BORANG ONLINE ILMAM

NAMA PENUH
ALAMAT RUMAH
NO KAD PENGENALAN
JANTINA
ILMAM NEGERI
NO TELEFON
EMEL ANDA
PEKERJAAN SEKARANG/ JAWATAN
Saya akan membantu ILMAM di dalam bidang Dakwah
Penyelidikan
Penulisan
IT/Internet/Web
Sukarelawan
Fasilitator
Program Kemasyarakatan
Politik Dunia
Isu Palestin
Perubatan
Lain-Lain
Mohon Tuan/ Puan untuk berkongsi sedikit latar belakang pengajian sebelum ini (Contoh : jurusan pengajian di Mesir, tahun pengajian dan sumbangan yang boleh diberikan kepada ILMAM)

Saya mengaku segala kenyataan di atas adalah benar dan saya akan membantu Pertubuhan ILMAM Malaysia sekiranya diperlukan. Sekian, terima kasih.

 


Click here to create your own form.

Wednesday 7 December 2011

KENYATAAN RASMI ILMAM BERKAITAN TUDUHAN ISU HUDUD PAS BERTENTANGAN DENGAN HUKUM ALLAH

Presiden ILMAM Malaysia

Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM), Malaysia, menasihatkan Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Mohd Kamal Sadin, supaya kembali menuntut ilmu Allah yang sangat luas sebelum memberi nasihat yang menyesatkan akibat nafsu serakah politik.

Kenyataan Mohd Kamal Sadin, seperti mana dilaporkan di dalam media, di dalam forum di ibu pejabat MCA yang mengkritik Enakmen Hudud Kelantan 1993 adalah kenyataan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.

Sebagai contoh, takrifan mukallaf sebagai seorang yang berusia lebih 18 tahun, kononnya adalah undang-undang British dan Eropah, menonjolkan kejahilannya di dalam perselisihan pandangan para ulamak mazhab. Mazhab Hanafi, sebagai contoh, meletakkan umur 18 tahun sebagai umur baligh, manakala Mazhab Maliki meletakkan umur 18 tahun sebegai umur baligh selepas dilihat sifat-sifat yang lain. Oleh kerana itulah ulamak memutuskan, sesiapa yang tidak mengetahui kepelbagaian pandangan, bukanlah seorang yang alim, apatah lagi menjadi penasihat agama seorang menteri besar.

Begitu juga kenyataannya berkenaan meliwat isteri yang kononnya dibenarkan dalam undang-undang berkenaan. Liwat isteri memang tidak dikategorikan sebagai kesalahan yang membawa hukuman hudud oleh rata-rata ulamak, namun ia sama sekali tidak dibenarkan. Perlu diingat bukanlah segala perilaku yang tidak dihukum di dalam kategori hudud itu dibolehkan. Terdapat 1001 lagi perilaku haram yang tidak termasuk kategori hudud tetapi boleh dijatuhi hukuman takzir. Kenyataan tidak bertanggungjawab berbaur fitnah oleh Mohd Kamal perlu ditarik balik.

ILMAM turut menyeru Mohd Kamal, Fathul Bari serta seluruh yang menggelarkan diri mereka sebagai ilmuan di dalam UMNO supaya duduk secara serius dan membentangkan apakah set undang-undang yang benar-benar bertepatan dengan Al-Quran dan Hadis, kemudian mendesak kerajaan supaya memberi penerangan dan pendidikan berkenaannya supaya masyarakat lebih memahami dan tidaklah dikaburkan lagi kerana permainan politik.

ILMAM juga mendesak mereka supaya memberikan penerangan yang lebih jelas berkenaan hudud dan seluruh undang-undang Islam supaya tidak dihina dan terus dihina oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, seperti mana yang dilaporkan dalam media. Penghinaan seperti mengatakan hukuman Islam, kejam, tidak adil kepada wanita, serta menyebabkan kemusnahan diri, menunjukkan kejahilan yang melampau oleh Presiden salah satu Parti Komponen BN tersebut, serta menampakkan tuduhan yang kedangkalan hujah tanpa fakta ilmiah.

Contact Persons ILMAM:
Presiden: Dr Amnurraasyid Yatiban (0163332475)
Timb. Presiden: Us Mohd Asri Md Daud (0199177581)
Naib Presiden: Us Syed Abdul Kadir Aljoofre (017-7770282)
S/U Agung : Mohd Farhan Madzlan (0192103035)

Monday 29 August 2011

PERUTUSAN EIDUL FITRI 1432H PRESIDEN ILMAM M'SIA


Salam Eidul Fitri 1432H

Riwayat daripada Jabir r.anhu: Sabda Nabi Muhammad saw yang mafhumnya: “Menjelang akhir malam Ramadhan, maka menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta para Malaikat, kerana dengan berlalunya Ramadhan, maka berlalulah kelebihannya. Ini merupakan musibah bagiku.” Ditanya oleh sahabat: Apakah musibah itu Ya Rasulullah saw? Dijawab oleh Rasulullah saw: “Dalam bulan ini segala doa mustajab, sedeqah diterima oleh Allah, segala kebajikan digandakan pahalanya, dan seksaan kubur dikecualikan. Maka apakah musibah yang terlebih besar apabila semuanya itu sudah berlalu?”

Apabila Allah taala telah menyatakan dengan firman-Nya yang mengharapkan kepada semua hambanya yang beriman, dengan puasa Ramadhan yang telah dilakukan selama sebulan, agar memperolehi martabat Taqwa kepada-Nya. Satu tingkatan yang menjanjikan kerahmatan, keberkatan dan keampunan yang menatijahkan kehidupan yang bahagia, dan senang hati samada di dunia dan di akhirat kelak.

Taqwa dengan ertikata sepertimana para Sahabat r.anhum terdahulu telah jelaskan. Taqwa juga turut diertikan oleh para ulama yang muktabar akhir zaman ini dengan berusaha dengan mujahadah semaksima mungkin, berhati-hati, serta memperhalusi segala gerak geri, tingkah laku, serta segala amalan kita, agar tidak terseleweng dan tersempit serta menyimpang daripada acuan Islam yang berdasarkan kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Ulama serta Qias yang betul.

Sekian lama, al-Quran al-Karim telah merakamkan firman Allah taala di dalam Surah al-Fath ayat 1 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.” Ulama’ mutakhir ini telah menafsirkan makna kemenangan di atas adalah dengan makna `Pembebasan’ ataupun `Kemerdekaan’.

Sesuai dengan pengharapan Allah taala kepada hambanya yang beriman yang berpuasa Ramadhan, Taqwa dengan maksud, membebaskan samada diri secara zahir atau batin, ahli keluarga, teman-teman, pekerja, orang bawahan, pelajar-pelajar dan masyarakat Islam, daripada segala bentuk cengkaman, penindasan, tekanan, konkongan, ancaman serta ugutan yang menampakkan zalim dan juga jelas bercanggah dengan prinsip Islam yang Allah taala kehendaki, demi mencari keredhaan Allah taala semata-mata.

Pembebasan ataupun kemerdekaan juga turut diertikan oleh Ulama Mutaakhir kini adalah dengan bebasnya pemikiran serta pemahaman serta idealogi daripada segala bentuk pemahaman dan pemikiran musuh Islam, terutama Yahudi dan Kristian. Contohnya, fahaman Nationalisme (Kebangsaan), Sekular dan Liberal. Kerana ketahuilah, segala fahaman atau perjuangan ini boleh mengakibatkan hilangnya Aqidah Islam.

Tidak lupa juga, diharapkan kita semua, dengan berbekalkan dengan segala amalan di Ramadhan yang lalu, membebaskan dan memerdekan diri kita daripada sebarang bentuk Pensyirikan terhadap Allah taala. Perlu diingatkan bahawa, seseorang yang beriman tidak akan takut kepada sesiapapun kecuali Allah taala, dalam usaha menyebarkan kebenaran Islam. Bahkan dia mengetahui bahawa, dengan menyembunyikan kebenaran, membiarkan kejahatan dan kemaksiatan serta kezaliman berleluasa, bersama dan meredhai dengan kekufuran itu, kerana takutkan kehilangan pangkat, darjat, pengaruh, kerjaya, wang ringgit atau keluarga, sesungguhnya perbuatan tersebut adalah salah satu sebab dari sebab-sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu Kufur atau Murtad. Mudahan Allah taala jauhkan kita daripada sikap demikian.

Perkara ini telah difirmankan Allah taala di dalam Surah al-Nahl ayat 106-107 yang bermaksud: “Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar. Yang demikian itu disebabkan kerana sesungguhnya mereka mencintai kehidupan di dunia lebih dari akhirat, dan bahawasanya Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Akhirnya, dikesempatan ini, saya selaku Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia, mewakili seluruh saf kepimpinan ILMAM Pusat, mengucapkan Salam EidulFitri kepada semua graduan lepasan Mesir samada yang lama ataupun yang baru, serta semua muslimin dan muslimat baik yang berada di dalam Negara maupun luar Negara, jua Maaf Zahir Batin kami pohonkan. Mudah-mudahan Eidul Fitri yang kita rayakan kali ini, dapat memberikan wajah baru dengan pelbagai bentuk perubahan dan pembebasan dengan beracuankan Islam yang bersumberkan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias yang benar.

Kullu `am wa antum bil Khair. Wassalam.

USTAZ MOHD AZIZUL HISHAM BIN ZULKIFLI
Presiden ILMAM Malaysia
29 Ramadhan 1432H

Tuesday 26 July 2011

ILMAM KESAL : TINDAKAN PEGAWAI JPMK DAN KEDUTAAN TERHADAP PELAJAR TIDAK BERASAS

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) mengecam tindakan pegawai JPMK dan Kedutaan Malaysia di Kaherah Mesir yang didakwa menjadi dalang di sebalik kes seorang mahasiswa Mesir yang menuntut di IPT di Mesir dibuang daripada pusat pengajian tersebut kerana mengetuai perhimpunan aman BERSIH pada 9 Julai lalu di kawasan penempatan pelajar sekitar Kaherah.

Turut terkilan, selain itu, para mahasiswa yang menyertai perhimpunan tersebut juga diugut dengan pelbagai perkara seperti akan ditarik zakat yang menjadi hak mereka, disekat pinjaman walaupun pelajar hanya meminjam dan pelbagai lagi ancaman yang diberikan oleh pegawai yang tidak bertanggungjawab tersebut.

ILMAM melihat tindakan tersebut adalah tidak berasas sama sekali kerana para mahasiswa mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka dan mereka tidak melakukan sebarang perkara yang dapat mengancam keselamatan negara lebih-lebih lagi mereka berada di luar Malaysia.

Tindakan pegawai yang langsung tidak mahu berbincang dengan mahasiswa tersebut seperti yang dilaporkan juga menunjukkan sikap tidak profesional dan tidak beretika kerana tugas mereka sebenarnya adalah untuk memudahkan urusan para pelajar dan bukannya menyusahkan mereka hanya untuk kepentingan keduniaan semata-mata.

Apakah ini demokrasi dan keterbukaan kerajaan Malaysia? Walhal di Mesir, atau pelajar Malaysia yang belajar di luar negara sama sekali tidak terikat dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkannya untuk dikenakan tindakan yang terkandung didalam akta tersebut. Amat malang dan menyedihkan tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia sekarang ini.

ILMAM turut mempersoalkan mengapa hanya di Mesir diambil tindakan? Bukankah Bersih 2.0 dianjurkan di seluruh dunia? Di Australia, Jepun, Taiwan, United Kingdom, US dan lain-lain lagi? Jika kerajaan Malaysia ingin mengenakan tindakan sebegitu, biarlah adil, hukum semua penganjur atau mereka yang terlibat dengan tindakan yang sama di tempat-tempat lain.

Jadi, ILMAM Malaysia menaruh sepenuh pengharapan kepada Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir agar membuat pertimbangan yang sewajarnya, iaitulah dengan menarik balik sebarang tindakan yang dikenakan ke atas semua pelajar Malaysia tersebut untuk mendapat haknya yang sepatutnya diperolehi. Terutama memberi peluang kepada Saudara Firdaus bin Mazlan yang mengambil kursus lanjutan untuk menjadi mufti di Darul Ifta' Misriyyah yang sepatutnya telah tamat pengajiannya pada 25 Julai, kelmarin untuk menghabiskan dan melayakkan dirinya untuk mendapat sijil tersebut.

ILMAM Malaysia ingin mengakhiri dengan sedikit peringatan dan panduan hidup yang telah direncanakan oleh Nabi besar junjungan kita Nabi Muhammad saw:

Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam pernah bersabda: "Barangsiapa yang memudahkan jalan orang yang ingin menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkan jalannya untuk ke Syurga."

Sabda Rasulullah SAW: "Bantulah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi". Para sahabat lalu bertanya: "Memang kita perlu membantu saudara kita yang dizalimi, tetapi bagaimana pula kita membantu mereka bilamana mereka melakukan kezaliman?”. Maka Rasulullah SAW menjawab : “Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara membantu saudaramu yang zalim.” (H.R. Al-Bukhari)

Sekian, Wassalam.


Yang Benar,

USTAZ MOHD AZIZUL HISHAM BIN ZULKIFLI
PRESIDEN,
PERTUBUHAN LEPASAN MAHASISWA MESIR (ILMAM) MALAYSIA

24 SYAABAN 1432H @ 26 JULAI 2011

Friday 24 June 2011

KENYATAAN ILMAM TERHADAP KARIKATUR UTUSAN MELAYU


Kenyataan Rasmi ILMAM MALAYSIA
Terhadap Karikatur Utusan ‘Kekeliruan Kes Rogol’

Merujuk karikatur yang dimuat di dalam dada akhbar Utusan bertarikh 15 Jun 2011, ia dilihat sebagai usaha mempersenda agama Islam. Konten karikatur tersebut menggambarkan bahawa Islam tidak sedikit pun membela hak dan maruah manusia. Di dalam surah al-Taubah ayat 65 dan 66, Allah telah mencela golongan yang mempersenda-senda agama Islam:

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu) tentulah mereka akan menjawab : sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah : Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu mempersendakan? (65) Tidak perlu kamu beralasan kerana kamu telah kufur setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa”.(66)

Berdasarkan ayat ini, terbit hukum terbatal keIslaman seseorang apabila dia melancarkan sendaan terhadap Islam, samada dengan hati, kata-kata atau perbuatan. Pelaku kesalahan tersebut kekal dengan kekufurannya sehingga taubat nasuhanya diterima oleh Allah SWT.

Bahkan kefahaman pelukis yang bertanggungjawab atas karikatur tersebut dengan agama Islam ternyata amat dangkal. Beliau keliru antara pensabitan jenayah zina dan jenayah rogol. Zina tiada unsur paksaan manakala rogol pula sebaliknya. Islam telah memperuntukkan jenayah rogol dengan cara pensabitan yang cukup berbeza dengan jenayah zina. Rogol tidak memerlukan empat orang saksi yang adil sebagaimana zina. Sebaliknya jenayah rogol hanya memerlukan 'qarinah' untuk sabit kesalahan ke atas pesalah.

Menurut Imam al-Jurjani di dalam ensiklopedianya ‘al-Ta’irifat’, qarinah merupakan bukti jelas yang difikirkan logik bagi membantu siasatan kes. Qarinah mestilah sesuatu sumber maklumat yang diketahui umum yang difikirkan relevan untuk dijadikan bahan bukti. Dengan itu, ia mampu merungkai persoalan tersirat terhadap sesuatu kes. Autoriti qarinah dalam mengadili sesuatu dakwaan telah disebut di dalam al-Quran melalui surah Yusuf ayat 27 dan 28;

“Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: Sesungguhnya kejadian itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar”

Nabi Yusuf terbukti tidak bersalah dengan dakwaan rogol apabila didapati terdapat kesan koyak di belakang bajunya. Pada zaman tersebut, ia dianggap qarinah yang cukup jelas menggambarkan situasi antara perogol dan mangsa rogol.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam karyanya ‘al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah’ menyebutkan bahawa para sahabat telah menjadikan hamil sebagai qarinah kepada jenayah zina. Bahkan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad yang mewakili majoriti ulama’ berpendapat bahawa qarinah yang cukup jelas amat berautoriti menjadi pelengkap bagi bahan bukti.

Adapun qarinah bagi kes rogol yang relevan diguna pakai di zaman sekarang, ia termasuk DNA, rakaman video, gambar, cop jari dan sumber-sumber lain mengikut peredaran semasa. Justeru ILMAM MALAYSIA mencadangkan beberapa inisiatif bersama:

1) Pelukis karikatur dan pihak-pihak yang terlibat diminta bertaubat kerana mempersenda hukum agama Islam. Mereka juga perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam. Ini demi memelihara sensitiviti umat Islam tehadap cara hidup anutan mereka.

2) Kajadian ini membuktikan kekeliruan masyarakat Islam Malaysia terhadap agama anutan mereka sendiri. Ahli akademik Islam perlu mengadakan usaha bersepadu ke arah penerangan dan pemahaman terhadap hukum hakam Islam.

Sekian, Wassalam

Ustaz Farhan bin Mazlan
Timbalan Presiden
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)


Rujukan:
1) Tafsir Ayat al-Ahkam, Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni.
2) Al-Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah al-Zuhaili.
3) Majmu’ Syarah Muhazzab, Imam Nawawi disempurnakan oleh Syeikh Najib Muthi’iy.
4) Feqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Zuhaili.
5) Feqh al-Sunnah, Sayyid Sabiq.
6) Al-Nizam al-Qadha’ie Fi al-Feqh al-Islami, Dr. Muhammad Ra’fat Uthman.

Tuesday 3 May 2011

ALLAH MEMBELA AISYAH R.ANHA YANG DITUDUH BERZINA


Allah taala Membela Aisyah r.anha Yang Dituduh Berzina

Firman Allah dalam ayat 25 surah al-Anfal :

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya :
Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Firman Allah Ta’ala:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

“Telah berlaku kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia.” (QS. Ar-Rum: 41)

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (4) إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kemudian dia tidak mendatangkan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka dengan 80 sebatan. Jangan ambil persaksian mereka (selepas itu) selama-lamanya. Mereka adalah orang-orang fasik” Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nur:4 - 5).

Ayat-ayat di atas adalah berkaitan dengan satu peristiwa besar yang dihadapi oleh rumahtangga Rasulullah SAW. Ia menyangkut kisah isteri Rasulullah SAW iaitu Aishah RA yang dilemparkan tuduhan keji oleh golongan Munafiq di Madinah. Peristiwa inilah yang disebut sebagai HADIS IFKI. Fitnah jahat yang dilontarkan oleh golongan munafik ini berlatarbelakangkan peperangan Bani Musta’liq atau Perang Muraisi yang berlaku pada bulan Syaaban tahun ke 6 Hijrah. Perang ini dilancarkan ke atas Bani Musta’liq apabila Rasulullah SAW mendengar ketua Bani Musta’liq al-Harith ibn Dirar akan menyerang umat Islam di Madinah.

Inilah satu peperangan yang turut disertai oleh golongan munafiqun yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubay bin Salul di mana mereka menyangka umat Islam akan menang atau menjangka tidak akan berlaku pertumpahan darah ini. Tindakan pantas Rasulullah SAW telah menyebabkan Bani Mustaliq kalah dalam peperangan ini dan ramai yang menjadi tawanan perang. Sebaliknya para sahabat memerdekakan tawanan-tawanan tersebut dan Rasulullah SAW sendiri mengahwini anak al-Harith yang bernama Juwairiyah. Ini merupakan satu strategi dakwah yang amat berkesan kerana ramai dari kalangan Bani Mustaliq memeluk Islam selepas itu.

Keadaan ini menyebabkan golongan munafiq semakin geram kerana kedudukan umat Islam di Madinah semakin kukuh. Abdullah Bin Ubay terus menjalankan siasat liciknya dengan melaga-laga umat Islam. Dia menghasut golongan Ansar dengan menfitnah golongan Muhajirin akan mengusir orang-orang Ansar

“Apabila mereka (Muhajirin) sudah ramai dalam negeri kita maka mereka hendak menunjukkan kekuatan samalah seperti kata pepatah gemukkan anjingmu kemudian ia akan menggigitmu. Tengoklah nanti apabila pulang ke Madinah tahulah dia bagaimana orang mulia (Ansor) akan mengeluarkan orang yang hina ( Nabi dan Muhajirin)”.

Peristiwa ini dirakam oleh Allah SWT dalam surah al-Munafiqun ayat 8

يَقُولُونَ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ

“Mereka berkata lagi: Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam). Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (al-Munafiqun: Ayat 8).

Perancangan jahat mereka telah digagalkan oleh Allah SWT. Namun orang-orang munafiq tidak berputus asa. Abdullah bin Ubaiy menggunakan pula peristiwa Aishah RA yang tertinggal dalam perjalanan pulang ke Madinah untuk menyusun perancangan jahat seterusnya.

Aishah RA telah diundi sebagai isteri baginda untuk menemani Nabi dalam ekspedisi Bani Mustakliq ini. Beliau ketika itu baru berusia 14 tahun. Ketika berhenti rehat dalam perjalanan pulang Aishah keluar dari rombongan untuk qada hajat. Tentera muslimin yang tidak menyedari Aishah tidak ada lagi di atas untanya (dalam naungan yang tertutup) telah bergerak meninggalkan Aishah. Apabila kembali Aishah dapati beliau tertinggal sehinggalah ditemui oleh seorang tentera muslimin yang berada di belakang rombongan yang bernama Shafwan bin Mu’athal. Aishah pulang dengan ditemani oleh Shafwan sehingga dikembalikan kepada Rasulullah SAW dengan selamat.

Peristiwa ini dieksploitasi oleh Abdullah bin Ubaiy untuk menyebarkan fitnah keji ke atas isteri Rasulullah SAW sendiri. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila cerita jahat dan tidak berasas ini turut disebarkan di kalangan orang-orang Islam atas pelbagai alasan. Keadaan ini berlangsung untuk beberapa waktu sehingga menimbulkan suasana tegang dalam rumahtangga Rasulullah SAW dan di kalangan masyarakat Islam. Golongan munafiq amat gembira dengan kemelut yang mereka cipta yang dilihat berjaya menggoyahkan keimanan dan kesatuan umat Islam di Madinah.

Allah SWT tidak akan membiarkan Nabinya dan umat Islam terus diperkotak-katik oleh golongan musuh dan kaum munafiqun. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 13

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُبِينٌ (12) لَوْلَا جَاءُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا بِالشُّهَدَاءِ فَأُولَئِكَ عِنْدَ اللَّهِ هُمُ الْكَاذِبُونَ (13
“Kenapa tidak ketika kamu mendengar berita tersebut, orang-orang beriman lelaki dan perempuan bersangka baik sesama mereka sambil mengatakan ‘Ini adalah berita bohong’ jika penuduh-penuduh itu tidak membawa 4 orang saksi yang mendakwa orang yang dituduh? Maka sekiranya penuduh-penuduh itu tidak mengemukakan saksi-saksi berkenaan maka disisi Allah merekalah pembohong-pembohong” (An-Nur : ayat 12 - 13).

لَولَا إِذ سَمِعتُمُوهُ قُلتُم مَّا يَكُونُ لَنَا أَن نَّتَكلَّمَ بِهـٰذَا سُبحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُهتَـٰنٌ عَظِيمٌ يَعِظُكُمُ ٱللَّهُ أَن تَعُودُواْ لِمِثلِهِۦ أَبَدًا إِن كُنتُم مُّؤمِنِينَ وَيُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلأَيَـٰتِ‌ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Firman Allah swt bermaksud: “Kenapa tidak apabila kamu mendengar saja berita tersebut, kamu mengatakan ‘Tak sepatutnya kita membincangkan perkara ini. Maha Suci Engkau (ya Allah) ini adalah pembohongan yang besar !!’ Allah mengingatkan kamu agar jangan lagi mengulangi kesalahan membicarakan isu ini sekiranya kamu orang-orang beriman. Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (An-Nur : ayat 16-18).

Mengapa Allah SWT merakamkan peristiwa yang mengaibkan ini di dalam al-Quran. Bahkan fitnah ini mengenai peribadi Nabi SAW yang menjadi qudwah kepada umat Islam. Ia menunjukkan kepada kita bahawa inilah modus operandi golongan yang bermaksiat untuk memporak perandakan umat Islam, menimbulkan perpecahan, mengaibkan tokoh-tokoh tertentu bagi mengekalkan kepentingan duniawi termasuklah kuasa politik. Bukankah tujuan Abdullah bin Ubaiy menyebarkan cerita keji ini juga untuk menggoyahkan sendi-sendi masyarakat Islam supaya dia kembali berkuasa di Madinah.

Peristiwa yang didedahkan oleh Allah di dalam al-Quran meletakkan garis panduan yang amat jelas iaitu sebarang pertuduhan ke atas seseorang yang didakwa melakukan perzinaan atau seumpamanya mastilah sabit dengan (1) Pengakuan oleh orang yang dituduh, atau (2) Persaksian oleh 4 saksi dari pihak yang menuduh. Tanpa salah satu dari (1) atau (2), orang yang dituduh adalah bebas seperti seadanya, manakala 3 orang saksi atau kurang tersebut disebat sebanyak 80 kali sebatan kerana menyampaikan berita tanpa bilangan saksi yang cukup (4 orang) .

Ingatlah apa yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita adalah suatu yang amat dimurkai oleh Allah. Firman Allah SWT.

إذ تَلَقَّونَهُ ۥ بِأَلسِنَتِكُم وَتَقُولُونَ بِأَفوَاهِكُم مَّا لَيسَ لَكُم بِهِۦ عِلمٌ وَتَحسَبُونَهُ ۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ

“Ketika kamu bertemu dengan isu ini dengan perbualan-perbualan kamu, dan kamu bercakap-cakap dengan isu yang kamu tidak mempunyai maklumat (sepatutnya) mengenainya. Kamu ingat membicarakannya (seperti itu) suatu perkara yang kecil sedang perbuatan itu besar di sisi Allah !!” (An-Nur : ayat 15).

Marilah kita mengambil peringatan tentang amaran yang cukup keras dari Allah SWT

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلأَخِرَةِ‌ وَٱللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لَا تَعلَمُونَ

Firman Allah swt bermaksud, “Sungguh orang-orang yang suka kelucahan tersebar dalam masyarakat orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih didunia dan Akhirat. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (An-Nur : 19).

Tuesday 5 April 2011

ILMAM MENUNTUT SYARAT BARU UNTUK KE UNIVERSITI AL-AZHAR DIHAPUSKAN


ILMAM MENUNTUT SYARAT BARU UNTUK KE UNIVERSITI AL-AZHAR DIHAPUSKAN

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) berpandangan bahawa syarat baru yang didakwa dikenakan oleh universiti Al-Azhar sebagai satu propaganda politik untuk mengurangkan jumlah kemasukan pelajar Malaysia ke Universiti tersebut.

Syarat tersebut juga sebenarnya dilihat amat tidak relevan memandangkan peperiksaan STAM yang diambil oleh pelajar tingkatan enam di sekolah-sekolah sudah pun menyamai Syahadah Thanawiyyah yang juga merupakan syarat kelayakan untuk memasuki universiti terulung itu. Walaupun syarat ini pada zahirnya dikuatkuasakan oleh Universiti Al-Azhar tetapi seolah-olah wujud pihak ketiga yang menggunakan nama Universiti untuk menyekat pelajar-pelajar Malaysia daripada belajar di sana.

Kenyataan terbaru Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Khalid Nordin bahawa pelajar mengambil masa terlalu lama untuk menghabiskan pengajian di sana dilihat bukan satu alasan untuk meletakkan syarat baru sebagai syarat kemasukkan ke Universiti Al-Azhar.

Kelemahan dalam Bahasa Arab tidak boleh dijadikan satu isu kerana kelemahan tersebut sebenarnya dibawa oleh pelajar daripada peringkat sekolah rendah hinggalah menengah sejak di Malaysia lagi. Jadi kelemahan tersebut adalah berpunca daripada sistem pendidikan di sini bukannya ketika mereka melanjutkan pelajaran di Mesir bahkan kelemahan tersebut hakikatnya dapat diatasi dengan lebih baik sekiranya lebih ramai pelajar dihantar ke Universiti al-Azhar untuk mendalami Bahasa Arab dan memperbaiki sistem pengajian bahasa Arab di sini.

Alasan bahawa pelajar mengambil masa yang lama untuk lulus juga amat tidak dapat diterima untuk meletakkan syarat itu. Ini disebabkan kelemahan bahasa Arab dan bukan penyebabnya tetapi keadaan sistem pengajiannya amat berbeza dengan apa yang didapati di tanah air. Lebih-lebih lagi kita melihat keadaan itu sudah pun bertambah baik sejak akhir-akhir ini atas usaha pihak persatuan-persatuan negeri yang menolong pihak pelajar dengan mengadakan kelas-kelas tambahan dan sebagainya.

Oleh itu, ILMAM sekali lagi mendesak agar pihak kerajaan mengkaji hal ini dan berbincang dengan pihak Universiti tanpa melibatkan kepentingan politik demi melihat lebih ramai graduan agama al-Azhar dapat menyebarkan sinar Islam di tanah air.

Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)


01 Jamadil Awal 1432 H @ 05 April 2011

Thursday 10 March 2011

ILMAM HARGAI SUMBANGAN DAN KHIDMAT KERAJAAN NEGERI


ILMAM Hargai Sumbangan dan Khidmat Semua Kerajaan Negeri

Segala puji-pujian dan rasa syukur kepada Allah taala, dengan Kehendak dan Inayah-Nya, telah memudahkan urusan pergi balik terhadap pelajar yang menuntut di Mesir, samada dalam bidang agama ataupun perubatan.

Isu pergolakan krisis politik di Negara Republic Mesir baru-baru ini, telah mendesak dan memaksa semua kerajaan sedunia membawa pulang warga negara masing-masing kembali ke negara masing-masing, tidak ketinggalan Negara Malaysia yang membawa pulang lebih 7 ribu pelajar Malaysia yang menyaksikan pelbagai adegan dan ragam yang ditunjukkan samada di kalangan pelajar sendiri, keluarga pelajar ataupun yang menyambut pelajar tersebut di KLIA.

Kini, musim peperiksaan di Universiti al-Azhar mahupun perubatan hampir tiba, yang mewajibkan pelajar yang dibawa pulang ke Malaysia baru-baru ini kembali ke Mesir semula, untuk mengambil bahagian dalam peperiksaan tersebut.

Maka, alhamdulillah, syukur kepada Allah taala, yang memudahkan kembali urusan pelajar tersebut kembali ke Mesir untuk meneruskan dan menamatkan pengajian mereka, dengan terlaksananya pemergiannya mereka dengan segala kos kewangan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri masing-masing.

Sekalung penghargaan buat kerajaan negeri di seluruh Malaysia daripada Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia di atas khidmat dan tanggungjawab serta sumbangan yang telah diberikan oleh kerajaan negeri masing-masing dalam usaha menghantar kembali pelajar ke Mesir. Mudah-mudahan, segala usaha dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan mendapat perhatian dan bimbingan daripada Allah taala.

Kepada pelajar yang telah kembali dan akan kembali ke Mesir, kami pihak ILMAM Malaysia mendoakan agar segala urusan kalian semua sesampai di sana akan dipermudahkan oleh Allah taala. Fasiiruu 'ala Barakatillah...

Wassalam.

Ust Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia
.

Thursday 17 February 2011

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL 1432 H


Tafakur Sejenak Memperingati Maulidur Rasul

Muqaddimah

Rasulullah saw sebagai penghulu kepada semua Rasul alahimussolatu wassalam serta rasul untuk seluruh generasi akhir zaman ini datang dengan risalah Islam yang menyeluruh sebagai rahmat kepada sekalian alam. Kelahiran baginda saw menggembirakan seluruh alam dan risalah baginda saw membahagiakan semua manusia. Oleh itu, wajarlah kita memperingati kelahiran Baginda saw dengan mengambil Sunnah dan ajarannya sebagai Teras serta Dasar kehidupan.

Sejarah Sambutan Maulidur Rasul

Ada beberapa riwayat berkenaan permulaan sambutan Maulidur Rasul ini iaitu:

a- Riwayat Pertama: Selepas Solahuddin al-Ayubi dan tenteranya berjaya merampas Masjid al-Aqsa dari Yahudi dalam peperangan al-Hittin. Disambut sebagai pengisian kemenangan agar tidak lalai dengan kejayaan dan kemenangan.

b- Riwayat Kedua: Ketika persiapan orang Islam menghadapi tentera Tartar (Monggol) di bawah pimpinan Sultan Mahmud Qutuz dan Zahir Bebers di Mesir sehingga berjaya di Ain Jalut dan ramai Tentera Tartar memeluk Islam.

Adapun semata-mata meraikan kelahiran Rasulullah saw, peristiwa ini turut diraikan dan dianjurkan oleh Abu Lahab, iaitu dengan memerdekakan hambanya dan menyembelih korba beberapa ekor untanya untuk menggambarkan kegembiraannya. Tetapi setelah diajak untuk bersama dengan Islam, Abu Lahab menolak bahkan menentang ajaran anak saudaranya sekeras-kerasnya.

Sambutan yang dilakukan adalah sepatutnya mengikut cara yang dilakukan oleh Solahuddin al-Ayubi dengan cara mengisi kemenangan atau melahirkan semangat untuk memperjuangkan dan beramal dengan Islam, bukan seperti cara Abu Lahab yang hanya meraikan kelahiran Nabi saw. Sambutan Maulidur Rasul boleh diadakan tetapi dengan cara yang tidak bercanggah dengan tatacara Islam dan boleh mendatangkan kecintaan kepada Rasulullah saw.

Tugas Kedatangan Rasulullah saw

Firman Allah taala di dalam Surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: "Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata."

Berdasarkan kepada ayat di atas, Rasulullah saw diutuskan adalah untuk:

a- Membacakan kepada manusia ayat-ayat Allah, iaitu mengajak atau berdakwah kepada Ketaqwaan, beribadat dan taat kepada Allah menurut apa yang diserukan oleh Rasul-Nya.

b- Membersihkan mereka, iaitu tazkiyah dan ta'dib. Membersihkan hati manusia dari karat-karat dosa dan maksiat serta mengumpulkan dalam hati mereka dengan akhlak yang mulia.

c- Mengajar manusia itu dengan Kitab, iaitu al-Quran al-Karim dan hikmah, iaitu Sunnah Nabi saw dengan mengutamakan pembangunan dari segi Ruhiyyah, Thaqafah dan Material.

Kecintaan Rasulullah saw Terhadap Umatnya

Firman Allah taala di dalam Surah at-Taubah ayat 128 yang bermaksud: "Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaum mu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi Penyayang terhadap orang-orang mukmin."

Dalam ayat di atas, Allah taala menerangkan bahawa kesemua sifat Rasulullah itu dengan mengaitkannya dengan orang yang dihadapkan percakapan iaitu kamu. Ini menandakan betapa perihatinnya Rasulullah saw kepada setiap saat kepada umatnya. Oleh itu umat Muhammad saw hendaklah membalas kecintaan kepada Baginda saw lebih dari segalanya.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Tidak sempurna Iman seseorang kamu sehingga Allah dan RasulNya menjadi terlebih cinta kepadanya dari ibubapanya, anaknya dan semua manusia keseluruhannya."

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: "Tiga perkara yang akan mendatangkan kemanisan Iman: Apabila Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya..."

Antara tanda kecintaan kita kepada Baginda saw ialah:

a- Melaksanakan segala arahan Baginda saw
b- Cintakan Sunnah-sunnah saw
c- Memelihara nama dan maruah Baginda saw dari dicemari oleh orang-orang yang jahil
d- Bersolawat ke atas Baginda saw ketika disebut nama Baginda saw
e- Menziarahi Baginda saw ketika berada di Tanah Suci

Sifat Orang Yang Mencintai Rasulullah saw

Firman Allah taala di dalam Surah al-Fath, ayat 29 yang bermaksud: "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, yaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya. Maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya karena Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar."

Sifat-sifat itu ialah:

a- Kuat dan hebat serta tegas di mata orang bukan Islam
b- Lemah-lembut dan penyayang di kalangan saudara Islam
c- Senantiasa ruku' dan sujud mencari keredhaan Allah taala
d- Senantiasa beramal dan bekerja keras untuk mencari kurniaan Allah
e- Tanda sujud kelihatan di wajah mereka.

Tugas Kita Selepas Baginda saw

a- Tetap beristiqamah atas jalan yang Baginda saw tunjukkan kepada kita dan tidak belok dari jalan itu. Firman Allah taala di dalam Surah al-Imran ayat 144 yang bermaksud: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."

b- Menjadikan Baginda saw sebagai role model dalam setiap aspek kehidupan kita seharian. Firman Allah taala di dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."

Rasulullah saw adalah contoh kepada setiap bapa, ketua keluarga, suami, para hakim, para muhasib, para pendakwah, pemimpin tentera, masyarakat dan negara, yang merupakan contoh untuk setiap kategori dari Rasulullah saw.

Kesimpulan

Memperingati Maulidur Rasul bukan setakat dengan meraikan dan menganjurkan pelbagai majlis perarakan dan berzanji, baik di peringkat Kerajaan, Jabatan, Sekolah, Masjid dan Surau serta di rumah yang tertentu.

Sesungguhnya memperingati Maulidur Rasul lebih beerti jika kita semua kembali kepada hidayah dan panduan yang dibawa oleh Baginda saw secara keseluruhannya. Gunakanlah kesempatan dan peluang sempena hari kebesaran Islam ini sebaik mungkin untuk menyedarkan masyarakat kepada Islam yang sebenar dari Rasulullah saw.

Akhirnya, saya mewakili kepimpinan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia, mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada semua ahli ILMAM dan seterusnya semua muslimin dan muslimat. Mudah-mudahan sambutan tersebut memangkinkan lagi keupayaan dan keperihatinan kita terhadap perjuangan Nabi Muhammad saw, dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam di dunia ini.

Wassalam

Ust Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia

Wednesday 9 February 2011

ERTI BERTERIMA KASIH DI SISI ALLAH TAALA


Bersyukur Di Sisi Allah Taala

Sehingga kini, musuh Allah taala terutama Yahudi laknatullah telah memainkan peranan utama dalam menjahilkan dan menyesatkan serta menyempitkan pemikiran umat Islam dengan pelbagai teori dan idealogi serta pandangan. Yang sememangnya mengakibatkan terpesongnya aqidah Islam seseorang yang menganut agama Allah ini. Kadang-kadang, tanpa disedari, dia telah pun Murtad terhadap Allah taala.

Benarlah apa yang telah diucapkan oleh al-Marhum as-Syeikh as-Sya'rawi rahimahullahu taala: "Umat Islam hari ini amat berbangga dengan agama Islam yang dianutinya, tetapi mereka MURTAD dari sudut pengamalannya."

Di sini, suka saya berkongsi pengetahuan, hasil pendasaran dari al-Quran dan al-Hadis Nabi saw, yang menegaskan akan konsep Bersyukur Menurut Pandangan Islam, iaitu erti Bersyukur di sisi Allah taala. Jika kita merujuk kepada suasana semasa hari ini, orang Islam di kalangan kita "Apa makna Berterima Kasih di sisi Allah taala."

Erti Bersyukur Di Sisi Allah taala

Firman Allah taala di dalam Surah al-Imran ayat 144 yang bermaksud: "Dan Allah akan memberi balasan kepada orang yang berterima kasih."

Para Ulama' tafsir telah menafsirkan akan ayat di atas dengan kenyataan bahawa: Orang-orang yang berterima kasih itu ialah orang yang teguh memegang agamanya, dengan tidak berpaling tadah, bahkan mensyukuri Allah yang telah memberikannya petunjuk dan hidayah. Allah berjanji akan menolong orang yang telah menolong-Nya iaitu orang yang mempertinggikan agama-Nya dan meletakkan kalimah Allah paling tinggi dari yang lain, pasti Allah laksanakan janji-Nya.

Kemudian, firman Allah taala yang lain dalam menyatakan makna "Bersyukur" di sisi-Nya, ialah di dalam Surah al-Imran ayat 145 yang bermaksud: "Dan Kami beri balasan orang-orang yang bersyukur."

Ulama' tafsir menjelaskan bahawa mereka itu ialah orang-orang yang beriman yang taat tidak terpesong dan seleweng pun arahnya dari BERJIHAD FI SABILILLAH, dan tidak beramal kecuali kerana Allah taala dan hari akhirat.

Mari kita kuatkan maksud "Bersyukur" di sisi Allah taala di atas dengan kenyataan daripada Nabi kita Muhammad saw, di dalam hadis yang ke-26, dalam kitab Syarah Hadis 40, susunan Iman Nawawi rahimahullahu taala.

Hadis tersebut menunjukkan kepada kita bahawa pada anggota seorang manusia ada sedeqahnya, iaitu ada pahalanya setiap hari sejak dari paginya. Itupun kiranya dia gunakannya pada jalan yang diperintah atau yang dianjurkan oleh Islam. Penggunaan ini dinamakan 'Syukur' atau 'Terima Kasih' dalam ertikata yang sebenarnya.

Sebab 'Syukur' menurut istilah Islam ialah menggunakan anggota dan ni'mat ke arah jalan yang baik. Syukur juga bererti menjauhi maksiat dengan mencegah anggota zahir dan batin dari melakukan sebarang bentuk kemaksiatan dan kemungkaran tersebut. Inilah yang pernah dikatakan oleh Ulama' Salaf: "Syukur itu adalah meninggalkan segala perbuatan yang maksiat."

Realiti hari ini, walaupun kita melihat, konsep Bersyukur atau Berterima Kasih, lebih dipandang ertikan kepada makna menilai kebaikan dan kemudahan serta keselesaan, dan juga pelepasan kesusahan daripada seseorang kepada orang yang ditimpa kesusahan dengan memberi penghormatan dan seumpamanya dengannya.

Islam menuntut kepada penganutnya agar menilai tindakan demikian dengan cara yang sejujurnya. Tidaklah perlu mengampu dan mengagung-agungkan seseorang yang melepaskan segala bentuk kesusahan tersebut. Kerana perlu ingat, Allah taala sahajalah yang berhak dan layak untuk untuk diberi pujian, dan diagung-agungkan. Kerana Dia lah yang melepaskan segala kesusahan yang dialami oleh hamba-Nya.

Adapun, manusia hanyalah wasilah semata-mata. Bahkan kengkadang, itulah antara peranan manusia yang beriman dalam menyelesaikan masalah dan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh manusia yang lain. Apatahlagi, jika dia merupakan seorang pemerintah atau pemimpin. Tidak salah kita bersyukur dan berterima kasih kepada manusia, tetapi janganlah sampai melampau batas sehinggakan kita lupa bahawa yang patut diutamakan dan diagungkan adalah Allah taala sahaja.

Perlu diingatkan bahawa telah berkata Dr. Muhammad Naim Yassin dalam kitabnya Iman, Rukun, Hakikat dan Pembatalannya, dalam muka surat 315 dalam menjelaskan perkara-perkara yang membatalkan shahadah iaitulah: "Maka sesiapa yang mengatakan suatu perkataan, atau melakukan suatu perbuatan, atau iktikad dengan sesuatu pegangan yang mengandungi ingkar hak ibadat ini, atau mengurangkan hak ibadat ini dari Allah, atau isbatkan hak ibadah ini, atau sebahagian dari hak ini kepada lain daripada Allah, bererti ia telah kufur dan terkeluar daripada agama Allah iaitu Islam."

Mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan mereka yang bebas dari fahaman dan serangan pemikiran dan resapan pandangan dari musuh Allah, terutama Yahudi laknatullah dan sekutu-sekutunya.

Wallahu taala a'lam

al-Faqiiru ila Allah..
Kaherah, Mesir

TERKINI ! SENARAI KETIBAAN PELAJAR MALAYSIA DARI JEDDAH

SENARAI KETIBAAN WARGANEGARA MALAYSIA DARI JEDDAH

Bil

No. Penerbangan

Pelepasan
(waktu Malaysia)

Ketibaan
(waktu Malaysia)

Jumlah Penumpang

Senarai Nama Penumpang

1

MH 8029 (MAS)

7.00 malam
6 Feb 2011

10.00 pagi
7 Feb 2011

448

Muat turun

2

AirAsia X D72999

9.00 malam
6 Feb 2011

10.30 pagi
7 Feb 2011

327

Muat turun

3

MH 8031 (MAS)
(KT 02)

9.30 malam
7 Feb 2011

9.10 pagi
8 Feb 2011

362

Muat turun

4

MH 151 (MAS)

9.00 malam
7 Feb 2011

10.25 pagi
8 Feb 2011

63

Muat turun

5

AirAsia AK9806

8:45 malam
7 Feb 2011

1.25 petang
8 Feb 2011

92

Muat turun

6

MH8031 (MAS)
(KT 03)

5.20 petang
8 Feb 2011

7.10 pagi
9 Feb 2011

357

Muat turun

7

SV6256 (Saudi Airlines)

6.00 petang
8 Feb 2011

7.30 pagi
9 Feb 2011

480

Muat turun

8

SV6254 (Saudi Airlines)

9.00 malam
8 Feb 2011

10.30 pagi
9 Feb 2011

452

Muat turun

9

* SV838 (Saudi Airlines)

11.25 malam
8 Feb 2011

3.30 petang
9 Feb 2011

150

Muat turun

* Penerbangan SV838 akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Pengangkutan bas akan disediakan dan akan membawa para pelajar/warga Malaysia ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Walau bagaimanapun, mereka boleh memilih untuk turun di Johor Bahru, Seremban atau Melaka.

  • Pihak keluarga pelajar-pelajar dan warganegara Malaysia dipohon untuk sentiasa menyemak maklumat Senarai Nama Penumpang serta Tarikh dan Masa Ketibaan melalui laman web ini dan Kementerian Luar Negeri.
  • Kerajaan akan menyediakan penginapan transit sementara di Kolej 5 dan Kolej 6, Universiti Putra Malaysia atau Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) untuk pelajar-pelajar dan warganegara Malaysia yang tidak dijemput oleh pihak keluarga mereka. Makluman tersebut akan dimaklumkan kepada pelajar semasa ketibaan di KLIA oleh pihak urusetia.
  • Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara di talian telefon 03-8888 2010 dan emel ppon@mkn.gov.my.


Majlis Keselamatan Negara
Jabatan Perdana Menteri
8 Februari 2011


Dikemaskini pada jam 11.50 malam, 8 Februari 2011