BORANG ONLINE ILMAM

NAMA PENUH
ALAMAT RUMAH
NO KAD PENGENALAN
JANTINA
ILMAM NEGERI
NO TELEFON
EMEL ANDA
PEKERJAAN SEKARANG/ JAWATAN
Saya akan membantu ILMAM di dalam bidang Dakwah
Penyelidikan
Penulisan
IT/Internet/Web
Sukarelawan
Fasilitator
Program Kemasyarakatan
Politik Dunia
Isu Palestin
Perubatan
Lain-Lain
Mohon Tuan/ Puan untuk berkongsi sedikit latar belakang pengajian sebelum ini (Contoh : jurusan pengajian di Mesir, tahun pengajian dan sumbangan yang boleh diberikan kepada ILMAM)

Saya mengaku segala kenyataan di atas adalah benar dan saya akan membantu Pertubuhan ILMAM Malaysia sekiranya diperlukan. Sekian, terima kasih.

 


Click here to create your own form.

Saturday, 21 April 2012

Kenyataan Media : Isu PTPTN



ILMAM MENYOKONG TINDAKAN SMM MEMANSUHKAN PTPTN

Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) menyokong tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) pada 14 April yang lalu.

Atas sikap keberanian dan ketegasan yang ditunjukkan oleh pihak SMM, ILMAM sentiasa komited bahawa usaha ini mampu menjadikan mahasiswa di Malaysia berani menyuarakan hasrat dan pandangan kepada pihak kerajaan.

Walaubagaimanapun, ILMAM membantah tindakan SMM yang bertindak keterlaluan dengan membuat kalungan bunga ke atas potret pemimpin negara dan menggunakan istilah ’mendiang’ di Dataran Merdeka, pada 14 April yang lalu.

Tindakan tersebut bertentangan dengan norma dan akhlak mulia budi pekerti yang digariskan Islam. Sebagai umat Islam, agama Islam menuntut agar umat-Nya sentiasa menunjukkan akhlak yang terpuji sebagaimana akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Tindakan kalungan bunga ke atas potret yang dianggap simbolik kepada sistem dan peranan yang dimainkan oleh kedua-dua pemimpin itu telah mati, merupakan satu tanggapan yang tidak tepat.

Walaubagaimanapun, ILMAM sebagai sebuah pertubuhan NGO mewakili suara Lepasan Mahasiswa Mesir menggesa kerajaan untuk memansuhkan pinjaman PTPTN dan mencadangkan agar pendidikan di negara ini diberi secara percuma.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dicadang untuk mencontohi sistem pengurusan pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir yang menjadikan ekonomi wakaf sebagai salah sebuah cara berkesan menggalakkan umat Islam berwakaf.

ILMAM sentiasa komited membawa pemikiran Al-Azhar ke Malaysia kerana pengaruh Mesir melalui sistem pendidikan berteraskan Islam sudah mula bertapak di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

Yang benar,

MOHD ASRI MAT DAUD
Timbalan Presiden
Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir.

Thursday, 22 March 2012

Kenyataan Media : ILMAM Gesa Kerajaan Negeri Menarik Semula Pembatalan Pinjaman Pelajaran Mahasiswa Mesir


ILMAM MENGGESA KERAJAAN NEGERI MENARIK SEMULA PEMBATALAN PINJAMAN PELAJARAN MAHASISWA MESIR.

Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) menggesa kerajaan negeri Terengganu menarik semula kenyataan membatalkan pinjaman pelajaran bagi  penuntut di Mesir.

Tindakan kerajaan negeri membatalkan pinjaman pelajaran bagi mahasiswa membantutkan proses pendidikan dan pelajaran yang sedang dialami oleh mahasiswa tersebut.

ILMAM dimaklumkan pada bulan Februari yang lalu, sembilan orang mahasiswa telah menerima surat dari pihak Yayasan Terengganu (YT) menyatakan penamatan perjanjian pinjaman YT berkuatkuasa serta merta melalui mesyuarat Lembaga Pemegang-pemegang Amanah YT yang bersidang pada 18 Disember 2011.
Penamatan ini disebabkan melanggar peruntukan peraturan Fasal 2 Perjanjian Pelajaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu pada 9 Julai 2011 kerana berhimpun di Dataran Hayyu Asyir, Kaherah bagi menyertai Demonstrasi BERSIH 2.0

Penafian hak pinjaman terhadap pelajar seolah-olah Akta Universiti dan Kolej Universiti cuba diwujudkan untuk mahasiswa di luar negara sedangkan perkara ini tidak terpakai kepada mahasiswa luar negara sebagaimana yang diuar-uarkan oleh Kelab UMNO Luar Negara.

ILMAM melahirkan kekesalan di atas tindakan kerajaan negeri dan seharusnya usaha untuk melahirkan generasi ummah melalui golongan agamawan di pandang tinggi kerana kesinambungan generasi ulama dan doktor professional adalah aset utama negara.

Walaubagaimanapun, atas komitmen ILMAM sebagai sebuah NGO di Malaysia, ILMAM berusaha mengumpulkan dana bagi membantu sembilan mahasiswa tersebut. Atas dasar memastikan mahasiswa Mesir dibela, rombongan ILMAM yang diketuai oleh Naib Presiden I ILMAM, akan bertolak ke Mesir hujung bulan ini bagi mengetahui situasi sebenar serta menyampaikan dana yang dikumpulkan itu.

ILMAM menggesa kerajaan negeri untuk meneruskan pinjaman YT kepada mahasiswa terbabit bagi memastikan kesinambungan pengajian dapat berjalan dengan baik dan sempurna.

MOHD ASRI MD DAUD
Timbalan Presiden
Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM)

Wednesday, 7 December 2011

KENYATAAN RASMI ILMAM BERKAITAN TUDUHAN ISU HUDUD PAS BERTENTANGAN DENGAN HUKUM ALLAH

Presiden ILMAM Malaysia

Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM), Malaysia, menasihatkan Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Mohd Kamal Sadin, supaya kembali menuntut ilmu Allah yang sangat luas sebelum memberi nasihat yang menyesatkan akibat nafsu serakah politik.

Kenyataan Mohd Kamal Sadin, seperti mana dilaporkan di dalam media, di dalam forum di ibu pejabat MCA yang mengkritik Enakmen Hudud Kelantan 1993 adalah kenyataan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.

Sebagai contoh, takrifan mukallaf sebagai seorang yang berusia lebih 18 tahun, kononnya adalah undang-undang British dan Eropah, menonjolkan kejahilannya di dalam perselisihan pandangan para ulamak mazhab. Mazhab Hanafi, sebagai contoh, meletakkan umur 18 tahun sebagai umur baligh, manakala Mazhab Maliki meletakkan umur 18 tahun sebegai umur baligh selepas dilihat sifat-sifat yang lain. Oleh kerana itulah ulamak memutuskan, sesiapa yang tidak mengetahui kepelbagaian pandangan, bukanlah seorang yang alim, apatah lagi menjadi penasihat agama seorang menteri besar.

Begitu juga kenyataannya berkenaan meliwat isteri yang kononnya dibenarkan dalam undang-undang berkenaan. Liwat isteri memang tidak dikategorikan sebagai kesalahan yang membawa hukuman hudud oleh rata-rata ulamak, namun ia sama sekali tidak dibenarkan. Perlu diingat bukanlah segala perilaku yang tidak dihukum di dalam kategori hudud itu dibolehkan. Terdapat 1001 lagi perilaku haram yang tidak termasuk kategori hudud tetapi boleh dijatuhi hukuman takzir. Kenyataan tidak bertanggungjawab berbaur fitnah oleh Mohd Kamal perlu ditarik balik.

ILMAM turut menyeru Mohd Kamal, Fathul Bari serta seluruh yang menggelarkan diri mereka sebagai ilmuan di dalam UMNO supaya duduk secara serius dan membentangkan apakah set undang-undang yang benar-benar bertepatan dengan Al-Quran dan Hadis, kemudian mendesak kerajaan supaya memberi penerangan dan pendidikan berkenaannya supaya masyarakat lebih memahami dan tidaklah dikaburkan lagi kerana permainan politik.

ILMAM juga mendesak mereka supaya memberikan penerangan yang lebih jelas berkenaan hudud dan seluruh undang-undang Islam supaya tidak dihina dan terus dihina oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, seperti mana yang dilaporkan dalam media. Penghinaan seperti mengatakan hukuman Islam, kejam, tidak adil kepada wanita, serta menyebabkan kemusnahan diri, menunjukkan kejahilan yang melampau oleh Presiden salah satu Parti Komponen BN tersebut, serta menampakkan tuduhan yang kedangkalan hujah tanpa fakta ilmiah.

Contact Persons ILMAM:
Presiden: Dr Amnurraasyid Yatiban (0163332475)
Timb. Presiden: Us Mohd Asri Md Daud (0199177581)
Naib Presiden: Us Syed Abdul Kadir Aljoofre (017-7770282)
S/U Agung : Mohd Farhan Madzlan (0192103035)

Monday, 29 August 2011

PERUTUSAN EIDUL FITRI 1432H PRESIDEN ILMAM M'SIA


Salam Eidul Fitri 1432H

Riwayat daripada Jabir r.anhu: Sabda Nabi Muhammad saw yang mafhumnya: “Menjelang akhir malam Ramadhan, maka menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta para Malaikat, kerana dengan berlalunya Ramadhan, maka berlalulah kelebihannya. Ini merupakan musibah bagiku.” Ditanya oleh sahabat: Apakah musibah itu Ya Rasulullah saw? Dijawab oleh Rasulullah saw: “Dalam bulan ini segala doa mustajab, sedeqah diterima oleh Allah, segala kebajikan digandakan pahalanya, dan seksaan kubur dikecualikan. Maka apakah musibah yang terlebih besar apabila semuanya itu sudah berlalu?”

Apabila Allah taala telah menyatakan dengan firman-Nya yang mengharapkan kepada semua hambanya yang beriman, dengan puasa Ramadhan yang telah dilakukan selama sebulan, agar memperolehi martabat Taqwa kepada-Nya. Satu tingkatan yang menjanjikan kerahmatan, keberkatan dan keampunan yang menatijahkan kehidupan yang bahagia, dan senang hati samada di dunia dan di akhirat kelak.

Taqwa dengan ertikata sepertimana para Sahabat r.anhum terdahulu telah jelaskan. Taqwa juga turut diertikan oleh para ulama yang muktabar akhir zaman ini dengan berusaha dengan mujahadah semaksima mungkin, berhati-hati, serta memperhalusi segala gerak geri, tingkah laku, serta segala amalan kita, agar tidak terseleweng dan tersempit serta menyimpang daripada acuan Islam yang berdasarkan kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Ulama serta Qias yang betul.

Sekian lama, al-Quran al-Karim telah merakamkan firman Allah taala di dalam Surah al-Fath ayat 1 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.” Ulama’ mutakhir ini telah menafsirkan makna kemenangan di atas adalah dengan makna `Pembebasan’ ataupun `Kemerdekaan’.

Sesuai dengan pengharapan Allah taala kepada hambanya yang beriman yang berpuasa Ramadhan, Taqwa dengan maksud, membebaskan samada diri secara zahir atau batin, ahli keluarga, teman-teman, pekerja, orang bawahan, pelajar-pelajar dan masyarakat Islam, daripada segala bentuk cengkaman, penindasan, tekanan, konkongan, ancaman serta ugutan yang menampakkan zalim dan juga jelas bercanggah dengan prinsip Islam yang Allah taala kehendaki, demi mencari keredhaan Allah taala semata-mata.

Pembebasan ataupun kemerdekaan juga turut diertikan oleh Ulama Mutaakhir kini adalah dengan bebasnya pemikiran serta pemahaman serta idealogi daripada segala bentuk pemahaman dan pemikiran musuh Islam, terutama Yahudi dan Kristian. Contohnya, fahaman Nationalisme (Kebangsaan), Sekular dan Liberal. Kerana ketahuilah, segala fahaman atau perjuangan ini boleh mengakibatkan hilangnya Aqidah Islam.

Tidak lupa juga, diharapkan kita semua, dengan berbekalkan dengan segala amalan di Ramadhan yang lalu, membebaskan dan memerdekan diri kita daripada sebarang bentuk Pensyirikan terhadap Allah taala. Perlu diingatkan bahawa, seseorang yang beriman tidak akan takut kepada sesiapapun kecuali Allah taala, dalam usaha menyebarkan kebenaran Islam. Bahkan dia mengetahui bahawa, dengan menyembunyikan kebenaran, membiarkan kejahatan dan kemaksiatan serta kezaliman berleluasa, bersama dan meredhai dengan kekufuran itu, kerana takutkan kehilangan pangkat, darjat, pengaruh, kerjaya, wang ringgit atau keluarga, sesungguhnya perbuatan tersebut adalah salah satu sebab dari sebab-sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu Kufur atau Murtad. Mudahan Allah taala jauhkan kita daripada sikap demikian.

Perkara ini telah difirmankan Allah taala di dalam Surah al-Nahl ayat 106-107 yang bermaksud: “Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar. Yang demikian itu disebabkan kerana sesungguhnya mereka mencintai kehidupan di dunia lebih dari akhirat, dan bahawasanya Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Akhirnya, dikesempatan ini, saya selaku Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia, mewakili seluruh saf kepimpinan ILMAM Pusat, mengucapkan Salam EidulFitri kepada semua graduan lepasan Mesir samada yang lama ataupun yang baru, serta semua muslimin dan muslimat baik yang berada di dalam Negara maupun luar Negara, jua Maaf Zahir Batin kami pohonkan. Mudah-mudahan Eidul Fitri yang kita rayakan kali ini, dapat memberikan wajah baru dengan pelbagai bentuk perubahan dan pembebasan dengan beracuankan Islam yang bersumberkan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias yang benar.

Kullu `am wa antum bil Khair. Wassalam.

USTAZ MOHD AZIZUL HISHAM BIN ZULKIFLI
Presiden ILMAM Malaysia
29 Ramadhan 1432H