BORANG ONLINE ILMAM
Sunday, 6 September 2009
Nuzul Al-Quran
Nuzul al-Quran
PERISTIWA Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW.
Bermula dengan peristiwa inilah, zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada bertuhankan Allah Yang Esa.
Dalam erti kata lain, peristiwa Nuzul al-Quran menjana perubahan dan membina peradaban umat.
Allah berfirman bermaksud: "Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbia, ayat 108)
Mafhum daripada ayat ini menjelaskan bahawa, melalui utusan Nabi Muhammad yang diangkat oleh Allah sebagai Rasul, Baginda menjadi rahmat bagi seluruh alam kerana membawa petunjuk (al-Quran) yang memandu manusia ke jalan yang selamat dan sejahtera.
Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata al-Quran mukjizat akhir zaman atau al-Quran yang mempunyai mukjizat.
Disebabkan keutamaan inilah, al-Quran berbeza daripada kitab lain yang diturunkan kepada nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad.
Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat terbesar yang dianugerahkan Allah kepada Rasulullah dalam menghadapi cabaran ketika menyebar dan menegakkan syiar Islam.
Ketabahan Baginda berjaya mengubah bangsa Arab yang suatu ketika dulu hidup tanpa pedoman, jauh daripada hak dan kebenaran dengan meniupkan roh semangat al-Quran.
Peristiwa Nuzul al-Quran perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam.
Perkataan Nuzul bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada tempat yang terletak di sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.
Al-Quran pula bererti bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia.
Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu, terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muammalat dan sebagainya.
Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat. Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.
Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia.
Ayat al-Quran yang mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. Firman Allah bermaksud:
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran seharusnya dihayati oleh umat Islam. Ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat sebagai asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai pada sisi Allah.
Dengan berlakunya Nuzul al-Quran, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan jelas dengan berpandukan petunjuk dan pedoman yang diwahyukan oleh Allah.
Banyak keterangan dalam al-Quran dan hadis bahawa al-Quran adalah kitab petunjuk atau pedoman ke arah mencapai darjat muttaqin, iaitu orang yang bertakwa.
Firman Allah bermaksud: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)
Al-Quran diturunkan oleh Allah bukan sekadar untuk dibaca atau dilagukan semata-mata, malah apa yang lebih utama menjadikannya sebagai panduan dan pedoman sepanjang hayat. Itu sebabnya al-Quran dikatakan sebagai iman bagi umat Islam.
Al-Quran, di samping membawa maksud kitab bacaan, dikenali sebagai al-Nur, al-Furqan, al-Zikr dan sebagainya secara tidak langsung menunjukkan peranannya yang sangat istimewa. Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Justeru, bagaimana seharusnya sikap kita agar al-Quran itu boleh berperanan sebagai cahaya menerangi hidup dan pembeza antara hak dan batil serta memberi peringatan?
Bolehkah al-Quran berperanan sebagai cahaya penerang dan pembimbing hidup jika kita tidak memahami isi kandungannya?
Kalau tujuan utama manusia dijadikan oleh Allah untuk memperhambakan diri kepada-Nya iaitu dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya, maka penghambaan kita kepada Allah tidak akan sempurna tanpa memahami kehendak-Nya.
Demikian juga penghambaan kepada Allah tidak akan sempurna melainkan selepas difahami dan diamalkan kehendak-Nya kerana semua kehendak Allah itu tercatat dalam al-Quran.
Adakah Al-Quran diturunkan hanya sekadar utk dilagukan dgn merdu?Adakah Al-Quran diturunkan utk dipilih-pilih mana yg kita suka?Adakah Al-Quran diturunkan hanya sekadar utk menjadi hantar perkahwinan?Adakah Al-Quran diturunkan hanya sekadar utk diletak di atas almari yg tinggi?Kita makhluk yg paling mulia yang telah Allah Taala kurniakan akal fikiran.Maka sama-samalah kita gunakan dgn sewajarnya.
Sama-sama menghidupkan bulan yg penuh keberkatan ini,bulan diturunkan Al-Quran,kitab panduan kepada kita sepanjang zaman.ISLAM sentiasa releven sepanjang zaman.
Al-Quran Diturunkan Utk Dipatuhi Bukan Utk Dipilih Ikut Sesuka Hati
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment