BORANG ONLINE ILMAM

NAMA PENUH
ALAMAT RUMAH
NO KAD PENGENALAN
JANTINA
ILMAM NEGERI
NO TELEFON
EMEL ANDA
PEKERJAAN SEKARANG/ JAWATAN
Saya akan membantu ILMAM di dalam bidang Dakwah
Penyelidikan
Penulisan
IT/Internet/Web
Sukarelawan
Fasilitator
Program Kemasyarakatan
Politik Dunia
Isu Palestin
Perubatan
Lain-Lain
Mohon Tuan/ Puan untuk berkongsi sedikit latar belakang pengajian sebelum ini (Contoh : jurusan pengajian di Mesir, tahun pengajian dan sumbangan yang boleh diberikan kepada ILMAM)

Saya mengaku segala kenyataan di atas adalah benar dan saya akan membantu Pertubuhan ILMAM Malaysia sekiranya diperlukan. Sekian, terima kasih.

 


Click here to create your own form.

Wednesday 24 November 2010

FILEM "ANU DALAM BOTOL"


Filem “ANU DALAM BOTOL” : Budaya “HOMOSEKSUAL” Terus Menular Dalam Masyarakat Kita…

Terbaru, sungguh memalukan filem yang bertemakan kehidupan seorang “GAY” bakal ditayangkan di pawagam tanah air kita tidak lama lagi, sudahlah filem “COMOLOT” pada tahun 2008 telah menimbulkan pelbagai kontroversi dikalangan masyarakat kita di Malaysia, namum susulan daripada filem tersebut, timbul lagi filem yang berunsurkan seorang “GAY” yang berjudul “ANU DALAM BOTOL”. Melihat kepada tajuk filem ini, sudah menimbulkan 1001 persoalan kepada kita, apakah sebenarnya motif utama pembikinan dan penyiaran filem berkenaan?

Timbul persoalan disini, adakah masyarakat kita sekarang sudah tidak merasa jijik lagi dengan perbuatan yang kotor ini? sudah banyak budaya liar ini telah menular dalam Negara kita. Disamping itu juga, tindakan kerajaan yang membenarkan artis luar yang membawa imej “GAY” seperti Adam Lambert seolah-olah tidak ada pengawasan yang ketat lagi dari pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan keadaan akhlak dan moral anak-anak muda terjaga dengan nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri.

Berkenaan pembikinan filem ini merupakan salah satu wasilah untuk mempengaruhi anak-anak muda kita dengan budaya yang tidak sihat dan bercanggah dengan fitrah manusia. Menurut sumber yang dipercayai, filem ini dibintangi oleh Arja Lee, Daina Danielle,Wan Raja, Norma Damanhuri, Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid, Rosnah Rahman dan Pekin Ibrahim. Manakala penerbit dan penulis skrip filem ini adalah Raja Azmi Raja Sulaiman yang sebelum ini pernah di labelkan sebagai seorang produser yang menimbulkan pelbagai kontroversi dalam dunia seni di tanah air kita. Walaupun penerbit filem ini bertujuan untuk berkongsi satu cerita yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kepada masyarakat terutama kesan buruk apabila manusia sanggup menukar jantina demi mengejar sebuah cinta yang mustahil, tidak semestinya perlu ditayang dan dilakonkan semula kisah sebenar tersebut sebagai tontonan umum.

Banyak lagi wasilah untuk memberi pengajaran kepada masyarakat, bukannya dengan kita mempamerkan semula perbuatan yang terkutuk itu kepada sidang penonton. Sebaliknya mengambil langkah yang lebih berkesan dengan mencegah perkara tersebut melalui tindakan pihak berkuasa bagi menghalang perbuatan yang tidak syari'e ini. Kes ini juga perlu dikategorikan sebagai jenayah dan memerlukan kepada tindakan yang sewajarnya untuk membendong budaya homoseksual ini dari terus menular dalam masyarakat kita. Jika kita melihat pembikinan filem ini seolah-olah meperkenalkan dan menghangatkan lagi budaya tersebut dalam masyarakat kita.

Menurut pandangan dari segi hukum pula, jelas kepada kita bahawa perbuatan hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki ( liwat ) adalah perbuatan yang terkutuk dan diharamkan sekeras-kerasnya oleh agama kita. Pengharaman ini jelas bedasarkan dalil Al-Quran dan Hadis seperti berikut :

Dalil Al-Quran di dalam Surah al-A'raf ayat 80-81 yang bermaksud: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?, Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".

Dalil Hadis

i) Hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-`Asyaari; kata Nabi saw: "Apabila telah mendatangi seorang lelaki meliwat seorang lelaki yang lain dalam keadaan kedua-duanya rela merelakan, maka kedua-dua lelaki itu adalah berzina." ( Syarah al-Muhazzab : 18/263 )

(Ini menunjukkan bahawa kesalahan bagi seseorang yang melakukan liwat dengan orang yang berzina adalah sama hukumnya).

ii) Hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas ra; Nabi saw bersabda, "Sesiapa telah mendapatinya melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (meliwat), maka rejamlah yang di atas dan yang di bawah." (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah )

(Yang dimaksudkan oleh Nabi saw "orang yang diatas"ialah orang yang meliwat. Dan "orang yang dibawah" ialah orang yang diliwat).

Daripada dalil ini, jelas kepada kita bahawa pengharaman perbuatan tersebut. Justeru adakah wajar bagi filem yang menayangkan kisah berkisar liwat ini diluluskan oleh kerajaan untuk tayangan umum? Penayangan filem ini juga boleh menyebabkan dikalangan remaja kita akan terpengaruh dengan adegan-adegan ditayangkan dalam filem tersebut. Kita tidak menginginkan budaya ini terus menular dikalangan masyarakat kita sehingga menjadi suatu perkara yang biasa dan tidak ada langsung sensitiviti oleh semua pihak yang bertanggungjawab terhadap isu ini.

Ingatlah sidang pembaca sekalian, suatu perkara yang perlu dibimbangi bersama adalah melalui kisah kaum Nabi Luth yang dibinasakan oleh Allah S.W.T dengan tingkah laku yang sama, bala’ yang pernah ditimpakan oleh ummat yang terdahulu tidak mustahil akan berlaku di Negara kita jika tidak ada pihak yang bertanggungjawab untuk membendong budaya ini dari terus berlaku, na’uzubillah min zalik.

Pihak MANHAL PMRAM juga rasa terpanggil untuk menjawab dan mengetengahkan isu ini kepada masyarakat umum, setelah mengetahui dari salah satu sebuah akhbar di Malaysia yang melaporkan bahawa Raja Azmi telah menghantar skrip filem berkenaan kepada pihak berkuasa agama di tanah air selain daripada Lembaga Penapisan Filem untuk mendapatkan nasihat dan kebenaran.

Jadi menjadi kewajiban kepada kita seluruh ummat Islam untuk bangkit dan membantah sekeras-kerasnya agar filem ini tidak diberikan kelulusan oleh pihak berkuasa untuk ditayangkan. Bantahan ini patut mendapat sambutan oleh semua pihak, kerana kita yakin bahawa dengan tayangan filem ini boleh membawa unsur-unsur songsang yang mampu mempengaruhi masyarakat umum di Malaysia khususnya kepada golongan remaja kita. Bersama artikel ini kami lampirkan beberapa cadangan kepada pihak Lembaga Penapisan Filem Negara seperti berikut :

1) Memastikan filem-filem yang ditayangkan di Negara kita tidak mempunyai unsur-unsur yang bercanggah dengan hukum hakam Islam.

2) Filem tersebut tidak mempunyai adegan-adegan lucah yang boleh membangkitkan nafsu syahwat.

3) Pihak lembaga Penapisan Filem Negara sendiri perlu mewujudkan khidmat nasihat agama, untuk memastikan segala filem yang ditayangkan mempunyai nilai-nilai agama yang sebenar.

Isu yang berlaku ini perlu diambil tindakan segera . Ini adalah kerana nilai murni akhlak-akhlak remaja kita mesti dipelihara . Semua pihak bertanggungjawab dengan pantas menghentikan segala tindakan untuk merosakkan pemikiran masyarakat kita di Malaysia. Tanpa kawalan segera, keadaan ini mungkin berjaya dimanipulasi oleh beberapa pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk menimbulkan huru-hara dalam negara kita dengan memperkenalkan budaya-budaya barat yang bercanggah dengan kehendak dan nilai-nilai murni yang terdapat dalam agama Islam .

Kerajaan sebagai pihak yang paling bertanggungjawab untuk memelihara dan membentuk nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan kaum, janganlah menganggap remeh tentang apa yang sedang berlaku dalam Negara kita, dan isu ini memerlukan kepada tindakan yang bersifat segera bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah dengan budaya homoseksual yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Disediakan oleh :

Mohamad Hanif B Haron
Pengerusi MANHAL PMRAM

Monday 15 November 2010

PERUTUSAN KHAS EIDUL ADHA 1431


Perutusan Khas Presiden ILMAM Sempena Eidul Adha 1431 H

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Allahu Akbar Walillahil Hamd

Kehadrat syukur kepada Allah taala yang telah menyampaikan kita kepada hari yang penuh keberkatan dan bersejarah dalam Islam ini. Hari Raya Korban, satu hari raya yang di antara dua hari raya yang utama bagi umat Islam di dunia ini.

Saya, Presiden Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM), mewakili seluruh saf kepimpinan ILMAM Pusat, ingin mengucapkan Salam Eidul Adha bagi tahun ini kepada semua sahabat dan sohabiyyah yang telah menamatkan pengajian di bumi Mesir, baik yang masih baru menamatkan pengajian, mahupun yang telah lama menamatkan pengajian di Mesir. Tidak dilupakan kepada semua muslimin dan muslimat di seluruh negara ini.

Kelebihan Islam adalah tidak ada tandingannya. Rahmat dan berkatnya yang melimpah ruah ke atas mahkluk ciptaan Allah taala. Terutama manusia yang beriman, yang memiliki kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap segala ketentuan Allah taala dan utusan-Nya, iaitu Nabi Muhammad saw. Dibuktikan lagi dengan keimanannya dengan tidak menaruk perasaan syak dan ragu-ragu terhadap segala hukum hakam dan peraturan Allah taala. Yang akhirnya, meletakkan jihad fi sabilillah sebagai jalan terakhir dalam kehidupanya demi merealisasikan matlamat utama manusia dijadikan oleh pencipta, Allah taala.

Sejajar dengan firman Allah taala dalam Surah al-Hujurat, ayat 15 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Bagi mereka yang senantiasa mengikut peraturan dan ketetapan serta panduan Allah taala, samada melalui kalam-Nya, mahupun utusan-Nya, Sunnah Nabi Muhammad saw, nescaya kehidupannya tidak akan sesat dan tidak akan susah. Bahkan sebaliknya, sesiapa yang berpaling daripada ketentuan dan hukum hakam Allah taala, maka dia akan mengalami kehidupan yang sukar, susah dan sempit.

Benarlah firman Allah taala di dalam Surah Toha, ayat 123-124 yang bermaksud: "maka barangsiapa yang mengikut petunjukku, nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan barangsiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit."

Harapan akhirnya, marilah kita sama-sama mengambil roh korban, dan semangat Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail alahimassalam, sebagai panduan dan pengiktibaran serta pengorbanan Nabi besar junjungan kita Nabi Muhammad saw sebagai pemangkin kepada gerak kerja dan peranan kita sebagai seorang yang berstatuskan 'Ahli Agama' ke arah pembentukkan masyarakat muslim yang mukmin yang mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Salam Eidul Adha 1431 H


Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli

Presiden,
Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia. (ILMAM)

Thursday 11 November 2010

PERBAHASAN MELIHAT AURAT SESAMA JENIS ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN


Islam mengajar kepada umatnya supaya menjaga 5 perkara iaitu agama, akal, keturunan, diri, dan harta. Kesemua ini boleh dilihat di dalam ayat Al-Quran atau hadis Nabi S.A.W. yang beredar sekitar pemeliharaan perkara-perkara yang telah disebutkan. Contohnya pengharaman arak adalah untuk memelihara akal manusia daripada rosak, pengharaman zina adalah kerana ia boleh merosakkan diri dan keturunan

Antara perkara yang diharamkan oleh Islam ialah pandangan lelaki kepada wanita dan sebaliknya yang boleh menyebabkan kepada maksiat. Syair Arab pernah menyebutkan :


نَظرَةٌ , فَابْتِسَامَةٌ , فَسَلامٌ * فكَلامٌ , فَمَوْعِدٌ , فَلِقَاءٌ

Maksudnya : Pandangan, kemudian senyuman dan salam * Seterusnya kata-kata, temu janji dan pertemuan.

Jelas kepada kita daripada rangkap ini bahawa pandangan itu boleh mengakibatkan kesan yang tidak baik sesama masyarakat iaitu berleluasanya gejala sosial. Oleh sebab itulah Allah S.W.T. memerintahkan kepada orang-orang beriman supaya menjaga pendangan serta kemaluan berdasarkan ayat Al-Quran di dalam Surah An-Nuur :

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ {30} وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُون {31} وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ {32}

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.(30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu Berjaya (31). Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui”. (Ayat Al-Quran, Surah An-Nuur ayat 30-32)

Panduan yang diberikan di dalam ayat berkenaan ialah :

1- Suruhan menjaga pandangan dan kemaluan yang ditujukan kepada kaum lelaki dan wanita.
2- Aturan Islam dalam menerangkan penampilan seorang muslimah.

Jika diperhatikan kepada kedua-dua ayat tadi, ia memberikan gambaran kepada kita bahawa beberapa jenis pandangan itu ada kalanya dibenarkan di sisi syara’. Sebab itulah Allah S.W.T menyebutkan ((يغضوا من أبصارهم dan (يغضضن من أبصارهن) yang menunjukkan beberapa pandangan manusia ini perlu dijaga dan dipelihara sedangkan bakinya ada keringanan daripada syariat seperti pendangan ketika menjalankan urusan jual beli dan lain-lain. Walaupun begitu, Islam masih menggariskan syarat yang perlu dipatuhi bagi menjaga umatnya agar tidak melakukan perkara yang dilarang Allah S.W.T.

Maksud Menjaga Pandangan

Ayat Al-Quran di atas memberikan maksud menjaga pandangan itu dengan menundukkannya daripada perkara-perkara yang tidak dibenarkan syara’. Bukanlah maksud kita memejam mata atau berjalan dengan memandang ke tanah tetapi ia adalah menjaga pandangan supaya tidak berasa seronok apabila melihat kecantikannya serta tidak memandang dengan pandangan yang lama.

Sabda Nabi S.A.W. kepada Saidina Ali : (Wahai Ali, janganlah pandangan itu dituruti dengan pandangan yang lain. Sesungguhnya pandangan pertama itu bagimu dan bukannya pandangan selepas itu). – Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi.

Sabda baginda lagi : (Dua mata turut berzina, dan zinanya ialah pandangan) – Riwayat Imam Bukhari.

Zina mata yang dimaksudkan di sini ialah berseronok dengan pandangan yang tidak dibenarkan syara’.

Bukan sahaja Al-Quran bahkan di dalam kitab Injil juga ada menyebutkan kata-kata Nabi Isa a.s. : (Telah berkata mereka yang hidup sebelum kamu – “Jangan berzina” dan aku mengatakan kepada kamu – sesiapa yang melihat sesuatu dengan pandangan matanya maka dia telah berzina).

Pengharaman Pandangan Kepada Aurat

Antara pandangan yang perlu dijaga ialah pandangan kepada aurat, kerana Nabi S.A.W. melarang umatnya memandang kepada aurat walau pandangan seorang lelaki kepada lelaki yang lain atau seorang wanita kepada wanita yang lain samada keduanya disertakan dengan syahwat atau tidak.

Sabda Nabi S.A.W. : (Tidaklah bagi seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain, dan tidaklah seorang wanita melihat kepada aurat wanita yang lain. Dan tidaklah juga seorang lelaki tidur berkongsi satu selimut dengan lelaki yang lain, dan juga wanita dengan wanita yang lain dalam satu selimut). – Riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi.

Para ulama’ berpandukan hadis ini dalam mengatakan tidak boleh bagi seorang lelaki tidur bersama lelaki lain dan wanita tidur bersama wanita lain dalam satu selimut dengan bersentuhan antara satu sama lain.

· Batasan aurat lelaki yang tidak boleh dilihat oleh lelaki dan wanita – antara pusat dan lutut, manakala sebahagian ulama’ seperti Ibnu Hazam dan sekumpulan ulama’ Mazhab Maliki mengatakan bahawa peha itu bukan aurat.

· Batasan aurat wanita yang tidak boleh dilihat oleh lelaki ajnabi – seluruh badan melainkan muka dan tapak tangan.

Adapun aurat dengan muhrim mereka seperti bapa, saudara dan sebagainya akan dinyatakan dalam perbahasan akan datang.

Pengharaman yang disebutkan sebelum ini adalah apabila ia terjadi dalam suatu keadaan yang tidak terdesak, dan hukumnya akan berubah jika berlaku dalam situasi mendesak seperti perawatan dan lain-lain. Perlu diingat, walaupun ada batasan pandangan yang dibenarkan syara’ namun dengan syarat aman daripada fitnah dan syahwat, dan jika tidak maka keharusan ini tidak lagi dibenarkan.

Had pandangan yang dibenarkan syara’ antara lelaki dan wanita

1. Wanita kepada lelaki – Nabi S.A.W. mengizinkan kepada Saidatina Aisyah untuk melihat orang Habsyi yang sedang bermain pedang di Masjid Nabawi, sehinggalah beliau berasa bosan dan berlalu pergi. – Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Pandangan yang diharuskan bagi kategori ini ialah apabila tidak disertakan syahwat dan aman daripada fitnah.

2. Lelaki kepada wanita – Muka dan tapak tangan selagi mana tidak disertakan syahwat dan aman daripada fitnah.

Daripada Aisyah bahawa Asma’ binti Abu Bakar – saudara kandung beliau – datang kepada Nabi S.A.W. dengan keadaan pakaian yang nipis dan menampakkan bentuk badan, maka Nabi berpaling dan bersabda :

(Wahai Asma’, sesungguhnya wanita apabila telah baligh tidak dibenarkan melihatnya melainkan ini dan ini). Lalu baginda mengisyaratkan kepada muka dan kedua tapak tangannya). Riwayat Abu Daud.

Walaupun hadis di atas atas ada yang mengatakan ia tidak kuat untuk dijadikan sandaran namun telah disokong hadis sohih lain yang membenarkan pandangan kepada muka dan tapak tangan ketika aman daripada fitnah.

Kesimpulan : Pandangan kepada bahagian anggota badan lelaki dan wanita yang bukan aurat adalah dibenarkan selagi mana tidak berulang kali atau memandang dengan lama serta aman daripada fitnah.

Pandangan Yang Dimaafkan

Namun, Islam memaafkan pandangan yang tidak disengajakan pada kali pertama kepada perkara yang tidak dibenarkan. Daripada Saidina Jarir bin Abdullah telah berkata : Aku telah bertanya kepada Nabi S.A.W. tentang pandangan secara tiba-tiba. Maka baginda menjawab :

(Palingkan pandanganmu).maksudnya janganlah mengulangi pandangan tersebut kali kedua.

Jelas kepada kita bahawa pandangan yang tidak dibenarkan ialah pandangan seterusnya yang boleh menimbulkan fitnah dan menyebabkan rasa seronok serta memandang dengan lama walau tidak membangkitkan syahwat.

Bahagian Yang Dibenarkan Untuk Diperlihatkan

Potongan firman Allah S.W.T. (ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها) daripada Surah An-Nuur ayat 31, menyebutkan bahawa kaum wanita tidak dibenarkan untuk memperlihatkan perhiasan mereka melainkan apa yang zahir daripadanya. Maksud perhiasan wanita ialah apa yang menghiasi dan mencantikkan dirinya samada secara semulajadi seperti kecantikan muka, rambut dan badan atau bukan semulajadi seperti pakaian, barang kemas dan sebagainya.

Dalam ayat ini, Allah S.W.T membenarkan perhiasan wanita itu diperlihatkan melainkan apa yang terzahir daripadanya (إلا ما ظهر منها). Khilaf ulama’ berlaku dalam mentakrifkan maksud perkara yang zahir daripada perhiasan wanita :

· Kebanyakan para salaf berpendapat ia adalah apa yang berlaku pada adat iaitu bahagian yang zahir daripada perhiasan wanita.

· Pendapat Ibnu Abbas dan Anas yang mengharuskan bagi seorang wanita memakai celak dan cincin. Pengharusan kedua ini secara umum membawa maksud membenarkan bahagian tubuh badan yang dibenarkan untuk dilihat iaitu muka dan tapak tangan.

· Aisyah dan Qatadah – gelang tangan, dan ini bermaksud mengecualikan bahagian daripada tangan yang termasuk dalam had pemakaian gelang tangan adalah tempat yang dilarang untuk dilihat lelaki yang ajnabi.

· Abdullah bin Mas’ud dan An-Nakhaei – pakaian luaran.

Pendapat yang terpilih – bahagian muka dan tapak tangan beserta perhiasan yang dibenarkan padanya seperti cincin di tangan dan celak di mata dengan tidak berlebih-lebihan pada pemakaiannya. Pendapat ini juga telah dinyatakan oleh sekumpulan para sahabat dan tabiin.

Tetapi berbeza dengan gincu, pewarna dan bedak yang dipakai oleh kaum wanita pada zaman sekarang kerana ia termasuk dalam sikap terlalu berlebih-lebihan dan kes emua ini hanya dibenarkan dipakai di dalam rumah sahaja. Samalah juga keadaan mereka yang berhias supaya menjadi perhatian kaum lelaki maka ini juga termasuk dalam perhiasan yang diharamkan.

Aurat Wanita

1. Aurat dengan lelaki ajnabi dan wanita bukan muslimah : seluruh badan melainkan muka dan tapak tangan.

2. Aurat dengan golongan yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam Surah An-Nuur ayat 31 (suami, bapa, bapa mertua, anak, anak tiri, saudara lelaki kandung, anak saudara lelaki kepada saudara kandung lelaki dan wanita, wanita muslimah, hamba, mereka yang tiada syahwat kepada wanita dan selalu bersamanya seperti khadam atau wakil, kanak-kanak) : bahagian yang zahir daripada tubuh badan seperti telinga, leher, rambut, tangan, betis dan sebagainya. Bahagian badan yang tidak kelihatan seperti belakang badan, perut, kemaluan, dan peha maka tidak dibenarkan untuk diperlihatkan kepada mereka melainkan suami.

Oleh sebab itulah Allah S.W.T memerintahkan kepada para muslimah untuk menutup tubuh badan mereka ketika keluar ke tempat awam dengan jubah / pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh mereka serta membezakan antara mereka dan orang kafir. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 :

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا {59}

Maksudnya : “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah Al-Ahzab ayat 59)

Hal ini disebabkan wanita pada zaman jahiliah menampakkan perhiasan apabila keluar daripada rumah mereka seperti bahagian leher dan rambut dan membuatkan lelaki terpesona. Maka turunlah ayat yang memerintahkan wanita muslimah melonggarkan jubah sehingga tidak akan ternampak bentuk tubuh badan yang boleh menimbulkan fitnah.

Pandangan Kepada Wanita Di Dalam Gambar Dan Yang Seumpamanya

Tidak dibenarkan kepada lelaki mahupun wanita melihat aurat sesama mereka di dalam gambar, video dan seumpamanya yang boleh memantulkan dan menayangkan bahagian tubuh masing-masing.

Begitu juga keadaan suami atau isteri yang tidak dibolehkan untuk melihat video lucah dan seumpamanya dengan alasan untuk menaikkan syahwat sebelum melakukan hubungan atau pada waktu yang lain kerana ia akan membawa kepada bayangan individu lain ketika melaksanakan hubungan suami isteri. Menurut pandangan para ulama’ perkara ini boleh membawa kepada hukum zina jika seorang suami atau isteri membayangkan orang lain ketika bersama dengan pasangannya.

Tentang bahagian yang boleh dilihat daripada lelaki dan perempuan di atas pantulan (televisyen, video, gambar dan seumpamanya) pula melihat kepada perbahasan yang telah dijelaskan sebelum ini.

Melihat Aurat Orang Kafir

Hukum sama turut digariskan kepada umat Islam apabila diharamkan untuk melihat aurat orang kafir samada lelaki atau wanita. Hal ini kerana bukanlah perbezaan agama itu menjadi suatu penilaian tetapi alasan yang digunakan ialah tempat-tempat yang dilarang untuk dilihat tersebut boleh membangkitkan syahwat dan membawa kepada kemungkaran. Perkara ini termasuk juga dalam suruhan umum Allah S.W.T. (Surah An-Nuur ayat 30-32) kepada umat Islam supaya menjaga pandangan tidak kira samada ia melibatkan aurat sesama muslim atau kafir.

Kesimpulan daripada perbahasan :

1) Melihat wanita yang tidak menutup auratnya adalah haram, begitu juga wanita melihat lelaki yang tidak menutupi auratnya hukumnya haram.

2) Bila seorang lelaki melihatnya dengan syahwat yang dapat mengundang fitnah maka hukumnya haram.

3) Melihat wanita yang berpakaian sesuai dengan syariat Islam dengan tidak menampakkan perhiasannya hukumnya boleh dengan syarat tidak dengan pandangan bersyahwat, seperti melihatnya di jalanan, di pejabat, pasar, masjid, saat menunaikan ibadah haji atau di dalam kenderaan awam, begitu juga wanita melihat lelaki yang berpakaian sopan di jalanan, pejabat, atau yang seumpamanya sebagaimana Sayyidatuna ‘Aisyah radhiallahu’anha melihat para lelaki Habasyah saat mereka bermain :

قالت عائشة : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يسترني بردائه وأنا أنظر إلى الحبشة يلعبون في المسجد.

Sayyidatuna ‘Aisyah radhiallahu’anha berkata : Suatu ketika Rasulullah menutupiku dengan selendangnya di saat daku memandang kepada sekumpulan lelaki Habsyah bermain di halaman masjid. (HR Bukhari dan Muslim).

4) Hukum-hukum di atas turut mencakupi qadhiyah(keadaan) melihat wanita di televisyen atau melihat gambarnya di majalah-majalah, akhbar-akhbar, buku-buku, dan begitu juga sebaliknya.

5) Penjelasan di atas menafikan pendapat yang memperbolehkan melihat wanita secara mutlak samada wanita itu berjilbab atau tidak, dengan memperlihatkan perhiasannya di televisyen, majalah, akhbar mahupun buku-buku. Ini bermaksud, andai gambar yang terpampang di dada sesebuah akhbar contohnya, dalam keadaan yang tidak menutup aurat, maka haram bagi lelaki memandang gambar itu. Begitu juga, andai gambar yang terpampang di dada akhbar itu adalah wanita berpakaian sopan sekalipun, namun jika pandangan seseorang lelaki terhadap gambar berkenaan adalah dengan pandangan syahwat, tetap haram hukumnya kerana ia yang membawa kepada fitnah hatinya.


Penutup

Ajaran Islam amat menitikberatkan martabat kaum wanita dalam masyarakat sehingga meletakkan beberapa panduan yang perlu diikuti oleh kaum muslimah. Segala perkara yang berkaitan dengan mereka adalah untuk menjaga kehormatan dan kesucian mengikut batasan yang ditunjukkan. Contoh terbaik yang mesti diambil ialah wanita muslimah yang hidup pada zaman Rasulullah S.A.W. kerana mereka berada secara langsung di bawah tunjuk ajar baginda menerusi penjelasan kepada ayat-ayat Allah dan teladan isteri-isteri baginda hasil didikan Nabi S.A.W. Semoga dengan catatan ringkas ini dapat diambil perhatian oleh umat Islam dalam mengikut cara dan ajaran agama secara keseluruhannya dengan berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.


Rujukan :

1. An-Nazhar fi Ahkam An-Nazar bi Hassatil Basar karangan Al-Imam Al-Faqih Al-Hafiz Abu Al-Hasan Ali bin Muhammad bin Abdul Malik (Ibnu Al-Qattan Al-Fasi), cetakan pertama tahun 2006/1427 H, Maktabah Al-Iman.

2. Al-Halal wal Haram Fil Islam karangan Dr. Syeikh Yusuf Al-Qardhawi, cetakan ke-15 tahun 1994/1415 H, Al-Maktab Al-Islami.

3. Hukm Al-Islam fi Wasail Al-I’lam karangan Abdullah Nasih Ulwan cetakan ketujuh tahun 2001/1421 H, Dar As-Salam.