDUL ADHA 1430 H


Salam Eidul Adha 1430 H


Sungguh cepat masa berlalu. Semestinya dengan berlalunya masa dalam kehidupan kita, seharusnya amalan kebajikan dan kebaikan pastilah dari masa ke semasa semakin meningkat. Taqarrub kepada Allah taala semakin hari semakin dekat, kena dengan status kita selaku graduate from al-Azhar.

Hari Raya Aidil Adha, atau lebih dikenali dengan Hari Raya Qorban, dikenang sempena peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Allah Ibrahim dan anak baginda Nabi Ismail alaihimassalam, di atas sifat kehambaan mereka berdua terhadap perintah Allah taala.

Semestinya kita pada hari ini, yang amat memahami tentang situasi yang berlaku ke atas baginda berdua, dengan mengambil pengajaran dan panduan bersama, menjadikan kepraktikalan pengorbanan yang dilaksanakan oleh baginda berdua alaihimassalam itu sebagai antara salah satu sifat yang kita mesti ada, wujud dalam diri kita.

Perjuangan dalam menegakkan Islam memerlukan pengorbanan. Di masa kini, tidak boleh disama-ertikan pengorbanan dengan sumbangan. Kedua-dua istilah ini adalah berbeza pengertiannya. Dan saya yakin, bahawa para sahabat sekalian, graduate from al-Azhar amat memahami kedua-dua istilah ini dengan sedalam-dalamnya.

Justeru itu, sempena Eidul Adha 1430 H ini, saya selaku Presiden Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia, mewakili seluruh saf kepimpinan ILMAM Pusat, mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Qorban (Eidul Adha) kepada semua graduate from Mesir, termasuk lepasan al-Azhar, samada pengajian Islam dan selainnya.

Mudah-mudahan roh pengorbanan yang dimiliki oleh para Anbiya' alahimussolatu wassalam, para sahabat radhiallau 'anhum yang berjihad fi sabilillah, para syuhada', para solehin dapat sama-sama kecapi dan realisasikan dalam kehidupan kita seharian demi melihat Islam yang berdasarkan al-Quran, as-Sunnah, Ijma' Ulama dan Qias tertegak di bumi Malaysia ini. InsyaAllah...

Wassalam.

Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia.

09 Zulhijjah 1430 H / 26 November 2009

Thursday 22 October 2009

WACANA ILMIYYAH




Wacana Ilmiyyah Terbuka



Program Wacana Ilmiah yang bertajuk :

Sebat Kerana Arak : Adilkah ?

Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir . Saya difahamkan antara yang turut diundang ialah pihak media untuk membuat liputan dan sejurus selesai majlis tersebut, satu sidang media akan diadakan .

Wacana tersebut akan diadakan seperti maklumat berikut :

Hari : Khamis
Masa : 8.30 malam
Tarikh : 22 Oktober 2009
Tempat : Auditorium KOM, UIA Kuantan Pahang .

Panel :

Dato' Safri Abdul Aziz [ Exco Agama Negeri Pahang ]
En. Najid Husin [ Peguam Syarie Negeri Pahang ]
Dato' Hamidah Marican [ Sister In Islam ]
Nasrudin Hassan at Tantawi [ Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]

Masuk adalah percuma

Friday 2 October 2009

ARAK IBU SEGALA KEJAHATAN


Arak Ibu Segala Kejahatan


الخمر أم الخبائث

Khamar [ arak ] itu adalah ibu segala kejahatan (Riwayat At Tabarani)

Beza antara manusia dengan binatang ialah aqal . Kerana aqal manusia ditaklifkan dengan tanggungjawab pengabdian diri kepada Allah swt . Aqal jua meletakkan manusia waras bertindak dan merencana . Justeru itu , demi meletakkan manusia dalam kewarasan maka Islam mengharamkan arak dan segala perkara yang memabukkan .

2. Pengharaman arak adalah bersifat ijma' dan Qate'i . Sabit dalil dari nas al quran [ surah al Maaidah : Ayat 90 - 91 ] sementara nas daripada hadis Nabi saw , antaranya ialah :

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Apa yang banyaknya memabukkan maka yang sedikitnya adalah haram. (Riwayat Ahmad , Abu Dawud , At Tarmizi , Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

ثلاثة قد حرم الله عليهم الجنة مدمن الخمر و العاق و الديوث الذي يقر الخبث في أهله

Tiga golongan orang yang telah diharamkan Allah memasuki syurga : iaitu penagih arak , orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya . (Riwayat Ahmad , al Haakim dan al Baihaqi).

لعن النبي صلى الله عليه وسلم في الخمر عشرة عاصرها و معتصرها و شاربها و حاملها
و المحمولة إليه وساقيها و بائعها و أكل ثمنها و المشترى لها و المشترى له


Diriwayatkan dari Anas rha bahawa rasulullah saw bersabda : [ dalam hal arak ini ada sepuluh orang yang dilaknat oleh Allah swt : pembuatnya , pengedarnya , peminumnya , pembawanya , pengirimnya , penuangnya , penjualnya , pemakan wang hasilnya , pembayar dan pemesannya .](Riwayat Ibnu Majah dan at Tarmizi)

3. Hukuman atas pesalah arak .Tiada khilaf dikalangan ulama' mengenai bentuk hukuman iaitu rotan atau sebatan yang wajib dijatuhkan ke atas mereka yang bersalah meminum arak , cuma yang diperselisihkan di kalangan ulama' ialah jumlah sebatan .

4. Asy Syafie berpendapat jumlah sebatan ialah 40 kali . Pendapat ini berdasarkan kepada hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Saidina Ali Karramallahu Wajhah merotan al Walid bin Uqbah sebanyak 40 kali sebatan kemudian beliau [ Ali rha ] berkata :

جلد رسول الله صلى الله عليه وسلم أربعين و أبو بكر أربعين و عمر ثمانين و كل سنة و هذا أحب إلي

Rasulullah saw telah merotan 40 kali rotan , Abu Bakar merotan 40 kali dan Umar merotan 80 kali , semuanya berdasarkan sunnah dan saya lebih menyukai ini [ 40 kali rotan ] (Riwayat Imam Muslim).

Hukuman 40 kali terhadap peminum arak ini disetujui oleh Dawud az Zahiri dan Abu Thaur . Sementara Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya , Imam Malik , al Laith , ahlil Bait dan satu pendapat lain dari Asy Syafie menetapkan bahawa hukuman ke atas peminum arak ialah 80 rotan . Mereka mengatakan hukuman 80 rotan adalah suatu yang telah diijma' oleh para sahabat rhm berdasarkan hadis Anas rha.

Telah dibawa kepada Rasulullah saw seorang peminum arak , maka rasulullah saw memukulnya dengan sandalnya [ selipar ] sebanyak lebih kurang 40 kali kemudian Abu Bakar dibawa kepada peminum arak , maka beliau berbuat seperti itu juga . Kemudian dibawa peminum arak kepada Umar , lalu beliau bermesyuarat mengenai hukuman had ini . Ibn Auf [ Abdur Rahman ] berkata : sekurang - kurang hukum hudud ialah 80 kali pukulan , maka Umar memukul peminum arak tadi 80 kali pukulan . (Riwayat Ahmad , Muslim , Abu Dawud dan At Tarmizi).

5. Alat untuk Merotan

Tidak sabit dalam dari Rasulullah saw bahawa baginda menetapkan alat - alat tertentu untuk memukul peminum Arak . Kadang - kadang baginda memukul dengan selipar , kadang - kadang dengan pelepah tamar , kadang - kadang dengan rotan dan pelepah tamar , kadang - kadang dengan tangan dan selipar seperti diriwayat berikut:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم جلد في الخمر بالجريد و النعال و جلد أبو بكر أربعين

Bahawa rasulullah saw memukul dalam hukuman meminum Arak dengan pelepah tamar dan selipar dan Abu Bakar memukul 40 pukulan . (Muttafaqun Alaih).

Abu Said berkata : Pada zaman Rasulullah saw , hukuman meminum arak dipukul 40 kali dengan dua selipar maka pada zaman Umar beliau menggunakan cemeti sebagai ganti tiap - tiap satu selipar. (Riwayat Ahmad).

6. Tindakan merotan sekuat - kuat dengan menggunakan rotan yang besar dan mencederakan dengan satu kecederaan yang parah adalah suatu yang bercanggah dengan kaedah sebatan dalam Islam .

7. Justeru itu ada 2 perkara yang perlu dilihat semula , pertama berkait dengan jumlah sebatan dan kedua ialah cara sebatan .

8. Walaupun Islam meletakkan jumlah yang besar iaitu 40 hingga 80 , ia tidaklah membawa kecederaan sebagaimana hanya 6 sebatan mengikut undang - undang manusia di mahkamah sivil .

9. Satu info yang menarik :

Islam kata , orang Islam yang didapati bersalah minum arak harus dirotan mengikut syariat Islam . Rotan tidak menyiksa tetapi untuk pengajaran . Sementara saintis bukan Islam pula kata merotan boleh merawat mereka yang ketagih arak .

Dr Marina Chuhrova [ saintis Rusia ] menyatakan bahawa beliau mempunyai pesakit tetap seramai 10 orang yang memerlukan rawatan merotan ini . Menurut beliau pada mulanya mereka tidak suka kaedah ini tetapi apabila mereka merasai kebaikannya , mereka mula gemar pada kaedah rawatan sebegini [ rotan ] . Malah mereka sanggup pula membayar sekitar RM 400 untuk satu sesi rawatan .

10. ...... Biologist Dr Sergei Speransky who led the research claims corporal punishment , similar to that doled out regularly in British Schools in the last century , helps people overcome addiction and depression. He confirms he is not a sadist even though he recommend caning and says the treatment work . A standard treatment course entails 30 sessions with 60 of the best .

....... The Russian team says they are now charging for caning sessions and are getting over U.S $ 100 per patient for a standard treatment .

Saturday 19 September 2009

SALAM EIDULFITRI 1430H


Salam EidulFitri 1430H


Saya, Presiden Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Pusat, seterusnya mewakili semua barisan Ahli Jawatankuasa ILMAM Pusat, mengucapkan Salam EidulFitri kepada semua muslimin, muslimat samada graduate dari Mesir atau yang masih lagi sedang menuntut ilmu di Bumi Anbiya' sana.

Juga tak dilupakan kepada semua saf kepimpinan ILMAM Negeri-negeri. Mudah-mudahan dengan berlalunya Bulan Tarbiyyah, Ramadhan al-Mubarak, memperhebatkan lagi kerja-kerja Islam di setiap negeri masing-masing,khususnya kerja-kerja yang berkait dengan ILMAM.

Harapan ILMAM kepada semua graduate dari Mesir agar tidak mensia-siakan ilmu yang telah dituntut di sana. Manfaatkanlah ilmu tersebut untuk kepentingan Islam dan masyarakat kampung dan bandar yang amat dahagakan ilmu agama. Ilmu yang dituntut bukanlah semata-mata mencari kekayaan dan kemewahan dunia. Sedia maklum, dengan adanya Ilmu Agama, seseorang itu akan diangkat darjatnya oleh Allah taala.

Di samping, gunakanlah ilmu tersebut untuk membezakan antara yang hak dan batil. Jangan sembunyikan kebenaran semata-mata kerana ingin menjaga "Periuk Nasi" masing-masing. Bila berlakunya demikian, kemulian orang yang belajar agama agar lusuh dan pudar. Bahkan imej dan status graduate dari al-Azhar akan musnah. InsyaAllah Allah taala akan membantu dan memudahkan segala urusan kehidupan hamba-Nya yang memperjuangkan agama-Nya. Benarlah apa yang telah Allah taala rakamkan dalam al-Quran yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu menolong agama Allah taala, nescaya Allah taala akan menolong kamu juga, dan mentsabatkan kedua-dua kaki kamu". (Surah Muhammad: 7)

Akhirnya, saya selaku presiden ILMAM Pusat memohon seribu kemaafan sekiranya ada terkasar bahasa, tercuit perasaan, dan seumpamanya dalam memegang amanah yang cukup besar ini. Maaf zahir batin diucapkan mewakili semua saf kepimpinan ILMAM Pusat.

Wassslam.

Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden
Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Pusat

Sunday 6 September 2009

Nuzul Al-Quran


Nuzul al-Quran

PERISTIWA Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW.

Bermula dengan peristiwa inilah, zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada bertuhankan Allah Yang Esa.

Dalam erti kata lain, peristiwa Nuzul al-Quran menjana perubahan dan membina peradaban umat.

Allah berfirman bermaksud: "Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbia, ayat 108)

Mafhum daripada ayat ini menjelaskan bahawa, melalui utusan Nabi Muhammad yang diangkat oleh Allah sebagai Rasul, Baginda menjadi rahmat bagi seluruh alam kerana membawa petunjuk (al-Quran) yang memandu manusia ke jalan yang selamat dan sejahtera.

Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata al-Quran mukjizat akhir zaman atau al-Quran yang mempunyai mukjizat.

Disebabkan keutamaan inilah, al-Quran berbeza daripada kitab lain yang diturunkan kepada nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad.

Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat terbesar yang dianugerahkan Allah kepada Rasulullah dalam menghadapi cabaran ketika menyebar dan menegakkan syiar Islam.

Ketabahan Baginda berjaya mengubah bangsa Arab yang suatu ketika dulu hidup tanpa pedoman, jauh daripada hak dan kebenaran dengan meniupkan roh semangat al-Quran.

Peristiwa Nuzul al-Quran perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam.

Perkataan Nuzul bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada tempat yang terletak di sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.

Al-Quran pula bererti bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia.

Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu, terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muammalat dan sebagainya.

Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat. Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.

Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia.

Ayat al-Quran yang mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. Firman Allah bermaksud:

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."

Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran seharusnya dihayati oleh umat Islam. Ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat sebagai asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai pada sisi Allah.

Dengan berlakunya Nuzul al-Quran, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan jelas dengan berpandukan petunjuk dan pedoman yang diwahyukan oleh Allah.

Banyak keterangan dalam al-Quran dan hadis bahawa al-Quran adalah kitab petunjuk atau pedoman ke arah mencapai darjat muttaqin, iaitu orang yang bertakwa.

Firman Allah bermaksud: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Al-Quran diturunkan oleh Allah bukan sekadar untuk dibaca atau dilagukan semata-mata, malah apa yang lebih utama menjadikannya sebagai panduan dan pedoman sepanjang hayat. Itu sebabnya al-Quran dikatakan sebagai iman bagi umat Islam.

Al-Quran, di samping membawa maksud kitab bacaan, dikenali sebagai al-Nur, al-Furqan, al-Zikr dan sebagainya secara tidak langsung menunjukkan peranannya yang sangat istimewa. Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Justeru, bagaimana seharusnya sikap kita agar al-Quran itu boleh berperanan sebagai cahaya menerangi hidup dan pembeza antara hak dan batil serta memberi peringatan?

Bolehkah al-Quran berperanan sebagai cahaya penerang dan pembimbing hidup jika kita tidak memahami isi kandungannya?

Kalau tujuan utama manusia dijadikan oleh Allah untuk memperhambakan diri kepada-Nya iaitu dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya, maka penghambaan kita kepada Allah tidak akan sempurna tanpa memahami kehendak-Nya.

Demikian juga penghambaan kepada Allah tidak akan sempurna melainkan selepas difahami dan diamalkan kehendak-Nya kerana semua kehendak Allah itu tercatat dalam al-Quran.

Adakah Al-Quran diturunkan hanya sekadar utk dilagukan dgn merdu?Adakah Al-Quran diturunkan utk dipilih-pilih mana yg kita suka?Adakah Al-Quran diturunkan hanya sekadar utk menjadi hantar perkahwinan?Adakah Al-Quran diturunkan hanya sekadar utk diletak di atas almari yg tinggi?Kita makhluk yg paling mulia yang telah Allah Taala kurniakan akal fikiran.Maka sama-samalah kita gunakan dgn sewajarnya.

Sama-sama menghidupkan bulan yg penuh keberkatan ini,bulan diturunkan Al-Quran,kitab panduan kepada kita sepanjang zaman.ISLAM sentiasa releven sepanjang zaman.

Al-Quran Diturunkan Utk Dipatuhi Bukan Utk Dipilih Ikut Sesuka Hati

Friday 4 September 2009

5 PERKARA ELOK DISEBUT

5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini.

Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

1-* Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

2-* Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

3-* Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

4-* Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

5-* Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin...

Wednesday 2 September 2009

Tanda-tanda Hati Mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :

1. Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya

2. Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.

5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.

6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Wallahua'lam

Bulan Ramadhan Yang Penuh Keberkatan


Ibadat puasa

Puasa (bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi
istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu.

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh
membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga
dikehendaki menahan diri daripada menipu,mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta
bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran,
kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri.Secara tidak langsung amalan puasa akan
menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya.Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Dalil

Firman Allah S.W.T:

“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ - (Surah Al-Baqarah: 183)

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

" Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Hukum puasa

Puasa Wajib

1.Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Syariat puasa Ramadhan difardhukan kepada umat Muhammad s.a.w. pada tahun ke-2 Hijrah. Makanya, wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.

2.Puasa Kifarah.

3.Puasa Nazar.

Puasa Sunat

Hari-hari berikut disunatkan berpuasa bagi umat Islam:

1. Puasa enam hari pada bulan Syawal
2. Puasa pada Hari Arafah pada 9 Zulhijjah
3. Puasa pada Hari Asyura pada 10 Muharam
4. Puasa pada Hari Isnin dan Khamis

Puasa Haram

Tempoh haram puasa

1.Puasa pada Hari Syak pada hari 30 Syaaban
2.Puasa pada Hari Raya Aidil Fitri pada 1 Syawal
3.Puasa pada Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah
4.Puasa pada Hari Tasyrik pada 11, 12, 13 Zulhijjah
5.Puasa perempuan haid & Nifas.
6.Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya.
7.Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa.
8.Puasa untuk orang lain dan yang ghaib serta tidak diniatkan kepada Allah SWT.

Sunat puasa

Perkara-perkara berikut disunatkan ketika berpuasa:

•Makan sahur serta melambatkannya
•Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
•Menjamu orang-orang berbuka puasa
•Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan.

Perkara yang membatalkan puasa

Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:

•Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
•Muntah dengan sengaja
•Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja
•Keluar darah haid atau nifas
•Gila (hilang akal)
•Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
•Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
•Murtad (keluar dari Islam)
•Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).

Mereka yang diizinkan berbuka

Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:

• Orang yang sakit .
• Orang yang berkerja buruh.
• Orang yang dalam musafir (perjalanan).
• Orang tua yang sudah lemah.
• Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Doa buka puasa

اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت

Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah aku mempercayai dan aku membuka puasa dengan apa yang Kau berikan

Tingkatan Puasa

Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:

1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum):menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
3. Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati
nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan.

Pembahagian di atas memberikan umat Islam ruang untuk berfikir dan menelaah tingkat manakah mereka berada.

Kerugian meninggalkan puasa Ramadhan

Pahala puasa Ramadhan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, bukan saja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar, satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).

"SELAMAT MENGHIDUPKAN BULAN RAMADHAN"

Saturday 25 July 2009

AKTIVITI ILMAM NEGERI


Program Anjuran ILMAM PAHANG Dedah Nilai Murni


BANDAR TUN RAZAK JENGKA – Seramai 38 pelajar sekolah menengah sekitar Temerloh, Chenor dan bandar ini menyertai Perkhemahan Pelajar Islam selama tiga hari di Pusat Latihan Pertahanan Awam (PULAPA), berakhir semalam.

Timbalan Pengarah program, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, program anjuran Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) Pahang itu memuatkan beberapa pengisian menarik dengan gabungan ilmu penghayatan Islam termasuk aqidah, ibadah, akhlak dan sebagainya.

Menurutnya, peserta juga didedahkan kepada nilai murni seperti tercatat dalam Falsafah Pendidikan Islam iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek.

“Setiap modul yang disediakan kepada pelajar amat bermanfaat dan mempunyai objektif tersendiri. Peserta juga dilatih kepada asas kepimpinan dalam diri.

“Peserta diberi peluang bercakap di hadapan rakan lain dalam setiap program dengan menyatakan pendapat dan pandangan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan program, semalam.

Mohd Zarimi berkata, slot ‘Debat Ala Parlimen’ yang diadakan pada hari kedua perkhemahan mencungkil bakat peserta dengan melontarkan hujah bernas menggunakan minda secara kreatif dan kritis.

Menurutnya, urusetia dan fasilitator yang terdiri daripada ahli Ilmam Pahang akan meneruskan penganjuran sedemikian dalam melahirkan generasi muda berdisiplin berpandukan ajaran Islam.

“Diharapkan semua peserta memanfaatkan ilmu kemahiran dan nilai yang diperoleh dalam perkhemahan itu dimanfaatkan sebaiknya dalam menjalani kehidupan seharian sebagai pelajar Muslim.

“Contoh yang baik kepada rakan sekelas dapat mewujudkan suasana harmoni dan mengukuhkan ikatan persahabatan sedia ada,” katanya.

Wednesday 22 July 2009

WANITA MEMAKAI MINYAK WANGI


Hukum Wanita Memakai Minyak Wangi

Soalan:

Apakah hukum jika seseorang wanita itu memakai minyak wangi ketika keluar berjalan-jalan(bersiar-siar), kawan saya mengatakan yang dia telah terbaca suatu buku yang mengatakan haram kerana boleh menimbulkan pelbagai fitnah terhadap wanita tersebut?

Tamimi, Batu Caves

Jawapan:

Memang benar bagi wanita yang keluar rumah memakai harum-haruman hukumnya haram, kerana dapat menimbulkan fitnah, ertinya menyebabkan lelaki lain tertarik kepadanya.

Wanita yang berhias diri seperti memakai wangian, lipstik dan sebagainya ketika ke luar rumah hukumnya berdosa, tak kiralah bulan biasa ataupun bulan Ramadhan. Kerana perbuatan seperti itu hanya dilakukan oleh wanita-wanita pada zaman jahiliyah. Namun berhias untuk menyenangkan hati suami, wajib hukumnya, itupun hindarkan memakainya ketika di siang bulan Ramadhan.

Tuesday 7 July 2009

SALAM KEPADA MUHRIM


Memberi Salam Kepada Bukan Mahram


Soalan :

Apakah hukum memberi salam kepada bukan muhrim..... adakah makruh atau haram atau bergantung kepada keadaan?

Md Aminuddin AB


Jawapan

Berikut ini adalah sedutan secara bebas dari Al-Nawawi di dalam al-Azkar . Katanya, memberi salam dan menjawab salam antara lelaki dan perempuan adalah seperti hukum memberi dan menjawab salam sesama lelaki. Sunat bagi seorang perempuan memberi salam kepada lelaki, dan begitulah sebaliknya. Dan, salam itu wajib dijawab. Itu jika perempuan itu adalah mahramnya. Bagaimana pula jika perempuan berkenaan bukan mahramnya?

Apabila perempuan itu bukan mahramnya dan dia merupakan seorang yang cantik jelita yang dikhuatiri akan menimbulkan fitnah, maka seorang lelaki tidak boleh memberi salam kepadanya.

Jika lelaki itu memberi salam, perempuan berkenaan tidak boleh menjawabnya. Begitu juga dengan perempuan itu, dia tidak boleh memberi salam. Jika perempuan itu memberi salam juga, maka makruh hukumnya menjawab salam itu.

Dari Atha’ al-Khurasani, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada bagi wanita itu salam, dan tiada ke atasnya salam.” (HR Ibnul Jauzi) Ia bermaksud, perempuan tidak boleh memberi dan menerima salam kepada atau dari lelaki yang bukan mahramnya.

Dan, jika perempuan itu tua dan tidak mungkin akan menimbulkan fitnah, maka sudah tentu dia boleh memberi salam kepada seorang lelaki. Dan salam itu wajib dijawab oleh lelaki berkenaan. Di atas, adalah hukum memberi salam antara lelaki dan perempuan – seorang dengan seorang.

Bagaimana pula jika memberi salam kepada sekumpulan perempuan yang bukan mahram? Atau perempuan memberi salam kepada sekumpulan lelaki yang bukan mahram?

Al-Nawawi mengatakan bahawa jika perempuan-perempuan berkumpul dalam satu kelompok, maka orang lelaki boleh memberi salam kepada mereka. Atau orang-orang lelaki dalam suatu kelompok memberi salam kepada seorang perempuan, maka hal itu dibolehkan – Apabila tidak ditakutkan timbulnya fitnah bagi kedua belah pihak.

Mengenai perkara ini terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan lainnya, dari Asma’ binti Yazid r.a. yang berkata: “Rasulullah s.a.w. lalu di depan sekelompok perempuan yang sedang duduk, maka baginda memberi salam kepada kami.”

Bukhari pula meriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a., katanya: “Ada seorang perempuan tua yang sedang memasak dan menggiling biji-biji sya’ir (gandum). Apabila kami selesai sembahyang Jumaat, pergilah kami memberi salam kepadanya, lalu dia menghidangkan makanan untuk kami.”

Begitulah sebahagian pendapat al-Nawawi di dalam al-Azkar mengenai hukum salam kepada perempuan.



Kesimpulan

1. Memberi salam kepada perempuan mahram adalah seperti hukum memberi salam kepada sesama lelaki.

2. Tidak boleh memberi salam atau menjawab salam perempuan yang dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.

3. Dibenarkan memberi salam kepada perempuan yang dikhuatiri tidak akan menimbulkan fitnah. Dan wajib menjawab salam dari perempuan berkenaan.

4. Dibenarkan memberi salam kepada kelompok wanita. Atau kelompok lelaki memberi salam kepada seorang wanita.

Sekian. Wallahu a’lam.



Rujukan

1. Al-Quran
2. Tafsir al-Qurthubi
3. Sahih Bukhari
4. Al-Azkar
5. Ahsanul Kalam

MEMATUHI IBU ANGKAT


Hukum Mematuhi Ibu Angkat


Soalan:

1- Apakah hukumnya jika anak angkat (perempuan) tidak mematuhi seorang ibu angkat kerana ibu ini tidak menjaga anak ini dengan ikhlas dan dengan penuh kasih sayang?

2- Adakah doa ibu angkat makbul ke atas anak angkat?

3- Adakah anak angkat perlu berkat dari ibu angkat jika bukan ibu ini yang mengasuhnya dari kecil tetapi menyekolahnya sahaja?

4- Apakah patut si isteri lakukan jika suaminya tidak mahu lagi pergi ke rumah ibu mentua angkat tadi kerana tidak selesa dan bosan dengan sikap angkuh si ibu tadi?

5- Patutkah yang muda ini merendah diri dan mengalah?

6- Apakah yang harus isteri lakukan jika suami berkeras tidak mahu pulang ke rumah ibu mertua untuk bersalam di Hari Raya?

7- Haruskah maruah diri dipertahankan dalam konteks ini?

FAB, KL



Jawapan:

Dalam Islam mentaati ibu adalah wajib selagi mana perkara yang ditaati itu tidak melibatkan perkara maksiat. Maka dalam konteks ini juga termasuk ibu angkat kepada seseorang yang memeliharanya dari kecil dan berpenat lelah membesarkannya. Anak angkatnya wajar berbuat baik kepada ibu angkatnya itu.

Jika ibu angkat seseorang itu fasik. Umpamanya tidak menyempurnakan pendidikan anaknya dengan sempurna, sombong, takabbur, ego dan lain-lain, masih tidak menjadi kesalahan kepada anak angkatnya berbuat baik kepadanya, kerana pahala berbuat baik kepada orang yang memutuskan tali silaturrahim itu adalah besar dalam Islam.

Jika seseorang suami enggan pergi ke rumah ibu angkat isterinya kerana memikirkan tentang perbuatan fasik yang dilakukan oleh ibu angkatnya itu, tidaklah menjadi kesalahan, namun sifat keegoan yang ada pada diri ibu angkat terlibat tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya si ibu terlibat meninggalkan sifat egonya, termasuklah kalau boleh membuat aduan kepada Qadi atau mana-mana orang alim. Maruah diri seseorang hendaklah dipertahankan selagi tidak melibatkan kerja-kerja fasik. Tetapi kalau sekadar ingin berbakti dan berbuat baik kepada ibu seperti dalam kes di atas tidak menjadi masalah. Berkat hanya ada pada seseorang mukmin yang solih sahaja.

Wednesday 24 June 2009

HUKUM BERDATING


Hukum 'Berdating'


Soalan:

Adakah "berdating" itu tergolong dalam dosa-dosa besar? Muslimat, Kajang


Jawapan:

Berdating bererti menghampiri perzinaan. Dalam Islam seseorang itu dilarang keras dari menghampiri perzinaan. Oleh kerana pezinaan itu mendatangkan dosa besar, maka melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada perzinaan termasuklah Dating ini adalah haram dan berdosa.

Kaedah feqah menjelaskan "Setiap sesuatu yang membawa kepada perlakuan yang haram, maka hukum melakukan perkara tersebut adalah haram".

Jauhilah dari berdating kerana ianya adalah jalan mudah bagi syaitan menjerumuskan anak Adam ke lembah perzinaan. Jauhilah dari berdating kerana orang yang ketiga di masa itu ialah syaitan.

SUAMI SOLEH


Cara Mendapat Suami Beriman


Soalan:

Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan pasangan lelaki yang baik dan beriman? Adakalanya saya sungguh berminat dan berharap orang itulah yang akan menjadi suami saya, tetapi akhirnya saya ditinggalkan begitu saja. Memanglah jodoh pertemuan di tangan Allah tapi kita berhak mencari, berikhtiar untuk mendapatkan pasangan yang baik untuk kita. Tolonglah selesaikan kebuntuan di jiwa saya ini, saya sudah mencecah usia 25 tahun pada tahun ini? Adik, PJ

Jawapan:

Untuk mendapatkan pasangan suami yang beriman boleh dilakukan dengan beberapa pendekatan. Antaranya menunaikan solat hajat dan memohon suami yang soleh dari Allah SWT. Membanyakkan bacaan doa; "Ya Allah Ya Tuhanku kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan suami-suami serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati kami dan jadikanlah kami sebagai ikutan kepada orang-orang yang bertakwa."

Selain itu boleh juga dilakukan dengan meminta bantuan orang tengah yang dipercayai untuk mencari jodoh yang soleh khasnya mereka yang mengetahui lebih dekat tentang latar belakang seseorang lelaki.

Dalam Islam harus kepada seseorang perempuan melamar seseorang lelaki yang dilihatnya seagai seorang yang solih. Melamar di sini bermaksud menyatakan hasrat hati kepada lelaki berkenaan dan memintanya supaya meminang gadis terlibat. Saudari disarankan memperbanyakkan membaca surah Yusuf.

Tuesday 16 June 2009

SALAM TAKZIAH


Salam Takziah


Dr. Fathi Yakan. Seorang mujahid dakwah dan ulamak dunia. Tersohor diseluruh pelusuk negara. Karangan-karangan beliau menjadi manhaj dan santapan penyemaian fikrah islam yang sebenar bagi orang-orang yang sentiasa mengkaji dan mendalami agama. Allah yarhamuhu..amenn


Ammar Zulkifli seorang pelajar Medic, salah satu universiti perubatan di Mesir. Meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika menguruskan perjalanan program persatuan.


Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) mengucapkan Salam Takziah kepada seluruh ahli keluarga Al-marhum Dr Fathi Yakan dan Al-marhum Saudara Ammar Zulkifli di atas pemergian mereka berdua ke Rahmatullah. Semoga Allah taala memberkati dan merahmati mereka berdua.

Sunday 14 June 2009

BUKAN MUHRIM TINGGAL SERUMAH


Bukan Muhrim Tinggal Serumah


Soalan: Saya sekarang tinggal bersama ibu mertua saya di Kuantan. Isteri saya sekarang baru saja melahirkan anak kedua kami. Yang menjadi masalah bagi saya ialah sepupunya (lelaki) datang untuk tinggal selama 2 bulan di sini. Kerana praktikal di bandar Kuantan. Jadi apakah yang patut saya lakukan? Zulkifli

Jawapan: Kehidupan rumahtangga adalah jalinan perasaan antara suami dan isteri yang tidak harus terselip rasa kebimbangan dan kecurigaan. Jika perasaan ini muncul disebabkan oleh faktor luaran, maka suami harus menyelesaikannya secara bijaksana.

Di dalam Islam seorang isteri dilarang menerima tetamu lelaki jika tidak ada suaminya di rumah, kerana ianya boleh menimbulkan fitnah. Apatah lagi jika suami ataupun isteri mengajak orang lain untuk tinggal serumah dengan mereka ini bererti suami telah mengabaikan keselamatan diri isterinya.

Carilah jalan penyelesaian yang terbaik agar sepupu tadi boleh menyewa rumah di tempat lain, jika terpaksa, jagalah kehormatan dan pergaulan di dalam rumah tersebut mudah-mudahan di ampuni Allah. Yang jelas pada dasarnya suami tidak boleh menempatkan isterinya dengan orang yang bukan muhrimnya.

Rasulullah SAW bersabda: Dari Uqbah Bin Amir, katanya; Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda: Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita: Lalu seorang sahabat Ansar bertanya: "Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?".Sabda baginda: "Ipar itu maut". (Riwayat Nasa'i)

Jadi jelaslah jika ipar sahaja disamakan dengan maut (perkara yang merbahaya) apatah lagi jika orang lain. Semoga Allah meringankan kita dalam segala urusan, insya Allah.

Wallahu A'lam

CINTA SEBELUM KAHWIN


Bolehkah Bercinta Sebelum Kahwin?


Saya ingin tanya bolehkah umat Islam atau manusia yang bukan muhrim yang belum berkahwin bercinta? Jika boleh bagaimana pendekatan dalam Islam ?

Sekian terima kasih.

Jawab

Cinta adalah fitrah (komponen kejadian manusia). Firman Allah: " Fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah itu." Maksud Surah arRum: 30

Imam Ibn Qayyim menjelaskan cinta adalah fenomena universal dan ia memberi kesan yang mendalam kepada jiwa manusia hinggakan dalam sastera Arab menghasilkan lebih dari 60 istilah cinta. Dunia Melayu pun apa kurangnya.

Syeikh (aMarhum) Abdullah Nasih Ulwan berpendapat: Islam mengiktiraf cinta yang bersemi pada setiap individu dan Islam telah menggariskan tiga tahap cinta:

* Cinta agung: Cinta kepada Allah, Rasul dan Islam serta berjihad membuktikannya.

** Cinta pertengahan: Cintakan sesama manusia: Ibubapa, anak-isteri, kaum kerabat dan sahabat handai

*** Cinta bawahan: Menyintai sesuatu melebihi cinta kepada Allah, Rasul dan Islam.


Bolehkah pasangan bukan muhrim bercinta sebelum kahwin?

Syeikh Atiyyah Saqr menjawab: Kenapa tidak? Cinta adalah suci, cinta dalam bentuk apapun dibolehkan oleh syara' asalkan tidak dikotori dengan niat dan aksi kotor; ia mestilah tidak bercanggah dengn hukum-hukum syara' dan diiringi dengan cinta yang diredhai oleh Allah.

Cinta sejati boleh dibina sebelum berkahwin asalkan cinta yang direstui agama, dilahir dan dipupuk melalui saluran agama. Islam tidak menentang cinta kerana cintalah asas dalam ibadah antara hamba dengan Penciptanya; manakala cinta jugalah asas kepada pembentukan sebuah keluarga Islam yang harmonis.

Cinta yang dibenteras oleh Islam ialah cinta yang dicemari oleh maksiat dan menuruti hawa nafsu; manakala mereka yang memupuk cinta tapi tetap berpegang kepada ajaran Allah dan mengikuti saluran syara' adalah diharuskan oleh syara' dan seterusnya memadu cinta melalui jalan pernikahan yang sah dan halal.

Rujukan:

1. Syaikh (Prof) Abdullah Nasih Ulwan, Islam wal Hubb (Islam dan Cinta)
2. Syaikh Atiyyah Saqr, Islam wa Musykilatul Hayah (Islam dan permasalahan Hidup)
3. Ibn Qayyim alJauziah, raudhah al muhibbin wa Nuzhah al Musytaqin (taman orang-orang bercinta dan kerinduan)

Wednesday 10 June 2009

BERSENTUHAN DENGAN MAK MERTUA


Bersentuhan Dengan Mak Mertua dan Ipar


Soalan: Adakah batal air sembahyang jika menantu lelaki bersentuhan dengan mak mertua dan adik ipar perempuannya? Zainal, Serdang


Jawapan: Air wuduk seseorang akan batal apabila ia bersentuhan dengan adik iparnya, kerana ia halal berkahwin dengan adik iparnya itu. Pengharaman berkahwin dengan adik iparnya itu sekadar untuk sementara sahaja, iaitu selagi mana ia masih berkahwin dengan kakak kepada adik iparnya itu. Jika sudah berlaku perceraian atau kematian kepada kakak terlibat, di kala itu halal kepada suami terlibat berkahwin dengannya. Justeru itu kedudukan air wuduknya adalah batal apabila berlaku persentuhan dengannya.

Bagaimanapun bersalaman dengan ibu mertua tidak membatalkan air wuduk kerana ibu mertua haram dikahwini oleh menantunya.

BERSALAMAN DENGAN IPAR DAN BIRAS


Bersalaman Dengan Ipar, Biras dan Sebagainya


Soalan: Bolehkah saya bersalaman dengan mereka-mereka dibawah ini;

a. Kakak, adik ipar saya?
b. Biras saya?
c. Isteri pak cik saya?

Halim, Kota Tinggi


Jawapan: Dalam Mazhab Asy-Syafi'i bersalam dengan orang-orang yang dinyatakan di dalam soalan di atas adalah tidak harus sama sekali, dalam erti kata lain HARAM, kerana ia boleh mendatangkan fitnah.

Perbuatan ini hendaklah dielakkan. Pintu fitnah hendaklah ditutup awal-awal lagi. Dalam mazhab Maliki bersalam dengan orang-orang ini tidaklah membatalkan air sembahyang selagi mana tidak menimbulkan syahwat, namun hukumnya juga tidak digalakkan.

Al-Qardawi menjelaskan dalam fatwanya berjodol Fatwa-fatwa Semasa jika pihak terlibat terlebih dahulu menghulurkan tangannya kepada saudara, menjadi harus kepada saudara menyambut tangannya dan seterusnya bersalam dengannya. Khususnya apabila mereka ini datang menziarahi saudara setelah lama tidak bersua muka.

Dalam mazhab Syiah Jaafari harus bersalam dengan golongan yang dinyatakan ini denagan syarat hendaklah berlapik dengan kain tebal.

Walaupun begitu majoriti ulama' tidak mengharuskan seseorang bersalam dengan orang-orang yang dinyatakan di dalam soalan di atas bagi mengelakkan berlakunya fitnah, apalagi di zaman kita ini. Perempuan tua yang kadang-kadang sudah tidak mempunyai nafsu syahwatpun menjadi mangsa rogol dan sebagainya.

Sunday 7 June 2009

IJTIMA' ILMAM SEMALAYSIA


Ijtima' ILMAM Malaysia


Alhamdulillah, satu Ijtima' Tahunan ILMAM seMalaysia telah diadakan pada 12 Jamadil Awal 1430H bersamaan 05 Jun 2009, hari Jumaat, di Dewan Seminar Masjid Negeri Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Dengan kehadiran yang melepasi 100 orang pelajar lepasan al-Azhar termasuk pelajar lepasan perubatan yang terdiri daripada muslimin dan muslimat. Majoriti adalah di kalangan muslimin. Kebanyakkan mereka adalah terdiri dari lepasan al-Azhar yang graduate pada tahun 2000-2008.

Dengan keberadaan di dalam suasana yang amat selesa dalam dewan tersebut, ditambah dengan kehadiran perasmi dan abang-abang yang bergerak aktif dalam menyebarkan dakwah Islam, yang bertepatan dengan tugas sebenar bagi seorang lepasan al-Azhar, dengan idea-idea dan motivasi yang diberikan oleh mereka memuhasabahkan lagi kepada para hadirin dan hadirat dalam ijtima' tersebut tentang tanggungjawab asal bagi seorang lepasan al-Azhar.

Dengan dihidangkan dengan Nasi Kukus Ayam Berempah, memberi gambaran insyaAllah di masa akan datang, Ijtima' ILMAM seMalaysia kali ke-2 dapat dimeriahkan dan dijayakan oleh tuan rumah yang akan ditentukan di masa akan datang.

Harapan yang diberikan kepada kepimpinan ILMAM Pusat sekarang oleh muslimin dan muslimat yang hadir dengan harapan semoga ILMAM mencapai kejayaan yang cemerlang di persada negara dan antarabangsa. InsyaAllah...

Tuesday 2 June 2009

SOAL JAWAB AGAMA: JIMAK DI SUBUH RAMADHAN


Berjimak Ketika Masuk Subuh Bulan Ramadhan


Soalan: Suami isteri berjimak semasa waktu azan Subuh di bulan puasa dan kemudian mandi wajib. Bolehkah mereka berpuasa, sedang apa yang saya tahu masa waktu imsak kita dikehendaki berhenti makan dan membuat perkara membatalkan puasa juga selepas azan Subuh maksudnya puasa itu bermula? Amat Unus, KL


Jawapan: Apabila seseorang menyangka bahawa fajar akan terbit lambat lagi, lalu bersetubuh. Kemudian dalam bersetubuh itu fajarpun keluar atau terdengar suara azan, maka wajiblah ia menghentikan persetubuhan itu dengan segera (serta merta) tidak boleh diteruskan lagi.

Jika ia meneruskannya bererti ia telah merosakkan puasanya dengan bersetubuh yang disengajakan. Demikian pulalah dengan orang yang minum dan makan pada waktu itu.

Jika persetubuhan itu diteruskan walaupun telah terdengar suara azan, maka hendaklah membayar kaffarah. Pertama memerdekakan hamba, jika tidak ada atau tidak mampu, dengan berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup iaitu dengan memberi makan 60 orang miskin.

SOAL JAWAB AGAMA: ZIHAR


Berniat Zihar


Soalan: Apakah hukumnya jika si suami menyamakan sebarang anggota badan isterinya tetapi tidak melafazkan (hanya dalam hati sahaja) ? Alwi ,KL


Jawapan: Zihar berasal dari kata "Ash Zhahr" ertinya punggung iaitu ucapan seorang suami kepada isterinya "Engkau seperti punggung ibuku".

Seluruh ulama mengatakan bahawa zihar ini haram. Jadi jelaslah bahawa zihar itu perlu dilafazkan agar ia jelas maksud dan tujuannya.

Jumhur ulama berpendapat bahawa zihar itu hanya khusus dengan ibu sahaja. Kerana itu apabila seorang suami berkata kepada isterinya "Engkau seperti punggung ibuku" maka terjadilah zihar. Apabila suami berkata kepada isterinya : "Engkau bagiku seperti punggung saudara perempuanku" atau seperti "ibu saudaraku" ucapan semacam ini bukan zihar.

Jika terjadi zihar, maka suami haram mencampuri isterinya sehinggalah ia membayar kifarat:

1. Memerdekan hamba, jika tidak mampu atau tidak ada
2. Berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak mampu,
3. Memberi makan 60 orang fakir miskin.

Thursday 28 May 2009

SOAL JAWAB AGAMA: BERKASIH SAYANG


Berkasih Sayang Kerana Allah


Soalan: Bagaimanakah bercinta dan berkasih sayang kerana Allah? Nik Fasdi, Tokyo

Jawapan: Banyak hadith yang meriwayatkan tentang keutamaan persaudaraan kerana Allah dan kedudukan yang tinggi bagi mereka yang menjalin persaudaraan kerana Allah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa yang menjalin persaudaraan kerana Allah maka Allah akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga, tidak condong suatu apapun dalam amalannya".

Berkata Abu Idris Al Khaulani kepada Muaz bin Jabal: "Sesungguhnya aku mencintai anda kerana Allah". Maka Muaz berkata: "Sampaikanlah berita gembira dan bergembiralah.

Sesungguhnya aku telah mendengar daripada Rasulullah SAW bersabda: "Suatu kelompok manusia kelak akan memperoleh kursi di sekitar Arsy pada hari Qiamat, wajah mereka bagaikan bulan purnama pada malam lailatul qadar, waktu itu manusia terkejut padahal mereka tidak merasa terkejut, dan manusia takut padahal mereka tidak merasa takut, mereka itu adalah Auliya Allah yang tidak pernah takut terhadap mereka (musuh-musuh Allah) dan tidak pernah merasa khuatir". Kemudian aku (Muaz) bertanya: "Siapakah mereka itu ya Rasulullah ?" Baginda menjawab: "Mereka adalah yang berkasih sayang kerana Allah".(Riwayat Ahmad dan Hakim)

Persaudaraan dan kasih sayang kerana Allah ini adalah didirikan kerana ingin menegakkan kalimah Allah dan meninggikan Asma Allah. Mereka berjumpa kerana menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Mereka mengutamakan kesejahteraan kaum muslimin daripada dirinya sendiri, dan menjaga hubungan persaudaraan itu dengan akhlak yang mulia. Jika konsep persaudaraan kerana Allah ini dapat dilaksanakan oleh umat Islam seluruhnya maka bahagialah umat ini hingga akhir hayat.

Dalam sebuah hadith diterangkan, sesungguhnya Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Allah SWT berfirmaan pada hari kiamat: "Di mana orang-orang yang menjalin rasa cinta kerana Aku ? Hari ini pada saat tidak ada lagi naungan apapun kecuali naungan-Ku, maka akan Aku naungi mereka di bawah naungan-Ku. Ada sebanyak tujuh kelompok dari mereka itu yang mendapat perlindungan Allah di saat tidak ada perlindungan lain pada hari itu kecuali perlindungan-Nya saja.

Sebagaimana diriwayatkan Asy Syaikhani bahawa di antara yang tujuh kelompok itu adalah dua orang yang menjalin cinta kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah. (Ibnu Hibban dan Hakim dari Anas ra)

SOAL JAWAB AGAMA: SUSUAN


Berkahwin Dengan Suami Ibu Susuan


Soalan : Apakah hukumnya seorang perempuan itu berkahwin dengan suami ibu susunya dalam keadaan berikut:

1. Si ibu susu dan suaminya masih berkahwin?
2. Si ibu susu dan suaminya sudahpun bercerai?


Jawapan: Diharamkan kahwin kerana susuan sebagaimana haramnya kerana nasab. Inilah pandangan jumhur ulamak berdasarkan ayat 23 anNisa'. Wanita itu telah menjadi anak susuan bagi lelaki itu. Ia haram berkahwin semasa ibu susu masih berkahwin atau sudah cerai.

Imam Muhammad Abduh dalam Tafsir al Manar menjelaskan tujuan diharamkan pernikahan itu ialah memelihara hubungan kebapaan dan anak susuan yang sudah dijalin dengan halus. Si bapa susuan telah melihat anak susuannya seperti anaknya darah dagingnya sendiri dan ia melihat anak itu sebagai sandarannya di masa depan. Anak susuan pula melihat jasa ayah susuannya dan amat berhutang budi kepadanya. Inilah hikmah diharamkan perkahwinan antara anak susuan dengan suami ibu susuannya.


Rujukan:

1. Imam Muhammad Abduh, Tafsir al Manar
2. Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah

Tuesday 26 May 2009

SOAL JAWAB AGAMA


Batas Aurat


Soalan:

Dari pemerhatian saya, ramai daripada kalangan kita yang tidak mengendahkan larangan bersalaman tanpa alas dengan yang bukan muhrim. Apa yang menghairankan. Mereka yang melakukan perkara ini adalah mereka yang wara' dan alim. Contohnya para ustaz & imam-imam. Yang paling ketara ialah bersalam dengan ipar, anak saudara sebelah pasangan dan sepupu. Mungkin kerana dirasakan seperti keluarga dan tanpa niat. Bolehkah kita menerima hakikat ini dan adakah ianya dibenarkan? Begitu juga dengan larangan menutup aurat yang dipandang ringan di kalangan ipar dan saudara-mara. Harap dapat penjelasan. (Fatimah, KL)


Jawapan:

Dalam Islam telah menggariskan ketentuan tentang batas aurat ini, tidak kiralah siapa orang itu, jika ia bertentangan dengan ketentuan Islam maka hukumnya tetap berdosa. Dalam Surah An-Nur ayat 31 ada dijelaskan tentang muhrim yang membolehkan mereka menampakkan perhiasan mereka. Untuk lebih jelas sila rujuk surah An-Nur ayat 31 ataupun rujuk soalan yang telah lalu yang telah ditanya. Mengenai menutup aurat dengan ipar telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa ipar itu adalah maut. Maksud maut di sini adalah bahaya yang sangat besar yang akan terjadi jika pergaulan di antara mereka tidak diatur sesuai dengan tuntunan Islam.

SOAL JAWAB AGAMA


Aurat Wanita


Soalan:

1.Setakat mana Aurat antara orang bukan Islam(perempuan) dan orang Islam (perempuan)?

2.Hukum bersentuh kulit antara orang bukan Islam(perempuan) dan orang Islam (perempuan).


Jawapan

1. Aurat antara muslimat dan bukan muslimat. Khilaf ulama' dalam mentafsirkan kalimah `au Nisaa' ihinna' dalam ayat 31 surah an-Nuur (24). Menurut Tafsir Fakhrur_Razi, Jld 23, ms 207 menyatakan jumhur ulama' mentafsir kalimah itu sebagai wanita-wanita Islam sahaja. Dari tafsir Qurthubi (Jld 12, ms 233) juga mentafsirkan kalimah "au nisaa'ihinna" itu sebagai wanita muslimah sahaja.

Ini bermakna aurat wanita di hadapan wanita bukan Islam ialah muka dan dua tapak tangan. Imam Qurthubi membawa hujah perintah Umar al-Khattab RA kepada Gabenurnya, Abu Ubaidah al-Jarrah supaya tidak membenarkan wanita Islam mandi bersama wanita ahli Zimmah di permandian awam.

Pandangan yang agak berlainan dari pandangan jumhur ialah pendapat Ibn Arabi (Ahkamul Qur'an, Jld 3, ms 326) beliau berpendapat maksud `au nisaa'ihinna' (wanita mereka) itu bermaksud semua wanita yang baik akhlaqnya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubunan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Syaikh Ali Asyhabuni (mufassir baru dari Saudi (Tafsir Asyabuni) menyokong pendapat Ibn Arabi.


2. Hukum bersentuh kulit wanita Islam dan bukan Islam. Firman Allah taala yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis.." (at-Taubah: 29).

Jumhur ahli Feqah mengatakan orang musyrik tidak najis, cuma najis maknawi (batinnya saja yang kotor dengan menyenkutukan Allah, namun fizikalnya adalah suci (Imam Ibn Qudamah al-Hanbali, alMughny, Jld 1, ms 45-46.

Oleh itu tidak apa-apa bersentuhan kulit antara wanita islam dan bukan Islam.