BORANG ONLINE ILMAM

NAMA PENUH
ALAMAT RUMAH
NO KAD PENGENALAN
JANTINA
ILMAM NEGERI
NO TELEFON
EMEL ANDA
PEKERJAAN SEKARANG/ JAWATAN
Saya akan membantu ILMAM di dalam bidang Dakwah
Penyelidikan
Penulisan
IT/Internet/Web
Sukarelawan
Fasilitator
Program Kemasyarakatan
Politik Dunia
Isu Palestin
Perubatan
Lain-Lain
Mohon Tuan/ Puan untuk berkongsi sedikit latar belakang pengajian sebelum ini (Contoh : jurusan pengajian di Mesir, tahun pengajian dan sumbangan yang boleh diberikan kepada ILMAM)

Saya mengaku segala kenyataan di atas adalah benar dan saya akan membantu Pertubuhan ILMAM Malaysia sekiranya diperlukan. Sekian, terima kasih.

 


Click here to create your own form.

Saturday 25 December 2010

PERBAHASAN HUKUM MEMBAKAR MAYAT


Perbahasan Hukum Membakar Mayat

Baru-baru ini hangat diperkatakan tentang suatu cadangan membakar mayat di Turki disebabkan masalah tanah perkuburan yang semakin berkurangan. Dikatakan tanah yang sedia ada hanya mampu digunakan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Isu ini telah mendapat perhatian yang hebat dari serata dunia termasuklah negara kita Malaysia. Ramai di kalangan ilmuan mengkritik cadangan ini namun ada di kalangan rakyat Turki mewasiatkan agar dibakar setelah meninggal dunia.

Pengurusan Jenazah Menurut Ajaran Islam

Islam telah mengajar umatnya beberapa panduan menguruskan jenazah bermula selepas kematiannya sehingga selamat dikebumikan. Antara perkara wajib yang perlu dilaksanakan kepada mayat :

1. Dimandikan
2. Dikafankan
3. Disolatkan
4. Dikebumikan

Tatacara ini telah dijelaskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah dengan menepati kehendak kehidupan manusia. Hal ini kerana Islam memuliakan kedudukan manusia selaku khalifah di muka bumi dalam keadaan mereka sudah meninggal dunia sekalipun.

Hukum Membakar Mayat

Para ulama' bersepakat bahawa perbuatan membakar mayat merupakan suatu tegahan yang disebutkan dalam hadis Nabi S.A.W. Perkara ini adalah suatu bentuk siksaan yang dikenakan kepada mereka yang telah mati. Sabda baginda :

حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مَنْصُورٍ حَدَّثَنَا مُغِيرَةُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحِزَامِيُّ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ حَمْزَةَ الْأَسْلَمِيُّ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَّرَهُ عَلَى سَرِيَّةٍ قَالَ فَخَرَجْتُ فِيهَا وَقَالَ إِنْ وَجَدْتُمْ فُلَانًا فَأَحْرِقُوهُ بِالنَّارِ فَوَلَّيْتُ فَنَادَانِي فَرَجَعْتُ إِلَيْهِ فَقَالَ إِنْ وَجَدْتُمْ فُلَانًا فَاقْتُلُوهُ وَلَا تُحْرِقُوهُ فَإِنَّهُ لَا يُعَذِّبُ بِالنَّارِ إِلَّا رَبُّ النَّارِ

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Sa'id bin Manshur, telah menceritakan kepada kami Mughirah bin Abdurrahman Al Hizami, dari Abu Az Zinad, telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Hamzah Al Aslami, dari ayahnya, bahwa Rasulullah sallallahu wa'alaihi wa sallam telah menunjuknya sebagai pemimpin sebuah kesatuan militer. Hamzah Al Aslami berkata; kemudian aku keluar diantara pasukan tersebut. Beliau berkata: "Apabila kalian mendapatkan Fulan, maka bakarlah dia dengan api." Kemudian aku pergi, lalu beliau memanggilku lalu aku kembali kepada beliau. Beliau berkata: "Apabila kalian mendapatkan Fulan maka bunuhlah dia, dan jangan kalian bakar! Sesungguhnya tidak ada yang boleh menyiksa dengan api kecuali Tuhan Penguasa api." (Hadith Riwayat Imam Abu Daud - 2299).

Dalam hadith ini, baginda menegah para sahabat membakar musuh ketika berhadapan dengan mereka. Walaubagaimanapun, apa yang perlu difahami oleh kita ialah penggunaan lafaz umum dalam hadith tersebut iaitu :

فَإِنَّهُ لَا يُعَذِّبُ بِالنَّارِ إِلَّا رَبُّ النَّارِ

Maksudnya : Sesungguhnya tidak ada yang boleh menyiksa dengan api kecuali Tuhan Penguasa api.

Keterangan ini jelas menunjukkan hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan berhak membakar manusia iaitu menyeksanya dengan api neraka. Perbuatan mereka yang menyangka bahawa membakar manusia itu merupakan amalan yang suci dan sebagainya adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan agama.

Selain itu, terdapat juga hadith lain menyatakan perkara yang sama :

حَدَّثَنَا أَبُو صَالِحٍ مَحْبُوبُ بْنُ مُوسَى أَخْبَرَنَا أَبُو إِسْحَقَ الْفَزَارِيُّ عَنْ أَبِي إِسْحَقَ الشَّيْبَانِيِّ عَنْ ابْنِ سَعْدٍ قَالَ أَبُو دَاوُد وَهُوَ الْحَسَنُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ
كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَانْطَلَقَ لِحَاجَتِهِ فَرَأَيْنَا حُمَّرَةً مَعَهَا فَرْخَانِ فَأَخَذْنَا فَرْخَيْهَا فَجَاءَتْ الْحُمَرَةُ فَجَعَلَتْ تُفَرِّشُ فَجَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَنْ فَجَعَ هَذِهِ بِوَلَدِهَا رُدُّوا وَلَدَهَا إِلَيْهَا وَرَأَى قَرْيَةَ نَمْلٍ قَدْ حَرَّقْنَاهَا فَقَالَ مَنْ حَرَّقَ هَذِهِ قُلْنَا نَحْنُ قَالَ إِنَّهُ لَا يَنْبَغِي أَنْ يُعَذِّبَ بِالنَّارِ إِلَّا رَبُّ النَّارِ


Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Abu Shalih Mahbub bin Musa berkata, telah mengabarkan kepada kami Abu Ishaq Al Fazari dari Abu Ishaq Asy Syaibani dari Ibnu Sa'd -Abu Dawud berkata; dia adalah Al Hasan bin Sa'd- dari 'Abdurrahman bin Abdullah dari Bapaknya ia berkata, "Kami pernah bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam suatu perjalanan, lalu beliau pergi untuk buang hajat. Kami lalu melihat seekor burung bersama dua anaknya, kami lantas mengambil dua anaknya hingga menjadikan burung tersebut terbang berputar-putar di atas kepala kami. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kemudian datang dan bertanya: "Siapa yang menyakiti burung ini dengan mengambil anaknya? Kembalikanlah anaknya kepadanya." Setelah itu beliau juga melihat sarang semut yang telah dibakar, beliau pun bertanya: "Siapa yang membakar sarang ini?" Kami menjawab, "Kami." Beliau bersabda: "Sesungguhnya tidak pantas bagi seseorang menyiksa dengan api kecuali pemilik api (Allah)." (Hadith riwayat Imam Abu Daud - 4584).

Imam Al-Munziri menyatakan bahawa Imam Bukhari dan Ibnu Abi Hatim telah menyebutkan perihal Abdul Rahman bin Abdullah yang mendengar (meriwayatkan) hadith ini daripada bapanya. Manakala Imam At-Tirmizi pula mengatakan darjat hadith ini adalah sohih dan disebutkan juga di dalam kitabnya Jami' At-Tirmizi.

Kejadian yang disebutkan dalam hadith lebih umum iaitu dengan menyatakan larangan membakar makhluk lain walaupun mereka lebih lemah berbanding manusia, maka bagaimana pula dengan manusia yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian. Firman Allah S.W.T. :

لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم

Maksudnya : Sesungguhnya kami telah menjadikan manusa dengan sebaik-baik kejadian. (Surah At-Tiin ayat 4).

Sedangkan perbuatan mematahkan tulang mayat itu ditegah oleh Nabi S.A.W. walaupun jika mendapatinya dalam keadaan reput berdasarkan kepada hadith :

حَدَّثَنَا الْقَعْنَبِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ سَعْدٍ يَعْنِي ابْنَ سَعِيدٍ عَنْ عَمْرَةَ بِنْتِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Al Qa'nabi telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz bin Muhammad dari Sa'd bin Sa'id dari 'Amrah binti Abdurrahman dari Aisyah bahwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata: "Mematahkan tulang orang yang mati seperti halnya mematahkannya ketika ia masih hidup." (Hadith riwayat imam Abu Daud – 2792)

Begitu besar rahmat Allah S.W.T memelihara hambanya walaupun mereka telah menjadi mayat, sedangkan perbuatan yang bertentangan dengan apa yang telah diajarkan agama semata-mata mengikut hawa nafsu.

Cadangan Penyelesaian Terhadap Masalah Yang Timbul

Setelah melihat kepada beberapa keadaan dan situasi maka pihak MANHAL PMRAM mengemukakan beberapa cadangan untuk dijadikan alternatif kepada penyelesaian masalah ini. Cadangan ini merupakan usaha yang dilakukan oleh beberapa negara seperti Malaysia dan Singapura disebabkan masalah yang sama. Namun, penyelesaian yang dicadangkan perlulah menepati garis panduan syara' setelah dibincangkan oleh para ulama'. Antaranya ialah :

1. Mayat Baru Ditanam Dalam Kubur Lama

Sedia maklum proses ini sering berlaku kepada tapak perkuburan lama yang mayat-mayat di situ dipindahkan ke kawasan tanah perkuburan baru (link). Situasi ini disebabkan penggunaan kawasan tanah perkuburan lama tersebut untuk tujuan lain seperti perluasan kawasan masjid, dan sebagainya. Para ulama' telah membincangkan perkara ini dengan melihat kepada pandangan syara' :

• Hukum Membongkar Kubur Lama Untuk Dimasukkan Mayat Baru :

a) Mazhab Hanafi – tidak dibenarkan membongkarnya kecuali mayat pertama telah hancur keseluruhannya melainkan tulang. Mereka berpendapat bahawa hanya sekadar memisahkannya dengan mayat baru dengan tanah.

b) Mazhab Syafie dan Hanbali – tidak dibenarkan sama sekali sehingga kesan mayat yang pertama daripada daging dan tulang sudah tidak kelihatan lagi. Perkara ini dilihat perlunya rujukan kepada mereka yang pakar bagi menentukan samada mayat itu sudah reput secara keseluruhan atau belum. Jika digali dan didapati masih ada kesan mayat pertama maka dikambus kembali dan digali kubur yang lain yang telah dipastikan keadaan mayatnya yang telah hancur.

Pendapat ini menggunakan hadith Nabi S.A.W. yang telah dinyatakan sebelum ini iaitu pengharaman mematahkan tulang mayat. Oleh sebab itu, pengharaman untuk membongkar kubur bagi pendapat ini berterusan selagi mana masih ada kesan mayat mayat pertama daripada daging atau tulang.

Kesimpulan daripada masalah : Tidak dibenarkan membongkar kubur dengan sebab yang tidak syar'ie tetapi ia tidak menjadi masalah jika dilakukan kerana maslahah/kebaikan umum. Keadaan yang dibenarkan pula apabila mayat betul-betul telah hancur dan menjadi tanah bahkan dibolehkan untuk tujuan lain seperti bercucuk tanam, membina bangunan dan lain-lain. Selain itu, kubur juga boleh dibongkar jika mayat yang ditanam tidak dimandikan, atau tidak dikafankan, dikafankan menggunakan kain yang dirampas, dikafankan menggunakan sutera, terdapat harta di dalam kubur dan sebagainya.

2. Kubur Bertingkat

Cadangan ini melihat kepada situasi yang berlaku kepada beberapa negara termasuk Malaysia di Selangor kerana masalah kekurangan tanah. Walaubagaimanapun, beberapa perkara perlu dilihat sebelum proses ini dapat dilaksanakan :

• Masalah kekurangan tanah perkuburan.
• Kajian tentang kesesuaian perkara ini dari pelbagai aspek seperti agama, maslahah/kebaikan umum dan kesan.
• Memberi penerangan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam tentang cara pengurusan kubur bertingkat.
• Teknikal yang jelas kepada petugas yang berkenaan bagi memastikan agar pengebumian ini dapat dilakukan dengan baik. Hal ini kerana antara hikmah proses pengebumian ini dilaksanakan mengikut panduan syara' ialah :

- Selamat daripada binatang buas.
- Tidak terkeluar baunya.
- Tidak membenarkan ia dibongkar dengan mudah bagi mengelakkan kecurian kain kafan atau sebagainya berlaku.

Kesimpulan : Islam merupakan agama yang memberikan kemudahan kepada penganutnya berdasarkan kepada pemeliharaan perkara-perkara asas agama. Manakala perlakuan membakar mayat pula adalah suatu perbuatan yang berlandaskan hawa nafsu dan boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kebinasaan di dunia dan akhirat. Oleh itu, panduan dan rujukan perlulah ditujukan kepada mereka yang betul-betul faham tentang penyelesaian masalah yang berlaku sesama umat Islam.

Wallahua'lam.

Rujukan :

1. Sunan Abu Daud karangan Imam Abu Daud Sulaiman Ibn Al-Asy'ath Al-Azadi Al-Sijistani.
2. Fiqhul Kitab Wa As-Sunnah karangan Dr. Amir Abdul Aziz (Pensyarah bahagian Fiqh Muqaran di Universiti An-Najah Al-Wataniah, Nablus, Palestin).
3. Sumber berita dan pautan yang berkaitan.


Disediakan oleh,
Muhammad Hanif Jamaluddin,

Pemangku Pengerusi Felo MANHAL PMRAM.

Thursday 16 December 2010

KEPENTINGAN KEPIMPINAN ULAMA: HUKUM, DALIL DAN RASIONAL


Ulama' Mengikut Perspektif Islam

Takrif ulama' dari sudut bahasa Arab ialah bermaksud orang yang mengetahui sesuatu. Ianya berasal daripada kalimah aliim dan ulama’ adalah perkataan jama’ (gandaan yang menunjukkan bilangan banyak) kepada aliim . Manakala dari sudut syarak, pelbagai takrifan telah diberikan antaranya ialah :

1. Takrif Syeikh Abul Aziz Badri dimana beliau berkata : “Ulama’ adalah sebagai pewaris nabi iaitu yang menyambung kembali perjuangan dan dakwah para nabi. Ulama’ tidak takut kepada pemerintah yang zalim dan pihak yang kejam kerana kepatuhan mereka hanya kepada Allah SWT”.

2. Imam Al-Hassan Al-Basri berkata : “Ulama’ ialah orang yang takut kepada Allah dan cenderung melakukan apa yang Allah suka dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatNya”

3. Imam Malik berkata : “Ulama’ bukanlah seorang yang banyak menghafaz riwayat hadis bahkan mempunyai ilmu yang merupakan nur (cahaya) yang dinyalakan Allah di dalam hati”

4. Dr. Harun Din mengatakan bahawa ianya ialah kalimah jama’ daripada perkataan alim dengan bermaksud seseorang yang mendalami pengetahuan agama. Di dalam bahasa Arab terdapat banyak istilah lain selain istilah ulama’ yang digunakan bagi merujuk kepada bidang masing-masing sebagai contoh khabir, muhtarifun, fanniyyun yang merujuk kepada pakar selain bidang agama.

Di Dalam Al-Quran Al-Karim Allah s.w.t telah berfirman :

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Bermaksud : “Hanyasanya orang yang paling takut kepada Allah adalah ulama” (Surah Fathir, ayat 28)

Menurut al-Imam al-Syaukani dalam mentafsirkan ayat ini beliau berkata, “ Ulama adalah mereka yang takut pada Allah taala,dan mengetahui bahawa Allah taala berkuasa atas sesuatu”. Al-Imam al-Qurtubi menyebut, “Ulama adalah seorang yang takut akan kekuasaan Allah taala dan yakin bahawa Allah taala akan membalas segala maksiat yang dilakukan.

Menurut al-Syahid Syed Qutb pula : “ Ulama adalah orang yang mengetahui tentang sifat Allah taala dan kebesarannya. Sesiapa yang bertambah ilmunya maka akan bertambah takutnya kepada Allah taala”. Berdasarkan kepada tafsiran tersebut nyatalah mereka yang tidak takutkan hukum Allah s.w.t dan bersungguh-sungguh melaksakan perintah Allah bukanlah mereka yang layak digelar ulama pada hakikatnya walaupun mahir dalam persoalan halal dan haram. Oleh itu, ulama yang takut kepada Allah iailah mereka yang mengmalkan ilmunya dan menyeru manusia supaya turut sama takut dan patuh kepada perintah Allah.

SYARAT-SYARAT DAN CIRI-CIRI BERGELAR ULAMA’

Institusi ulama’ merupakan institusi yang tinggi di dalam Islam. Allah s.w.t telah berbangga dengan para ulama dan telah mengangkat darjat mereka di kedudukan yang tinggi sebagaimana firman Allah :

يرفع الله الذين آمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجات

Bermaksud: “ Allah s.w.t mengangkat darjat orang yang beriman dan mereka yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat”. (Surah Mujadalah, ayat 11)

Oleh yang demikian itu, ulama perlulah memiliki cirri-ciri dan syarat yang ketat sesuai dengan kedudukan mereka di dalam Islam. Syarat-syarat seorang ulama ialah :

1. Memiliki disiplin ilmu Islam yang menyeluruh. Syarat ini penting untuk membezakan mereka yang hanya memiliki pengetahuan agama dan mereka yang betul-betul menguasainya supaya dapat diletakkan seseorang itu di kedudukannya.. Antara ilmu-ilmu yang perlu dikuasai ialah :

a. Bahasa Arab dan cabang-cabangnya seperti Nahu, Saraf.
b. Al-Quran dan Ulum al-Quran
c. Ilmu Feqah Islam dan Usul Feqah
d. Ilmu Hadis dan Ulum al-Hadis
e. Ilmu Mantiq
f. Ilmu Tarikh al-Islami dan Sirah Nabawiyah
g. Ilmu Aqidah Islamiyah (Ahlussunnah Wal Jamaah)
h. Ilmu Tasawwuf dan akhlak.
i. Usul dakwah

Ulama yang dimaksudkan juga adalah mereka yang menguasai ilmu agama dengan cara mempelajarinya dengan para ulama secara berdepan atau musyafahah , di dalam segenap lapisan ilmu islam sama ada ilmu yang berkaitan usul ataupun furuk. Bukan hanya sekadar membacanya dengan tanpa berguru. Ini adalah bagi memastikan ianya diambil daripada acuan yang sebenar bukan dengan hawa nafsu dan salah faham. Bagi zaman sekarang, memadai untuk ulama untuk memiliki pengkhususan dalam salah satu bidang yang disebut atau lebih disamping menjadikan selainnya sebagai thaqofah yang turut dipelajari.

2. Mempunyai pengetahuan umum dan pelbagai mengenai Islam dan isu sekitarnya. Antara perkara-perkara yang perlu dihadam dengan baik ialah :

a. Buku-buku karangan ulama harakah al-Islamiyah seperti al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi, Fathi Yakan, al-Syeikh Said Hawwa dan lain-lain.

b. Feqah Haraki seperti Feqah Waqi’,Feqah Muwazanah, Feqah Awlawiyyat, Feqah Taghyir.

c. Selok belok serangan pemikiran moden seperti Freemason, Kristianisasi, ajaran anti hadis dan lain-lain

d. Politik dan perundangan negara serta hal ehwal politik semasa.

Demikian juga ulama perlu memiliki ciri-ciri dan keperibadian yang unggul sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam sesuai dengan kedudukan ulama’ sebagai pewaris Nabi Muhammad s.a.w. Antara sifat yang perlu dimiliki ialah :

1. Cinta kepada Allah s.w.t
2. Cinta dan benci kepada makhluk hanya kerana Allah.
3. Berjiwa pendidik (murabbi)
4. Mendapat tarbiyah yang baik.
5. Sanggup dipimpin dan memimpin.
6. Berjiwa pejuang dan sanggup berjihad dengan segala apa yang dimiliki.
7. Berjiwa besar dan tidak takut dikritik oleh manusia.
8. Bijak berhadapan dengan situasi semasa.
9. Hidup dalam masyarakat (mua’yasyah al-mujtama’)

HUKUM ULAMA’ MENJADI PEMIMPIN DAN DALIL-DALILNYA

Setelah melihat kepada takrif, ciri-ciri serta sejarah seperti yang tercatat sebelum ini dapatlah ditegaskan secara umumnya bahawa ulama wajib memimpin. Oleh kerana sesebuah gerakan Islam ingin membawa Islam itu sendiri maka golongan yang paling berkemampuan untuk menerangkan kebaikan Islam kepada masyarakat secara terperinci dan keburukan sistem selain Islam adalah para ulama.

Terdapat dalil yang cukup banyak membicarakan berkenaan perkara ini. Bagi yang memahaminya dengan baik tentu akan mencukupi baginya walaupun satu dalil sahaja. Namun seseorang yang ingin mengingkarinya, maka jika kita datangkan dengan seribu satu dalil sekalipun mereka tetap akan mengingkari akan perkara ini.

Jika kita memerhatikan dengan teliti di dalam al-Quran dan al-Sunnah maka kita akan mendapati bahawa para ulama sebenarnya adalah merupakan mereka yang paling layak untuk memegang tampuk kepimpinan khususnya dalam gerakan Islam yang ingin melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Kita akan membincangkan secara ringkas apakah dalil yang menunjukkan bahawa perlu para ulama memimpin. Antara dalil-dalil yang menunjukkan perkara ini:

1.PARA NABI MERUPAKAN PARA PEMIMPIN UMAT

Jika kita mengatakan bahawa para nabi adalah pemimpin umat manusia kepada kebenaran. Maka kita juga sepatutnya mengatakan bahawa para ulama juga mengambil tugas para nabi terdahulu. Ini kerana para ulama adalah pewaris para nabi.

Allah s.w.t memilih hambaNya yang bertaqwa bagi melaksanakan tugasan dakwah dan bagi memimpin umat manusia. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud: "dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".

Perkara pertama yang disebutkan oleh Allah s.w.t apabila Nabi Adam alaihi a.s diangkat menjadi Khalifah Allah bukanlah kekuasaan dan kekuatan. Namun perkara pertama yang diajarkan kepada Nabi Allah Adam alaihi a.s ialah ilmu. Ini seperti firman Allah taala di dalam surah al-Baqarah ayat 31 yang bermaksud: "dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan Segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan Yang benar".

Ini menjadi dalil bahawa ilmu adalah perkara pokok yang utama untuk di dahulukan bilamana memegang sesuatu kepimpinan dalam apa jua bentuk.

Allah taala juga menyebutkan kepada Nabi Allah Daud a.s di dalam surah al-Shaad ayat 26 yang bermaksud: "Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia Dengan (Hukum syariat) Yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu, kerana Yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang Yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab Yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa para Nabi hakikatnya diutuskan untuk menjalankan Syariat Allah di muka bumi ini. Maka para ulama adalah penerus kepada perjuangan para Nabi terdahulu. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam :

إنما العلماء ورثة الأنبياء

Maksudnya : “ Sesungguhnya Para ulama itu adalah merupakan pewaris para Nabi”

Al-Allamah al-Syeikh Ali Surur al-Zankaluni rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Dakwah wa al-Du’ah dengan mengatakan bahawa di antara perkara yang menjadi kekeliruan dan kekacauan di dalam pemikiran masyarakat adalah bilamana seseorang memisahkan politik daripada agama. Malah lebih teruk dengan mengatakan bahawa agama suku dan politik suku. Di antara sebab mengapa umat Islam sekarang jauh ketinggalan di belakang adalah kerana terdapatnya golongan sebegini.

Al-Allamah al-Syeikh Abu Hassan Ali al-Hasani al-Nadwi rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya Maza Khasirul al-A’lam Binhithot al-Muslimin (kenapakah ruginya ala mini dengan mundurnya umat Islam) dengan mengatakan bahawa jihad tetap akan berterusan sehingga ke akhir zaman. Pada zaman dahulu jihad dilaksanakan dengan menggunakan mata pedang. Namun pada masa sekarang, jihad adalah dengan menggunakan pemikiran. Maka sepatutnya bagi umat Islam untuk memerangi fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Islam dengan bentuk jihad yang ada pada masa kini.

Persoalannya siapakah yang akan menerangkan tentang kesalah fahaman di dalam pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam ini jika bukan ulama yang turun padang memberikan penjelasan??

Memberikan penjelasan berkenaan bahaya ajaran selain Islam adalah wajib. Maka ini secara langsung menjadikan keterlibatan di dalam perjuangan Islam juga akan menjadi wajib dengan sebab kedua-duanya punya kesinambungan yang jitu. Para ulama Usul Fiqh menyebutkan :

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya : “Sesuatu yang wajib itu tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu yang lain maka perkara yang digunakan untuk menyempurnakannya juga menjadi wajib.”

SYUBHAT

Terdapat sebahagian orang mengatakan bahawa jika kita mengatakan bahawa ulama perlu untuk memimpin maka ini akan menjadikan Negara tersebut dipimpin oleh orang-orang yang digelar “ Rijal al-Din” atau di dalam bahasa kita disebutkan orang-orang agama. Negara seperti ini samalah seperti bentuk pemerintahan yang dijalankan oleh oleh golongan Kristian bagi menggerakkan sistem Gereja di barat satu ketika dahulu.

JAWAPANBold
Al-Allamah Dr Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Din Wa al-Siasah pada mukasurat 162 mengatakan bahawa jika seseorang itu menyamakan di antara sistem yang Islam bawa seperti sistem yang dibawa oleh golongan paderi maka ini jelas amat bertentangan dengan kebenaran malah jauh daripada hakikat sebenar.

Golongan Kristian membahagikan agama dan pemerintahan kepada dua bahagian. Malah menyerahkan pemerintahan kepada manusia lain untuk melakukan sewenang-wenangnya manakala institusi agama diserahkan kepada pihak paderi bagi menguruskannya.Gambaran sebegini langsung tidak wujud di dalam Islam.

Al-Allamah Muhammad al-Ghazali rahimahullah juga memberikan komentar yang sangat baik di dalam menjawab permasalahan ini dengan mengatakan bahawa : Istilah Rijal al-Din sebenarnya satu perkara yang tidak tepat untuk digunakan di dalam Islam. Ini kerana umat Islam hakikatnya seluruh jiwa raga mereka adalah rijal kepada agama mereka tanpa ada pengecualian.

2.TUJUAN ILMU ADALAH UNTUK MEMBERIKAN PERINGATAN DAN PENGAJARAN

Firman Allah taala di dalam surah al-Taubah ayat 122 yang bermaksud: "dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Setiap zaman punya cara untuk memberikan peringatan kepada umat masing-masing. Di antara cara untuk memberikan peringatan kepada umat pada zaman sekarang adalah dengan memegang tampuk kepimpinan di dalam masyarakat khususnya dalam bentuk jemaah Islam. Maka ini memberi makna, para ulama perlu untuk meletakkan diri mereka sebagai pemimpin umat bagi merealisasikan amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Seseorang yang bijak berinteraksi dengan zaman akan memandang bahawa pada zaman sekarang, jika ulama tidak memegang tampuk kepimpinan maka ahli-ahli jemaah secara khususnya dan masyarakat secara umumnya akan berada dalam kejahilan dan jauh hanyut lebih-lebih lagi jika mereka dipimpin oleh orang-orang yang tidak mengatahui soal hukum-hukum Islam.

SYUBHAT

Ada sebahagian orang mengatakan bahawa para ulama tidak perlu untuk memimpin . Ini kerana jika melihat kepada zaman dahulu, para ulama cuma menjadi penasihat kepada para khalifah dan sultan (ahlul halli wal ‘aqd) maka tidak perlu untuk para ulama bergiat cergas menjadi pemimpin.

JAWAPAN

Jawapan bagi orang yang mengatakan sedemikian ialah inilah peri pentingnya seseorang itu bermuamalat dengan zaman dan isu semasa yang berlaku di sekeliling.

Jika seseorang itu membandingkan penglibatan dan gerak kerja ulama dahulu dengan sekarang maka sebenarnya ianya merupakan satu perbandingan yang tidak tepat. Ini kerana , para ulama dahulu mereka memberi nasihat kepada orang yang memahami akan kedudukan sebenar ulama tersebut. Berbeza dengan zaman sekarang yang mana jika ulama hanya melaksanakan sedemikian maka masyarakat akan tetap meletakkan ulama di tempat yang bawah dan seolah-olah kalam dan nasihat mereka hanya boleh dipakai di tempat-tempat tertentu seperti masjid dan lain-lain tempat bukannya sebagai penggubal dasar kepada parti atau negara.

Maka keadaan seperti ini akan menjadikan kita seperti agama Kristian yang membezakan antara agama dan pemerintahan. Ini jelas amat bertentangan dengan prinsip Islam yang sebenar.

3.ULAMA MENGETAHUI TENTANG HAK ALLAH TAALA

Di antara dalil mengapa para ulama perlu melibatkan diri di dalam kepimpinan pada zaman sekarang adalah kerana para ulama lebih memahami dan mengetahui tentang bagaimana hak Allah akan tertunai di muka bumi Allah taala ini. Di antara peranan ulama juga adalah untuk meninggikan kalimah Allah taala di muka bumi ini.

Firman Allah taala di dalam surah Ali Imran ayat 18 yang bermaksud: "Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini menjadi dalil yang jelas bahawa para ulama adalah di antara golongan yang diberikan oleh Allah taala kemampuan untuk memahami dan memberi faham kepada masyarakat tentang peri penting mengembalikan hak pemerintahan mengikut hukum Allah taala.

4. SEJARAH MEMBUKTIKAN BAHAWA ULAMA MAMPU MEMIMPIN

Antara dalil yang menyokong untuk kita meletakkan para ulama sebagai pemimpin adalah berdasarkan sejarah penglibatan ulama di dalam bidang kepimpinan sejak zaman dahulu lagi sehingga sekarang. Para ulama sudah lama berkecimpung di dalam bidang kepimpinan dan perjuangan agama Allah taala ini. Namun ramai yang terlepas pandang dan tetap menggunakan hujah bahawa ulama tidak boleh menjadi pemimpin, cukup dengan hanya menjadi penasihat.

Di antara ulama yang menjadi pemimpin ialah :

ZAMAN SAHABAT

1. Saidina Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu anhu
2. Saidina Umar bin al-Khattab radhiyallahu anhu
3. Saidina Uthman bin Affan radhiyallahu anhu
4. Saidina Ali bin Abi Talib radhiyallahu anhu
5. Saidina Saad bin Abi Waqqas radhiyallahu anhu
6. Saidina Muadz bin Jabal radhiyallahu anhu
7. Saidina Abu Hurairah radhiyallahu anhu
8. Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan radhiyallahu anhu dan banyak lagi para sahabat yang tidak mampu untuk kita sebutkan di sini kerana terlalu ramai di antara mereka yang terlibat di dalam kepimpinan Islam.

ZAMAN TABI’EN DAN SELEPASNYA

1. Saidina Umar bin Abdul Aziz rahimahullah
2. Saidina Harun al-Rasyid rahimahullah
3. Saidina Nuruddin al-Zinki rahimahullah
4. Saidina Salahuddin al-Ayyubi rahimahullah
5. Saidina Sultan Abdul Hamid , Sultan terakhir Khilafah Uthmaniyah
6. Saidina Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Kerajaan Islam Melaka.
7. Saidina al-Imam Mutawalli Sya’rawi rahimahullah

ULAMA YANG MEMIMPIN GERAKAN ISLAM SEDUNIA

1. Imam Hassan al-Banna dan para Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang lain.
2. Abul ‘Aala Al-Maududi di India.
3. Syeikh Abdul Qader al-Jazair di Algeria
4. Syeikh Umar Mukhtar di Libya
5. Syeikh Ahmad al-Mahdi di Sudan
6. Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kelantan.

Ini adalah sebahagian kecil yang dapat untuk kita sebutkan disini. Hakikatnya masih terdapat ramai para ulama yang menjadi pemimpin masyarakat. Samaada dengan menjadi Khalifah, Sultan, Menteri , Mufti , Qadhi dan lain-lain jawatan penting.

Para ulama memegang tampuk kepimpinan bukanlah untuk merebut kuasa dan gilakan kuasa tetapi mereka memegangnya hanya kerana amanah yang dirasakan sangat penting untuk dijaga oleh seseorang yang mampu.

Hakikatnya golongan ulama telah dipuji oleh Allah taala di dalam kalamNya yang Maha Qadim ayat 28 surah Faathir yang bermaksud: "dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Semoga dengan catatan ini kita dapat memahami mengapa ulama wajib memimpin sesebuah gerakan Islam ataupun negara itu sendiri seumpama Malaysia dan diharapkan segala keraguan berkaitan dengannya terungkai. Apa yang baik itu daripada Allah dan yang buruk daripada kesilapan kami sebagai makhluk yang hina. Wallahu A’alam.

Wednesday 15 December 2010

HUKUM WANITA RUMAH PADA WAKTU MALAM


Perbahasan Hukum Wanita Keluar Rumah Pada Waktu Malam

Muqaddimah

Agama Islam menitikberatkan kehormatan dan kedudukan wanita dalam masyarakat. Perkara ini jelas kelihatan pada hukum yang digariskan dalam memartabatkan kaum hawa seperti etika pemakaian, bahagian harta pusaka dan lain-lain. Itulah ajaran suci yang diajarkan kepada umatnya setelah golongan wanita ditindas dan diabaikan sebelum kedatangan Islam.

Perbahasan Isu

Dewasa kini, kita mendengar banyak kejadian yang tidak diingini berlaku kepada kaum wanita seperti rogol, cabul, ragut dan sebagainya. Bukan sahaja berlaku di Malaysia malah ia juga membarah di negara-negara membangun lain. Tambahan pula, keselamatan kaum wanita ini sangat terjejas apabila mereka berada di waktu malam, kawasan merbahaya dan tidak selamat.

Para ulama' telah membincangkan perkara ini dengan mengambil sandaran ayat Al-Quran dan hadith Nabi S.A.W. Di dalam keduanya banyak menyebutkan tentang etika dan peraturan khusus yang ditujukan kepada kaum wanita. Perbincangan ini akan membawa perhatian kita kepada dua perkara :

• Hukum wanita keluar daripada rumah • Perlunya mengikut saranan pemimpin dalam suatu kawasan

Pertama : Hukum Wanita Keluar Daripada Rumah

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: " dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu Dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara Yang mencemarkan diri kamu - Wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari Segala perkara Yang keji)". (Surah Al-Ahzab ayat 33)

Dalam ayat di atas, Allah S.W.T memerintahkan kepada para isteri Rasulullah S.A.W. supaya sentiasa tetap berada di dalam rumah. Arahan yang ditujukan ini merupakan saranan umum yang bersifat wajib ke atas keseluruhan kaum muslimat sehingga hari kiamat seperti yang disebutkan oleh mufassirin seperti Imam Ibnu Kathir, Imam Al-Qurthubi dan lain-lain. Ini jelas kelihatan pada potongan ayat yang ertinya : dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu..

Imam Ibnu Kathir berkata dalam menafsirkan ayat ini : (Iaitu lazimilah rumah-rumah kamu dan janganlah keluar melainkan kerana adanya hajat. Antara hajat yang dibenarkan di sisi syara' ialah solat di masjid dengan beberapa syarat, seperti sabda Nabi S.A.W. :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلَاتٌ

Maksudnya : Dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Janganlah kalian menghalangi kaum wanita itu pergi ke masjid masjid Allah, akan tetapi hendaklah mereka itu pergi tanpa memakai wangi-wangian." (Hadith ke-478 Riwayat Imam Abu Daud)

; dan di dalam riwayat lain dengan tambahan lafaz : وبيوتهن خير لهن

Jika diperhatikan dalam hadith di atas, antara syarat atau ikatan yang dikenakan kepada kaum wanita yang pergi ke masjid menunaikan solat ialah tidak memakai wangi-wangian, dan dalam sebahagian riwayat pula menyebutkan bahawa solat di rumah mereka adalah lebih baik daripada mengerjakannya di masjid. Sabda Nabi S.A.W. :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي حُجْرَتِهَا وَصَلَاتُهَا فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي بَيْتِهَا

Maksudnya : Dari Abdullah dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda: "Shalat seorang wanita di rumahnya lebih utama baginya daripada shalatnya di kamarnya, dan shalat seorang wanita di rumahnya yang kecil lebih utama baginya daripada di rumahnya." (Hadith ke-483 riwayat Imam Abu Daud)

Walaupun perihal hadith menceritakan keadaan wanita yang ingin bersolat di masjid namun bagaimana pula dengan keperluan lain yang mendesak untuk keluar daripada rumah dengan keperluan tersebut rendah keutamaanya berbanding solat. Hal ini kerana keluarnya seorang wanita itu daripada rumahnya merupakan salah satu peluang kepada syaitan untuk menghasut manusia. Sabda nabi S.A.W. :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمَرْأَةُ عَوْرَةٌ فَإِذَا خَرَجَتْ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ

Maksudnya : Dari Abdullah dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Wanita itu adalah aurat. Jika dia keluar maka setan akan memperindahnya di mata laki-laki." Abu Isa berkata; "Ini merupakan hadits hasan gharib." (Hadith ke-1093 riwayat Imam At-Tirmidzi)

Jika seorang wanita itu memang berhajat untuk keluar kerana suatu keperluan, maka Islam menetapkan syarat supaya tidak memperhiaskan diri mereka dengan perkara yang akan menimbulkan fitnah seperti yang telah dilakukan oleh masyarakat jahiliyah terdahulu. Firman Allah S.W.T. yang ertinya : janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu…

Maksud perhiasan orang-orang jahiliyah ialah : mendedahkan aurat atau memakai perhiasana yang boleh menarik perhatian lelaki kepadanya walaupun dalam keadaan dia menutup aurat.

Kesimpulan : Berdasarkan kepada nas Al-Quran dan hadith di atas, para wanita muslimah tidak digalakkan untuk keluar daripada rumah mereka, sehinggakan Islam menetapkan peraturan kepada mereka yang ingin keluar walaupun menunaikan solat di masjid. Suruhan supaya sentiasa berada di rumah ini tidak menetapkan waktu samada siang atau malam, apatah lagi jika berada di tempat yang berbahaya walaupun pada waktu siang. Tetapi mereka dibolehkan untuk keluar daripada rumah dengan suatu keperluan (hajat) seperti ke tempat pengajian, ke masjid dan sebagainya dengan mengikut ketetapan Islam dan peraturan daripada pimpinan suatu tempat. Selain itu, mereka juga digalakkan agar tidak keluar bersendirian demi memastikan perkara yang tidak diingini berlaku.

Kedua : Perlunya Mengikut Saranan Pemimpin Dalam Suatu Kawasan

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah An-Nisaa' ayat 59).

Sabda Nabi S.A.W. :

عَنْ يَحْيَى بْنِ حُصَيْنٍ عَنْ جَدَّتِهِ أُمِّ الْحُصَيْنِ قَالَ سَمِعْتُهَا تَقُولُ حَجَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَجَّةَ الْوَدَاعِ قَالَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَوْلًا كَثِيرًا ثُمَّ سَمِعْتُهُ يَقُولُ إِنْ أُمِّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ مُجَدَّعٌ حَسِبْتُهَا قَالَتْ أَسْوَدُ يَقُودُكُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ فَاسْمَعُوا لَهُ وَأَطِيعُوا

Maksudnya : Dari Yahya bin Hushain dari neneknya Ummu Al Hushain dia (Yahya bin Hushain) berkata, "Saya mendengarnya (nenek) berkata: "Saya pernah melaksanakan haji Wada' bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam." Ummu Hushain berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berwasiat dengan wasiat yang banyak sekali, kemudian saya mendengar baginda bersabda: "Seandainya kalian dipimpin oleh seorang hamba (budak) yang pesek -namun saya mengira dia (nenek) berkata; hitam- dengan kitabullah, maka dengarkan dan taatilah dia." (Hadith ke- 3422 riwayat Imam Muslim).

Sejak dahulu lagi, kita melihat bahawa kaum wanita merupakan sasaran kaum lelaki yang merupakan punca kepada berlakunya gejala sosial. Semua ini berlaku kerana mereka tidak mengamalkan apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T., rasulNya, dan para pemimpin di suatu kawasan yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber hukum. Suruhan mentaati pemimpin ini jelas kelihatan pada ayat Al-Quran dan hadith di atas, maka perkara ini akan mejadi wajib kepada orang bawahan pimpinan ini.

Melihat kepada berlakunya situasi berleluasanya kaum wanita keluar daripada rumah kerana ingin menunaikan keperluan masing-masing, Islam telah menggariskan beberapa panduan kepada mereka agar sentiasa berada dalam keadaan selamat. Antaranya ialah :

1. Menutup Aurat, firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Ahzaab ayat 59)

2. Tidak berhias-hias kerana ia boleh menarik perhatian dan mengundang dosa, sabda Nabi S.A.W. :


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ مَا رَأَيْتُ شَيْئًا أَشْبَهَ بِاللَّمَمِ مِمَّا قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنْ الزِّنَا أَدْرَكَ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ وَزِنَا اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya : Dari Ibnu Abbas dia berkata; "Saya tidak berpendapat tentang sesuatu yang paling dekat dengan makna Al lamam (dosa-dosa kecil) selain dari apa yang telah dikatakan oleh Abu Hurairah dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan pada setiap anak cucu Adam bahagiannya dari perbuatan zina yang pasti terjadi dan tidak mungkin dihindari, maka zinanya mata adalah melihat sedangkan zinanya lisan adalah ucapan, zinanya nafsu keinginan dan berangan-angan, dan kemaluanlah sebagai pembenar semuanya atau tidak." (Hadith ke-5774 riwayat Imam Bukhari).

عَنْ زَيْنَبَ امْرَأَةِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَتْ قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا شَهِدَتْ إِحْدَاكُنَّ الْمَسْجِدَ فَلَا تَمَسَّ طِيبًا


Maksudnya : Dari Zainab, istri Abdullah dia berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada kami: "Apabila salah seorang dari kalian kaum wanita hendak menghadiri shalat di masjid maka janganlah kalian memakai wangi-wangian'." (Hadith ke-674 riwayat Imam Muslim)

Jika memakai wangian ketika hendak keluar ke masijid pun tidak dibenarkan, apatah lagi keluar kerana keperluan selain solat.

3. Menjaga Pandangan, firman Allah S.W.T. yang berkmaksud: "dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka… (Surah An-Nisaa' ayat 31)

Kesimpulan : Islam menggariskan ketetapan dalam menjaga kehormatan wanita dengan berpandukan Al-Quran, As-Sunnah dan arahan pimpinan yang bukan pada perkara maksiat. Maka, segala peraturan yang telah ditetapkan berdasarkan sumber di atas perlulah diikuti dan diambil perhatian. Hal ini kerana kesemua peraturan dan etika yang telah disusun ini akan mendatangkan kebaikan kepada umat Islam.

Rujukan :

1. Al-Quran Al-Kariim.
2. Shahih Al-Bukhari karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Shahih Muslim karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Jami' At-Tirmidzi karangan Abu Isa Muhammad bin Isa bin Surah Al-Tirmidzi.
5. Sunan Abu Daud karangan Abu Da'ud Sulayman ibn Ash`ath al-Azadi al-Sijistani.
6. Tafsir Al-Quran Al-'Adzhim karangan Imam Al-Hafiz Ibnu Kathir.
7. Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran karangan Imam Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad Al-Ansori Al-Qurthubi.


Disediakan oleh,
Abdul Halim bin Ahmad,

Felo MANHAL PMRAM.