Tafakur Sejenak Memperingati Maulidur Rasul
Muqaddimah
Rasulullah saw sebagai penghulu kepada semua Rasul alahimussolatu wassalam serta rasul untuk seluruh generasi akhir zaman ini datang dengan risalah Islam yang menyeluruh sebagai rahmat kepada sekalian alam. Kelahiran baginda saw menggembirakan seluruh alam dan risalah baginda saw membahagiakan semua manusia. Oleh itu, wajarlah kita memperingati kelahiran Baginda saw dengan mengambil Sunnah dan ajarannya sebagai Teras serta Dasar kehidupan.
Sejarah Sambutan Maulidur Rasul
Ada beberapa riwayat berkenaan permulaan sambutan Maulidur Rasul ini iaitu:
a- Riwayat Pertama: Selepas Solahuddin al-Ayubi dan tenteranya berjaya merampas Masjid al-Aqsa dari Yahudi dalam peperangan al-Hittin. Disambut sebagai pengisian kemenangan agar tidak lalai dengan kejayaan dan kemenangan.
b- Riwayat Kedua: Ketika persiapan orang Islam menghadapi tentera Tartar (Monggol) di bawah pimpinan Sultan Mahmud Qutuz dan Zahir Bebers di Mesir sehingga berjaya di Ain Jalut dan ramai Tentera Tartar memeluk Islam.
Adapun semata-mata meraikan kelahiran Rasulullah saw, peristiwa ini turut diraikan dan dianjurkan oleh Abu Lahab, iaitu dengan memerdekakan hambanya dan menyembelih korba beberapa ekor untanya untuk menggambarkan kegembiraannya. Tetapi setelah diajak untuk bersama dengan Islam, Abu Lahab menolak bahkan menentang ajaran anak saudaranya sekeras-kerasnya.
Sambutan yang dilakukan adalah sepatutnya mengikut cara yang dilakukan oleh Solahuddin al-Ayubi dengan cara mengisi kemenangan atau melahirkan semangat untuk memperjuangkan dan beramal dengan Islam, bukan seperti cara Abu Lahab yang hanya meraikan kelahiran Nabi saw. Sambutan Maulidur Rasul boleh diadakan tetapi dengan cara yang tidak bercanggah dengan tatacara Islam dan boleh mendatangkan kecintaan kepada Rasulullah saw.
Tugas Kedatangan Rasulullah saw
Firman Allah taala di dalam Surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: "Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata."
Berdasarkan kepada ayat di atas, Rasulullah saw diutuskan adalah untuk:
a- Membacakan kepada manusia ayat-ayat Allah, iaitu mengajak atau berdakwah kepada Ketaqwaan, beribadat dan taat kepada Allah menurut apa yang diserukan oleh Rasul-Nya.
b- Membersihkan mereka, iaitu tazkiyah dan ta'dib. Membersihkan hati manusia dari karat-karat dosa dan maksiat serta mengumpulkan dalam hati mereka dengan akhlak yang mulia.
c- Mengajar manusia itu dengan Kitab, iaitu al-Quran al-Karim dan hikmah, iaitu Sunnah Nabi saw dengan mengutamakan pembangunan dari segi Ruhiyyah, Thaqafah dan Material.
Kecintaan Rasulullah saw Terhadap Umatnya
Firman Allah taala di dalam Surah at-Taubah ayat 128 yang bermaksud: "Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaum mu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi Penyayang terhadap orang-orang mukmin."
Dalam ayat di atas, Allah taala menerangkan bahawa kesemua sifat Rasulullah itu dengan mengaitkannya dengan orang yang dihadapkan percakapan iaitu kamu. Ini menandakan betapa perihatinnya Rasulullah saw kepada setiap saat kepada umatnya. Oleh itu umat Muhammad saw hendaklah membalas kecintaan kepada Baginda saw lebih dari segalanya.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Tidak sempurna Iman seseorang kamu sehingga Allah dan RasulNya menjadi terlebih cinta kepadanya dari ibubapanya, anaknya dan semua manusia keseluruhannya."
Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: "Tiga perkara yang akan mendatangkan kemanisan Iman: Apabila Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya..."
Antara tanda kecintaan kita kepada Baginda saw ialah:
a- Melaksanakan segala arahan Baginda saw
b- Cintakan Sunnah-sunnah saw
c- Memelihara nama dan maruah Baginda saw dari dicemari oleh orang-orang yang jahil
d- Bersolawat ke atas Baginda saw ketika disebut nama Baginda saw
e- Menziarahi Baginda saw ketika berada di Tanah Suci
Sifat Orang Yang Mencintai Rasulullah saw
Firman Allah taala di dalam Surah al-Fath, ayat 29 yang bermaksud: "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, yaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya. Maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya karena Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar."
Sifat-sifat itu ialah:
a- Kuat dan hebat serta tegas di mata orang bukan Islam
b- Lemah-lembut dan penyayang di kalangan saudara Islam
c- Senantiasa ruku' dan sujud mencari keredhaan Allah taala
d- Senantiasa beramal dan bekerja keras untuk mencari kurniaan Allah
e- Tanda sujud kelihatan di wajah mereka.
Tugas Kita Selepas Baginda saw
a- Tetap beristiqamah atas jalan yang Baginda saw tunjukkan kepada kita dan tidak belok dari jalan itu. Firman Allah taala di dalam Surah al-Imran ayat 144 yang bermaksud: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."
b- Menjadikan Baginda saw sebagai role model dalam setiap aspek kehidupan kita seharian. Firman Allah taala di dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."
Rasulullah saw adalah contoh kepada setiap bapa, ketua keluarga, suami, para hakim, para muhasib, para pendakwah, pemimpin tentera, masyarakat dan negara, yang merupakan contoh untuk setiap kategori dari Rasulullah saw.
Kesimpulan
Memperingati Maulidur Rasul bukan setakat dengan meraikan dan menganjurkan pelbagai majlis perarakan dan berzanji, baik di peringkat Kerajaan, Jabatan, Sekolah, Masjid dan Surau serta di rumah yang tertentu.
Sesungguhnya memperingati Maulidur Rasul lebih beerti jika kita semua kembali kepada hidayah dan panduan yang dibawa oleh Baginda saw secara keseluruhannya. Gunakanlah kesempatan dan peluang sempena hari kebesaran Islam ini sebaik mungkin untuk menyedarkan masyarakat kepada Islam yang sebenar dari Rasulullah saw.
Akhirnya, saya mewakili kepimpinan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia, mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada semua ahli ILMAM dan seterusnya semua muslimin dan muslimat. Mudah-mudahan sambutan tersebut memangkinkan lagi keupayaan dan keperihatinan kita terhadap perjuangan Nabi Muhammad saw, dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam di dunia ini.
Wassalam
Ust Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia
1 comment:
Your Affiliate Profit Machine is ready -
Plus, making profit with it is as easy as 1..2..3!
Here's how it works...
STEP 1. Input into the system what affiliate products you want to promote
STEP 2. Add PUSH BUTTON traffic (it ONLY takes 2 minutes)
STEP 3. See how the system grow your list and sell your affiliate products all on it's own!
Are you ready???
You can test-drive the system for yourself risk free...
Post a Comment